
SEBAGAI seorang anak muda belasan tahun, Amir (bukan nama sebenar) sering menghabiskan masanya bersama rakan-rakan di pondok lepak di tepi sawah selepas waktu sekolah.
Di situ, Amir dan rakan-rakannya menghabiskan masa berbual kosong sambil bermain gitar untuk menghiburkan jiwa muda masing-masing.

Pada suatu hari, ketika sedang rancak berbual, salah seorang rakan Amir mencadangkan supaya mereka mengisi masa cuti sekolah dengan aktiviti menyeronokkan.
Mereka yang masing-masing ketika itu berusia 17 tahun, sepakat untuk mandi-manda di salah kawasan air terjun yang terdapat di kaki Gunung Jerai, Yan, Kedah.

Ini kerana, kawasan kaki Gunung Jerai itu terletak tidak jauh dari kediaman Amir dan rakan-rakannya iaitu sekitar 15 kilometer (km).
“Ketika itu, saya dan rakan-rakan masih di tingkatan lima. Sebagai anak muda yang tinggal di kampung, aktiviti cuti sekolah kami agak terhad.

Disebabkan itu, saya dan rakan-rakan mengambil inisiatif untuk pergi mandi-manda di tempat peranginan Titi Hayun.
“Ketika itu, Titi Hayun cukup ‘top’ dan ramai orang datang berkelah di situ terutamanya pada musim cuti sekolah,” ujar Amir yang kini berusia 36 tahun.
Pada hari yang dijanjikan, Amir bersama tiga lagi rakannya berkumpul di pondok lepak sebelum bergerak menuju ke tempat peranginan tersebut menggunakan motosikal masing-masing.

Sebaik sampai di situ, tempat peranginan itu sesak dengan para pengunjung yang datang berkelah sehingga tiada tempat untuk Amir dan rakan-rakanya mandi.
Disebabkan itu, mereka terpaksa melalui denai hutan di tepi sungai untuk ke jeram yang lebih ke atas.

Katanya, selepas hampir 3km berjalan, mereka menemui satu kawasan jeram yang sesuai untuk berkelah dan mandi-manda.
Suasana sekitar jeram itu cukup terpelihara seperti tiada orang yang pernah sampai ke situ.

Di sekitarnya pula terdapat susunan bongkah batu besar dengan air sedikit hitam terutamanya di kawasan ‘kolam’.
Usai menukar pakaian, salah seorang rakan Amir terus terjun ke dalam air untuk menguji kedalaman jeram berkenaan. Selepas disukat, ternyata jeram di situ cukup dalam untuk mereka ‘berkubang’.

Tanpa berfikir panjang, mereka terus mandi di jeram tersebut tanpa rasa ragu-ragu.
Selepas puas mandi di tepi sungai, Amir dan seorang lagi rakannya memberanikan diri berenang ke tengah jeram.

Sebaik menghampiri kawasan itu, Amir merasakan kakinya seperti ditarik ke bawah sehingga menyebabkan dia hampir lemas.

Disebabkan itu, dia memberanikan diri selam ke bawah untuk melepaskan diri daripada tarikan tersebut.

Sebaik selam ke bawah, alangkah terkejutnya Amir apabila melihat satu lembaga hitam dengan tangan berbulu sedang memegang erat kaki kanannya.

Terkejut melihat entiti seram bermata merah itu, dia cuba berenang ke atas untuk menyelamatkan diri. Malangnya, kaki Amir telah direntap ke bawah oleh lembaga misteri tersebut.
“Disebabkan rentapan itu, saya tertelan banyak air dan rasa seperti hampir mati disebabkan kelemasan.

Tiba-tiba, rakan saya yang mandi bersama di tengah jeram berjaya memaut tangan saya, sebelum menarik saya ke tepi sungai.

“Selepas diberi CPR, saya tersedar dan melihat rakan-rakan sudah berada di sekeliling. Saya menceritakan perkara aneh yang berlaku tadi kepada mereka.

Selepas pulang ke rumah, kami tidak menceritakan hal tersebut kepada sesiapa.
“Hal ini kerana kami percaya bahawa kejadian misteri tersebut berlaku angkara hantu air. Lagi pula, Gunung Jerai terkenal dengan pelbagai kisah mistik.

“Disebabkan kejadian itu juga, saya enggan lagi pergi mandi di Titi Hayun. Biar orang luar (pelancong) saja yang mandi di situ,” ujarnya.
