MMToon

KELIBAT PUNTIANAK DI JAMBATAN SUNGAI PINGGAN

Oleh MUHAMMAD ZIKRI

SUNGAI Pinggan, Benut merupakan sebatang sungai yang terletak di Pontian, Johor sepanjang 13.71 kilometer (km) dikatakan mempunyai pelbagai cerita mistik dan menyeramkan yang dituturkan daripada mulut ke mulut oleh penduduk sekitar.

Salah satu daripada cerita seram dan mampu menegakkan bulu roma mereka yang mendengarnya adalah berkaitan penampakan puntianak ketika melalui jambatan merentangi sungai berkenaan.

Jambatan itu menghubungkan antara Parit Makasar ke Parit Panjang.

Menurut seorang penduduk kampung, Saifullizan Sarip, 46, yang juga jurugambar bebas di daerah Pontian berkata, di atas jambatan itu, setengah pemandu kenderaan yang melaluinya pada waktu tengah malam sering bertemu dengan perkara menyeramkan.

Katanya, paling menakutkan, ada yang terserempak dengan puntianak di atas jambatan tersebut hingga nyaris terbabas.

Selain puntianak, setengah pemandu turut mendakwa terjumpa dengan makhluk menakutkan lain berada atas jambatan tersebut.

“Mereka yang tidak kuat jiwa, serik untuk melalui jambatan itu pada waktu malam, bimbang terserempak dengan makhluk menyeramkan,” katanya.

Jelas Saifullizan, walaupun sekadar cakap-cakap tetapi ramai yang mendakwa diganggu entiti terbabit ketika melalui jambatan berkenaan.

Dalam pada itu, terdapat cerita menarik berhubung asal usul Sungai Pinggan mendapat nama, dikatakan berkaitan dengan kisah aneh puteri bunian yang menjaga pinggan mangkuk di kawasan tersebut untuk diberi pinjam kepada orang kampung.

Menurut bekas Ketua Kampung Kawasan 4, Mukim Sungai Pinggan, Abdul Rahim Laberahimah, nama itu dikaitkan dengan sebuah kisah yang masih menjadi misteri hingga kini dikatakan terjadi di sungai tersebut sekitar tahun 1800-an.

Katanya, kisah puteri bunian yang memberi pinjam pinggan mangkuk kepada penduduk kampung yang ingin mengadakan kenduri-kendara menjadi bualan masyarakat di situ secara turun-temurun.

Jelasnya lagi, menurut cerita orang tua-tua di kampung ini, setelah sekian lama memberi pinjam pinggan kepada penduduk, suatu ketika, puteri bunian berasa susah hati disebabkan ada yang mungkir janji dengan tidak memulangkan barangan dipinjam atau memulangkan tidak cukup bilangan.

Ekoran pinggan mangkuk semakin berkurangan, puteri tersebut berasa susah hati dan melarikan diri sambil menangis ke sebuah kampung dikenali sebagai Kampung Puteri Menangis.

“Sejak itu, tempat ini dinamakan Sungai Pinggan,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Salip Norpan, 64, menceritakan versi lain kisah orang kampung meminjam pinggan mangkuk daripada puteri bunian satu ketika dahulu.

Katanya, moyangnya, Sapariah Singodirono meninggal dunia ketika berusia 117 tahun pernah menceritakan kepadanya, perkampungan orang bunian berada di sepanjang Sungai Pinggan hingga ke hulu sungai.

Selain itu, jelasnya, bapanya juga pernah menceritakan kepadanya mengenai penempatan penduduk di sepanjang Sungai Pinggan pada waktu itu antaranya, Kampung Parit Simpang Gagak.

Kemuncak kemarahan puteri bunian terhadap penduduk yang meminjam pinggang mangkuk tetapi tidak memulangkan kembali adalah mereka diganggu oleh orang bunian.

“Disebabkan tidak tahan dengan gangguan tersebut, penduduk mengambil keputusan berpindah ke daratan yang lebih selamat daripada gangguan itu,” ujarnya.

Katanya, ketika zaman kanak-kanak, dia bersama datuk dan ayahnya selalu bersampan menyusuri Sungai Pinggan dan ada kalanya terlibat kelibat buaya putih yang dikatakan menjadi ‘penunggu’ sungai tersebut.

Ujarnya, dia pernah bermimpi didatangi seorang wanita berpakaian serba putih ketika tidur semasa mengembala kambing di pinggir Sungai Pinggan.

“Setelah sedar, seekor anak kambing hilang dan ditemui di kawasan tanah busut bersama seekor ayam hutan,” katanya.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!