
BIARPUN kisah ini sudah berlaku hampir sedekad lalu, memori berkenaannya masih segar dalam ingatan seorang pekerja swasta yang hanya memperkenalkan diri sebagai Shila.
Kenangan terserempak seorang nenek tua yang disangka jirannya menjadikan bulu roma Shila berdiri tegak setiap kali terimbau memori itu.

Membuka bicara, Shila, 40, berkata dia merupakan anak kelahiran ibu kota yang berhijrah ke Kedah untuk mencari rezeki.
Sebelum ini, saya bekerja dan tinggal di ibu kota bersama keluarga. Namun, selepas berkahwin, suami yang bekerja di Kedah menyuruh saya untuk berhenti kerja dan mencari peluang pekerjaan baharu di Kedah pula, memandangkan suami tidak boleh berpindah ke ibu kota.

Walaupun berat hati, saya menurut perintah suami dan memulakan kehidupan baharu di negeri utara tanah air itu,” katanya membuka bicara.
Selepas mencari rumah sewa, pasangan suami isteri itu akhirnya berpuas hati dengan sebuah rumah teres dua tingkat yang ditemui mereka di sebuah taman perumahan lama.
Lokasi rumah yang cukup berhampiran dengan pejabat suami Shila serta komuniti yang peramah menjadikan Shila tertarik untuk tinggal di situ.
Namun, rumah tersebut sebenarnya sudah lama tidak berpenghuni dan entah mengapa, saat mula-mula masuk ke dalamnya, aura seram itu terasa kuat.

Tetapi selepas memenuhi rumah dengan perabot, saya rasa seronok dan tidak sabar untuk memulakan hidup baharu bersama suami di situ,” kata Shila.
Memandangkan Shila masih belum mendapat kerja bersesuaian dengannya, maka dia menjadi suri rumah buat sementara waktu dan masanya terisi dengan melakukan kerja-kerja rumah.

Ketika sedang berkemas di halaman rumah, Shila tiba-tiba terpandang kelibat seorang nenek yang sedang berdiri kaku merenungnya dari sebuah rumah yang terletak betul-betul di hadapan rumah Shila.
Biarpun terkejut, Shila kemudiannya melemparkan senyuman kepada nenek itu, dan nenek itu kemudiannya tersenyum kembali kepadanya.

Tapi, sejujurnya, senyumannya nampak aneh dan sedikit menyeramkan. Namun selepas itu saya terus masuk ke dalam rumah untuk menghabiskan kerja-kerja lain,” katanya.
Selepas dua minggu, Shila mengadakan majlis doa selamat di rumahnya dan menjemput ahli keluarga dan rakan-rakan ke kenduri kecilnya.
Sangka Shila, semuanya baik-baik sahaja namun keluarganya mengalami gangguan pelik sepanjang tinggal di rumah baharu Shila.
Sehari sebelum majlis, ibu Shila yang tiba di sana bersama adik perempuannya terkejut apabila melihat nenek yang sama, berdiri merenung mereka.

Ibu Shila yang gemar berbual kemudiannya memberanikan diri untuk menegur wanita itu.
Namun, pertanyaan ibu saya tidak dijawab oleh nenek misteri itu, dia hanya merenung wajah ibu dengan tajam sebelum berpusing dan masuk ke dalam rumah, dengan gerakan yang sangat perlahan.

Rumahnya juga cukup menyeramkan dan dipenuhi semak samun, seolah-olah tidak terurus. Ibu yang penakut terus masuk ke dalam rumah dan menceritakan tentang hal itu kepada saya,” kata Shila.
Shila berasa tidak sedap hati, kerana sejujurnya dia juga merasakan ada sesuatu yang aneh pada jiran depan rumahnya itu.

Selepas majlis habis pula, anak saudara Shila memberitahu dia terdengar suara mengilai ketika berdiri betul-betul di hadapan rumah nenek misteri itu.
Salah seorang pakcik Shila juga melaporkan keretanya yang diparkir di hadapan rumah nenek itu terasa berat ketika dia mahu memandu pulang.
Keesokan hari, Shila berjumpa dengan Kak Leha yang merupakan salah seorang jiran di taman itu untuk bertanya tentang kelibat nenek misteri itu.
Kak Leha kemudiannya memberitahu saya bahawa nenek yang dimaksudkan itu sebenarnya sudah lama meninggal dunia, dan sekiranya dia masih hidup, usianya barangkali sudah mencapai ratusan tahun.

Namun, semasa hayatnya, dia dipercayai ada membela sesuatu, dan mungkin makhluk itu menjelma sebagai tuannya, untuk menakut-nakutkan saya,” kata Shila.
Ujar Kak Leha, jiran lain juga adakalanya turut diganggu, namun entah mengapa penghuni rumah sewa Shila lebih kerap terserempak dengan nenek itu, menyebabkan tiada sesiapa yang sanggup tinggal di rumah itu.
Biarpun pada mulanya Shila tidak begitu mempercayai hal-hal mistik sebegitu, namun pengalaman menyeramkan yang dilaluinya menjadikan dia tidak senang duduk dan mahu berpindah.

Lebih teruk lagi, Shila juga semakin kerap diganggu dan pernah satu ketika di melihat nenek itu sedang duduk mencangkung di atas bumbung rumahnya, tepat pukul 12 tengah malam.
Hanya bertahan sebulan, Shila kemudiannya berpindah ke rumah sewa lain. Biarpun jauh dari pejabat suami, dia berasa lega kerana tidak lagi diganggu oleh kelbat nenek misteri yang menyeramkan.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad . Ilustrasi janaan AI
