
KISAH seram dan mistik yang didakwa berlaku di lebuhraya atau di jalan raya di seluruh negara kerap kali diceritakan oleh pelbagai pihak.
Bagi mereka yang tidak pernah mengalami situasi seram tersebut, kisah yang diceritakan kepada mereka mungkin dianggap sekadar hanya sebuah cerita.
Namun bagi Farid (bukan nama sebenar), dia mempunyai sebab untuk mempercayai kisah mistik tersebut memandangkan dia sendiri pernah melalui pengalaman tersebut.

Bercerita mengenai kejadian yang menimpanya itu, dia yang berasal dari Kuala Lumpur memberitahu, kisah seram itu berlaku kira-kira lima tahun lalu ketika dia ditugaskan menjalankan tugas luar di Johor Bahru, Johor.
Dia yang kini berusia 40 tahun memberitahu, kejadian tersebut berlaku pada waktu malam ketika dia dan seorang rakannya dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur selepas selesai melaksanakan tugas.

Disebabkan urusan kerja tersebut perlu diselesaikan dalam masa satu hari, maka kami terpaksa bekerja lebih masa dan hanya siap pada pukul 10 malam.
“Oleh kerana sudah kelaparan, kami mengambil keputusan untuk singgah di sebuah restoran untuk menjamu selera sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Cerita Farid lagi, mereka juga sempat singgah di sebuah masjid untuk solat dan mandi bagi menyegarkan badan sebelum mula bertolak kira-kira pukul 12 tengah malam.
Jelasnya, kenderaan mereka melepasti Plaza Tol Skudai kira-kira pukul 12.30 tengah malam dan ketika itu, rakannya mengambil giliran untuk memandu terlebih dahulu.

Disebabkan terlalu kepenatan, Farid terlelap sambil rakannya itu terus memandu dengan ditemani lagu yang berkumandang menerusi radio yang dipasang.
“Sampai di satu kawasan berbukit selepas susur keluar Yong Peng, rakan saya tiba-tiba membrek kenderaan kami dengan agak kuat menyebabkan saya terjaga daripada tidur.
“Saya melihat mukanya agak pucat, dan saya menyangkakan dia berbuat demikian bagi mengelak dari melanggar sesuatu.
“Dalam fikiran saya, mungkin dia juga kepenatan dan mengantuk mengebabkan dia mungkin hampir melanggar kenderaan lain.

Tetapi ketika itu, saya melihat menerusi cermin sisi tiada sebarang kenderaan berada berhampiran kami, selain keadaan di situ juga agak gelap,” katanya.
Jelas Farid lagi, lebih menghairankan apabila rakannya itu tiba-tiba memandu di lorong paling kiri pada kelajuan tidak melebihi 30 kilometer sejam, sedangkan rakannya itu sangat dikenali sebagai pemandu yang kerap memandu laju terutama di lebuhraya.
Katanya, keadaan itu berlarutan dalam tempoh kira-kira 10 minit dan rakannya itu kembali memandu pada kelajuan biasa selepas mereka melepasi papan tanda susur keluar ke Pagoh.
“Sebaik tiba di kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh, rakan saya memberhentikan kenderaan dan terus keluar menuju ke tandas tanpa bercakap walaupun sepatah.

Saya yang kehairanan cuba mengikutinya dan selepas ke tandas, saya mengajaknya berehat sambil minum minuman panas bagi menghilangkan penat.
“Ketika itulah rakan saya itu menceritakan apa yang berlaku ketika kami berada di lebuhraya sebelum itu,” katanya.
Jelas Farid, berdasarkan apa yang diceritakan, rakannya itu membrek dengan kuat selepas terkejut melihat satu lembaga menyerupai seorang wanita tiba-tiba berada di tempat duduk penumpang belakang.

Menurut cerita rakannya itu, muka lembaga berkenaan kelihatan sangat pucat sehingga kelihatan urat pada kulit wajahnya, selain rambut yang mengurai.
Kenderaan mereka yang bergerak perlahan itu bukanlah disebabkan dipandu secara perlahan, tetapi disebabkan oleh kenderaan mereka tiba-tiba terasa berat seolah-olah membawa beban yang besar.
“Kata rakan saya itu lagi, lembaga tersebut tiba-tiba hilang selepas kenderaan mereka melepasi susur keluar Pagoh menyebabkan ia dapat dipandu seperti biasa selepas tidak lagi terasa berat.

Walaupun bukan saya sendiri yang melihat wajah lembaga tersebut, tetapi saya mempercayai apa yang diceritakan oleh rakan saya itu.
“Ini kerana sebelum ini, saya juga pernah beberapa kali mendengar cerita mengenai kisah lembaga wanita yang menumpang kenderaan di sekitar kawasan berbukit di antara Yong Peng dan Pagoh,” jelasnya.
Selepas kejadian itu katanya, sekiranya perlu melalui laluan tersebut, dia akan cuba mengelak daripada memandu kenderaan pada waktu tengah malam bagi mengelak kejadian itu menimpa dirinya.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 25 Jun 2023. Imej janaan AI.
