MMToon

GIM PUAKA, ‘TREADMILL’ BERGERAK SENDIRI

Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA

SEPERTI kebiasaan, Amir (bukan nama sebenar) menjalani rutin hariannya dengan tiba seawal jam 7 pagi di sebuah gim yang terletak dalam pusat membeli-belah di Lembah Klang sebelum memulakan hari bekerjanya.

Ketika itu, kesemua kedai di pusat membeli-belah tersebut masih belum beroperasi, menjadikan gim tersebut satu-satunya premis yang beroperasi.

Hanya bunyi pendingin hawa dan kelibat tukang cuci di hujung lorong yang menemani suasana sepi.

Pemuda berusia 23 tahun itu menggemari suasana pagi kerana gim masih lengang dan dia bebas menggunakan sebarang alat senaman tanpa perlu menunggu giliran.

Namun, satu kejadian aneh yang berlaku pada suatu hari telah mengubah pendiriannya dan membuatkan dia memilih waktu lain untuk rutin senamannya.

Membuka cerita kepada CitaRasa, Amir berkata semuanya berlaku apabila dia memilih menggunakan mesin larian yang terletak di bahagian hujung gim.

Saya tengah rancak berlari, tiba-tiba saya terdengar mesin treadmill di sebelah terpasang sendiri dan paparannya menunjukkan kelajuan 12 kilometer sejam.

“Ia seolah-olah ada orang sedang berlari, tapi saya malas nak layan sebab saya anggap mungkin mesin tu rosak,” katanya.

Namun, hatinya mula rasa tidak tenteram apabila bunyi seperti seseorang sedang berlari di mesin sebelah menjadi semakin kuat walaupun gim masih kosong.

Kelajuan treadmill itu tiba-tiba meningkat dan bunyi hentakan tapak kaki berlari menjadi semakin jelas dan pantas.

Enggan panik, Amir cuba turun dari mesin yang sedang digunakannya untuk menutup mesin sebelah. Namun mesin yang digunakannya pula tidak dapat dihentikan.

Saya cuba menjerit minta tolong pada tukang cuci yang masih berada di hujung gim, tapi suara saya langsung tak keluar,” katanya.

Keadaannya semakin cemas apabila dia mula berasa amat letih.

Mesin larian itu turut menjadi semakin laju seolah-olah dia sedang bertanding dengan sesuatu yang tidak kelihatan.

Lebih menyeramkan, dia terdengar bunyi ketawa datang dari arah tukang cuci tersebut, namun individu itu langsung tidak memandang ke arahnya.

Mengucap panjang, Amir memejamkan mata sambil membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk menenangkan dirinya dalam suasana yang semakin aneh.

Tiba-tiba, mesin lariannya menjadi perlahan. Bunyi-bunyian tadi juga semakin hilang sehingga suasana kembali sunyi seperti sebelumnya.

Menyangka semuanya telah berakhir, Amir menarik nafas lega dan perlahan-lahan membuka matanya.

Alangkah terkejutnya apabila dia melihat refleksi dirinya di cermin hadapan bersama sosok hitam yang berdiri tegak di belakangnya.

“Sejujurnya, saya sangat terkejut melihat lembaga serba hitam dan tinggi berdiri di belakang saya. Tangannya yang berkuku panjang berada di atas bahu saya.

“Lepas tu, saya dah tak ingat apa-apa. Saya cuma sedar bila staf gim kejutkan saya. Mereka ingat saya pengsan sebab guna mesin tu dengan cara yang salah.

“Saya kelu masa tu. Jadi saya diam saja dan beberapa hari kemudian, saya terus tukar gim,” katanya.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!