MMToon

HANTU KEJUT AJAK KE BILIK AIR

KEHIDUPAN di asrama tidak lekang dengan kisah-kisah seram dan misteri sehingga ada yang melabelnya sebagai tempat berpuaka ekoran pelbagai cerita dikongsikan mengenai kejadian-kejadian aneh. Peristiwa seram tersebut turut dialami oleh Amir (bukan nama sebenar) kira-kira 10 tahun lalu ketika tinggal di asrama sekolahnya yang mana dia ketika itu sibuk mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Walaupun dia banyak mendengar cerita-cerita seram daripada pelajar-pelajar di situ, tetapi sebagai anak jantan, dia berasakan perkara tersebut tidak perlu dilayan. Sebaliknya kata Amir, dia  perlu menumpukan perhatian kepada peperiksaan SPM yang bakal diduduki.

Sehinggalah pagi suatu pagi, dia sendiri mengalami peristiwa misteri yang tidak akan dilupakannya sampai bila-bila. Jelasnya, sekitar pukul 3 pagi, dia dikejutkan oleh seorang kawan, Ali (bukan nama sebenar) untuk menemaninya  ke tandas yang terletak di tingkat bawah.

Tanpa berfikir panjang, saya terus bangkit dari katil menurutinya dari belakang. Saya menunggunya dalam keadaan mengantuk dan separa tidur sehinggalah tiba-tiba tersedar.

“Saya baru teringat yang Ali sudah dua hari pulang ke kampung kerana datuknya baru meninggal dunia,” cerita pemuda berusia 27 tahun itu.

Ketika itu, Amir tidak mampu menahan ketakutannya kerana memikirkan siapakah gerangan yang ada di dalam tandas tersebut sehingga jantung berdegup kencang dan kaki bagaikan terkunci untuk melangkah.

Dia cuba mengawal ketakutan itu sehabis boleh dan membaca beberapa ayat suci bagi mencari kekuatan agar tidak jatuh pengsan di situ. Tiba-tiba kedengaran suara nyaring mengilai di dalam tandas membuatkan Amir membuka langkah seribu dan berlari pantas masuk ke dalam kamarnya.

Tetapi tiada seorangpun rakan sebiliknya  menyedari kejadian tersebut kerana masing-masing nyenyak tidur.

Tidak lama selepas kejadian Amir itu, ada pelajar yang tiba-tiba tidak sedarkan diri kerana histeria selepas menegur seorang nenek tua berjalan di tepi koridor asrama sekitar pukul 10 malam.

Kejadian misteri terus berlaku sehingga pihak pengurusan asrama terpaksa memanggil seorang ustaz untuk membantu apa yang patut kerana kejadian-kejadian yang berlaku itu mengganggu emosi pelajar.

Sebenarnya beberapa tahun sebelum itu, asrama tersebut pernah diganggu kejadian misteri, tetapi ia kembali aman selepas dibantu oleh seorang ustaz yang telah ‘memagari’ tempat tersebut daripada sebarang gangguan makhluk halus.

“Ada yang memberitahu, kejadian tersebut berlaku disebabkan oleh seorang pelajar yang melakukan pemujaan ekoran mempelajari ilmu sihir daripada ahli keluarganya,” jelas Amir yang kini bekerja sebagai jurutera.

Selepas dibantu oleh ustaz tersebut, asrama itu kembali tenang dan mereka dapat memberi perhatian kepada ulang kaji pelajaran memandangkan tinggal beberapa bulan sahaja untuk menghadapi peperiksaan SPM.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 2 Januari 2022 • Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!