
MUNGKIN ramai yang pernah mendengar cerita tentang kelibat makhluk bertubuh kecil dan berkepala botak yang menjadi khadam kepada tuannya untuk mencuri duit orang tanpa disedari mangsanya. Kelibat tersebut merupakan toyol yang mana ia dikategorikan sebagai makhluk halus dan cerita mengenainya banyak kedengaran di era-1960-an, 1970-an dan 1980-an.
Biarpun hidup dalam zaman yang serba canggih dengan teknologi terkini, namun masih ramai yang mempercayai kewujudan toyol. Menurut kepercayaan masyarakat, toyol memiliki ‘majikan’ dan sememangnya dibela untuk mencuri Biasanya makhluk belaan ini sering dikaitkan dengan kecurian wang dalam kawasan kejiranan. Ini kerana makhluk tersebut dipercayai mampu menyelinap dalam mana-mana bilik berkunci dan mampu mencari wang tunai yang tersorok.

Pernah mengalami gangguan toyol, menurut seorang wanita dikenali sebagai Fazila, 36, berkata, kampungnya yang terletak di satu daerah di negeri Johor pernah gempar dengan kelibat makhluk halus itu sekitar tahun 2000. Katanya, kekecohan itu timbul apabila beberapa penduduk mendakwa kehilangan wang simpanan.

Tidak pasti berapa banyak jumlah wang yang hilang tetapi pelbagai rungutan didengar daripada jiran tetangga. Ramai yang pelik wang mereka hilang sedikit demi sedikit dan tidak sekaligus. Itu merupakan antara misteri kami sekampung,” katanya.
Enggan mempercayai kepercayaan syirik, kata Fazila lagi, beberapa penduduk membuat andaian misteri kehilangan wang itu antara mereka adalah angkara pencuri. Bagaimanapun apabila wang yang disorokkan di dalam celahan buku turut hilang, selain tiada kesan rumah digeledah, penduduk mula menyimpulkan itu adalah kerja si toyol.

Ia dikuatkan lagi dengan dakwaan beberapa penduduk yang mengaku terlihat kelibat makhluk seperti budak kecil mundar-mandir di luar kawasan rumah pada waktu tengah malam. Sejak itu, tidak ada seorang pun yang berani keluar rumah pada waktu malam kerana bimbang terserempak dengan toyol.
Tidak tahan dengan kehilangan wang secara berterusan, penduduk kemudian sepakat untuk menangkap toyol dengan melakukan rondaan pada setiap malam selama sebulan, namun rancangan itu tidak berjaya.

Cerita mengenai kemunculan toyol itu lenyap begitu sahaja selepas beberapa bulan kemudian.
Menurut Fazila, dia pernah terdengar kepercayaan orang-orang terdahulu yang mendakwa toyol boleh ditangkap ketika sedang mencuri dengan menabur biji kacang hijau.

Saya tidak pasti ketepatan fakta ini, tetapi boleh dikatakan mitos ini dipercayai hampir semua orang. Katanya, dengan meletakkan biji kacang hijau berdekatan wang, toyol tersebut boleh ditangkap.
“Ini kerana toyol dikatakan akan leka bermain-main dan mengira biji kacang hijau yang ditemuinya itu sehingga terlupa untuk kembali kepada tuannya,” katanya.

Selain kacang hijau, ada juga yang mendakwa ikan puyu yang dibela di dalam akuarium mampu melalaikan toyol seterusnya mematahkan hasrat makhluk tersebut untuk mencuri.
Sukar untuk mempercayai kewujudan makhluk ini kerana ia hanya berlaku sekali sahaja sepanjang hidup saya. Tidak dinafikan ada yang menganggapnya sebagai mitos ada juga yang percaya makhluk halus ini benar-benar wujud.
“Apa-apa pun, sebagai seorang Muslim, janganlah kita terlalu meletakkan kepercayaan pada makhluk ini dan jangan sekali-kali membelanya,” terangnya.
Dalam pada itu, tidak hanya masyarakat di negara ini, kewujudan toyol turut dipercayai masyarakat Jawa di negara jiran, Indonesia. Menurut seorang tokoh masyarakat Indonesia, KH. Khusen Ilyas, bukan hanya kelihatan seperti budak kecil, toyol juga boleh muncul dalam bayangan haiwan dan bertugas untuk mencuri wang buat ‘majikan’nya.

Kononnya, makhluk itu dipelihara dalam sebuah botol kecil dan pemilik akan memberikan darah mereka sebagai makanan setiap kali bulan mengambang. Kegagalan memberikan darah menyebabkan toyol akan menghisap darah ahli keluarga terdekat si pemilik.
Terangnya lagi, makhluk halus itu tidak hanya boleh ditangkap dan dilihat oleh individu-individu tertentu sahaja.
