MMToon

GANGGUAN MISTERI DI RUMAH PANJANG

Oleh GHAZALI ALIAS

BERCUTI merupakan aktiviti yang sering dilakukan pemuda itu sebagai rutin buat dirinya untuk menenangkan fikiran dan menghilangkan stress.

Antara lokasi yang menjadi pilihan adalah kawasan yang kaya dengan kehijauan alam atau pantai yang mendamaikan.

Meskipun berkunjung di lokasi tersebut memberi dia sebuah kedamaian, Rizal (bukan nama sebenar) juga pernah merasai pengalaman seram yang tidak akan dia lupakan seumur hidup.

Menurutnya yang bekerja sebagai seorang guru, pada curi sekolah sebelum ini, dia bersama beberapa rakan mengambil keputusan untuk bercuti ke Sarawak.

Niat kami mudah, hanya ingin merasai sendiri kehidupan masyarakat di rumah panjang, jauh dari hiruk-pikuk bandar.

“Setelah perjalanan panjang menaiki bot menyusuri sungai, akhirnya kami tiba di sebuah rumah panjang tradisional yang masih mengekalkan keaslian seni bina kayu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Setibanya di sana, penduduk menyambut mereka dengan mesra, malah suasana tenang di tengah hutan membuatkan hati terasa lapang.

Kongsinya, pada malam pertama, selepas makan malam,mereka berkumpul di ruai iaitu ruang tengah rumah panjang sambil mendengar cerita orang tua tentang sejarah tempat itu.

“Mereka sempat mengingatkan kami agar menjaga tutur kata dan tidak melakukan perkara yang boleh mengganggu “penunggu hutan”.

“Kami hanya mengangguk, menganggap ia sekadar kepercayaan lama. Malam semakin larut, kami pun kembali ke bilik tetamu yang disediakan,” ujarnya.

Ketika semua mula lena, Rizal memberitahu dia terdengar bunyi gendang dipalu perlahan dari hujung rumah panjang.

Suaranya sayup, seolah-olah datang dari jauh, namun jelas bukan daripada penghuni rumah itu kerana kesemuanya sedang tidur.

“Saya cuba melelapkan mata, tetapi tiba-tiba terdengar bunyi tapak kaki berlari-lari di luar bilik.

“Mula-mula perlahan, kemudian semakin kuat. Saya menjenguk ke celah dinding kayu, tetapi tiada sesiapa.

“Bulan penuh malam itu membuatkan suasana luar terang samar. Namun, bayang hitam berlari laju di sepanjang anjung rumah panjang sempat saya lihat sekilas,” ceritanya.

Katanya lagi, hatinya berdebar, tetapi dia diamkan sahaja kerana tidak mahu menakutkan rakan-rakan.
Malam kedua lebih mencemaskan. Ketika sedang lena, Rizal terasa seperti ada sesuatu duduk di hujung kaki.

Tubuhnya terasa berat, seolah-olah ditindih. Dia cuba membaca doa dalam hati, namun semakin cuba melawan, semakin sukar untuk bernafas.

Dalam samar cahaya pelita, saya ternampak sosok perempuan berambut panjang mengurai, wajahnya kabur, tetapi matanya merah menyala menatap saya.

“Tiba-tiba terdengar bunyi bisikan halus, ‘Kamu tak diundang di sini’, saya ingin menjerit, tetapi suara tidak keluar. Hanya selepas beberapa minit, bayangan itu hilang, dan badan saya kembali ringan,” ujarnya.

Esoknya, dia menceritakan kejadian itu kepada tuai rumah. Wajahnya berubah serius. Beliau berkata rumah panjang itu dibina berdekatan kawasan hutan yang dipercayai menjadi tempat roh berkeliaran.

Katanya, ada tetamu luar yang kadang-kadang “diganggu” kerana tidak menghormati pantang larang.

Saya tersentak, teringat yang kami ada bergurau senda agak keterlaluan malam pertama, termasuk meniru bunyi burung hutan.

“Sebagai langkah, tuai rumah melakukan upacara kecil pada petang itu, membakar kemenyan dan membaca mantera untuk menenangkan roh penunggu,” kongsinya.

Pada malam terakhir Rizal berkata dia menjadi lebih tenang, namun rasa seram itu tetap menghantui setiap kali dia teringatkan wajah merah menyala yang menatapnya.

Sejak pulang dari Sarawak, Rizal sering bermimpi tentang rumah panjang itu. Sesekali terdengar lagi bunyi gendang sayup-sayup dalam tidur.

Hingga kini, dia masih tertanya-tanya, adakah ia sekadar ilusi keletihan, atau benar-benar gangguan yang tidak dapat dijelaskan?

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad – Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!