MMToon

KELIBAT TIGA BERANAK HANTUI JALAN GUA SEJUK

 

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA Sejuk yang terletak kira-kira 21 kilometer dari bandar Gua Musang sememangnya terkenal sebagai jalan ‘sakaratul maut’ kerana hampir setiap tahun laluan itu pasti berdarah dan akan meragut nyawa pengguna jalan raya.

Kebanyakan penduduk tempatan menganggap kawasan yang berada Jalan Gua Musang-Kuala Krai itu sebagai tempat berpuaka dan misteri disebabkan kisah kemalangan ngeri yang sering berlaku di situ.

Ada cerita misteri yang masih belum terungkap selepas ramai pengguna jalan raya yang melalui kawasan maut itu mendakwa terserempak dengan pelbagai benda menyeramkan semasa memandu kenderaan pada waktu dinihari.

Menurut seorang penduduk tempatan, Mohd. Noor Ghani, 59, berkata pelbagai kisah misteri yang dimomokkan sehingga menimbulkan ketakutan kepada pengguna yang melalui jalan Gua Musang menuju ke Kuala Krai itu.

Katanya, ada pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut mendakwa pernah bertemu kelibat tiga beranak berjalan dalam gelap pada waktu tengah malam.

“Lebih meremang bulu roma adalah di kawasan terbabit, tiada satu pun penempatan manusia. Kalau ada pun agak jauh dari situ.

“Mungkin mereka yang terbabit dalam kemalangan terkejut terserempak dengan makhluk seperti itu menyebabkan kenderaan mereka terbabas.

“Saya juga tidak tahu kesahihannya, tetapi menurut pengalaman orang yang melalui jalan Gua Sejuk ketika sunyi tanpa sebarang kenderaan, mereka pasti dikacau dengan bayangan itu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, selain kelibat tiga beranak, ada juga pemandu yang mendakwa melihat benda seram lain seperti kelibat putih berterbangan, bayangan orang mengusung mayat, manusia tidak berkepala serta wanita misteri mendukung anak.

Ramai yang menyarankan agar tidak sesekali melalui jalan yang menyeramkan itu ketika waktu malam atau dinihari jika semangat tidak kuat.

“Perjalanan sepanjang jalan Gua Musang sememangnya mencabar. Suasana sunyi, jalan berbukit dan dikelilingi hutan memberi debaran kepada para pemandu terutamanya pada waktu malam atau awal pagi.

“Mengikut cerita orang kawasan tersebut bukan sahaja dihuni oleh haiwan liar malah menjadi penempatan makhluk ghaib yang sering muncul setiap kali menjelang waktu lewat petang hingga pagi,” tegasnya.

Kes 10 maut dan seorang bayi cedera parah dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Gua Sejuk 12 tahun lalu antara kejadian kemalangan terburuk pernah dicatatkan.

Pada tahun 2019 pula, seorang wanita maut dalam keadaan tragis selepas kereta dipandunya bertembung dengan lori muatan sawit sehingga menyebabkan tangan kanannya terputus.

Itu antara kisah kemalangan ngeri yang pastinya masih segar dalam fikiran penduduk tempatan.

Ujar Mohd. Noor, Gua Sejuk juga sesuai dengan namanya kerana sepanjang jalan suasananya begitu redup dan dingin.

“Kalau kita melalui jalan tersebut pada pukul 1 petang, kita akan merasai suasana dingin dan menyamankan walaupun ketika itu cuaca begitu panas,” katanya.

Sementara itu, seorang pengamal perubatan Islam, Hazuari Che Hamid, 52, pula berpendapat kekerapan kemalangan yang berlaku di laluan Gua Sejuk bukan disebabkan oleh gangguan makhluk ghaib di jalanan, tetapi percaya kejadian nahas disebabkan kelalaian pemandu itu sendiri.

Kalau kita melalui jalan tersebut pada pukul 1 petang, kita akan merasai suasana dingin dan menyamankan walaupun ketika itu cuaca begitu panas.”

Katanya, situasi cemas yang dialami oleh pengguna jalan raya disebabkan beberapa faktor seperti tidak fokus dalam pemanduan, tidak mengikut peraturan jalan raya dan memandu melebihi had laju yang sepatutnya.

“Kalau kita lihat laluan di Gua Sejuk itu, jalannya agak lurus menyebabkan para pemandu memandu melebihi had laju yang sepatutnya sehingga mengundang maut.

“Antara kejadian kemalangan yang paling saya ingati ialah nahas yang melibatkan enam beranak yang maut di tempat kejadian lima tahun lalu.

“Kemalangan tersebut telah menggemparkan penduduk tempatan dan rakyat Malaysia selepas kejadian kemalangan dan gambar mangsa yang maut turut tular di laman sosial,” katanya.

Jelas Hazuari, pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) pernah mengadakan solat hajat dan doa selamat sebagai usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan maut dan ngeri di kawasan itu.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

 

 

 

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!