
Oleh RIZAM ZAKARIYA
INDUSTRI inap desa yang semakin berkembang di negara ini membuatkan ia menjadi antara pilihan kepada banyak pihak untuk dijadikan tempat penginapan khususnya bagi keluarga besar atau kumpulan yang ramai.
Bagi Amirul (bukan nama sebenar), dia juga kerap menjadikan rumah inap desa sebagai pilihan utama sekiranya dia dan rakan sepejabatnya ditugaskan melakukan kerja luar untuk beberapa hari.
Bagaimanapun jelasnya, setelah beberapa kali menyewa rumah inap desa sewaktu melakukan tugas luar pejabat, terdapat satu kejadian seram yang berlaku ke atas mereka.

Ketika membuka cerita, Amirul memberitahu, kejadian tersebut berlaku ketika dia dan rakan sepejabatnya menyewa sebuah rumah inap desa di bandar Alor Setar, Kedah tahun lalu.
“Ketika itu, saya dan sembilan lagi rakan sepejabat terlibat dalam karnival jualan penghabisan stok di sebuah pusat beli-belah di Alor Setar selama tujuh hari.
“Disebabkan jumlah kami yang ramai dan tempoh penginapan yang agak lama, rumah inap desa merupakan pilihan yang paling sesuai kerana lebih menjimatkan.
“Cuma, rumah inap desa jenis teres yang kami sewa ketika itu agak berlainan kerana selain kedudukannya yang terletak di hujung lorong, terdapat juga sebatang pokok besar yang tumbuh di kawasan semak bersebelahannya membuatkan persekitarannya agak suram,” katanya.

Jelas Amirul lagi, disebabkan jualan penghabisan stok yang dilakukan tamat pada pukul 10 malam, maka mereka hanya pulang ke rumah inap desa pada lewat malam selepas selesai makan malam.
Katanya lagi, pada hari pertama mereka tinggal di inap desa tersebut, tiada sebarang kejadian aneh yang berlaku.
Namun jelasnya, mereka mula mengalami kejadian pelik pada malam kedua selepas pulang ke rumah kira-kira pukul 12 tengah malam.
Katanya lagi, selepas membersihkan diri, sebahagian mereka masih berbual-bual di ruang tamu sambil menonton filem seram di televisyen walaupun ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi.

“Sewaktu sedang asyik menonton, tiba-tiba kami terdengar seakan pinggan kaca terjatuh ke lantai.
“Tanpa memikirkan yang bukan-bukan, seorang daripada kami pergi ke dapur untuk memeriksa apa yang berlaku.
“Sebaik mendapati tiada barangan kaca yang jatuh atau pecah, kami beranggapan bunyi tersebut mungkin datang dari rumah jiran,” katanya.
Menurut Amirul lagi, seperti biasa, pada malam keesokkannya selepas pulang dari makan malam, sebahagian mereka akan berbual-bual di ruang tamu sambil menonton televisyen sementara menunggu untuk tidur.

Pada waktu itu, kejadian bunyi kaca pecah di bahagian dapur masih berlaku dan ketika itu, memang benar ada pinggan yang jatuh dan berderai di lantai.
“Ketika saya dan seorang rakan memeriksa di bahagian dapur, memang benar ada pinggan pecah dan berderai di lantai.

“Sewaktu ingin membersihkan serpihan kaca, tiba-tiba satu lagi pinggan yang terletak di atas rak tidak jauh dari kami jatuh ke lantai dan berkecai.
“Terkejut dengan kejadian yang berlaku, saya dan rakan terus berlari ke ruang tamu dan menceritakan perkara itu kepada rakan lain,” ujarnya.

Kata Amirul, disebabkan kejadian menyeramkan itu, kesemua mereka mengambil keputusan untuk tidur di ruang tamu.
Namun katanya, gangguan tersebut tidak berhenti setakat itu, malah mereka turut terdengar bunyi seakan-akan pintu gelongsor di bahagian hadapan diketuk dengan kuat beberapa kali.

Dalam ketakutan, semua mereka yang ada ketika itu mula membacakan apa sahaja surah dan ayat al-Quran yang dihafal, selain turut membuka bacaan al-Quran menggunakan telefon bimbit.
“Keesokan harinya, kami mengambil keputusan untuk keluar dari rumah tersebut dan menghubungi rakan sekerja di ibu pejabat di Kuala Lumpur sambil memberitahu kejadian yang menimpa kami.
“Pihak pengurusan kemudiannya menyewa rumah inap desa yang lain memandangkan kami masih mempunyai empat hari sementara menunggu sesi jualan penghabisan stok berakhir,” katanya.

Menurut Amirul, selepas keluar dari rumah inap desa tersebut, dia dan rakannya membuat carian berhubung komen daripada pelanggan lain yang pernah menyewa di rumah inap desa tersebut.
Katanya, berdasarkan komen yang diberi, ada antara penyewa yang turut mengalami kejadian seram yang serupa.
Malah katanya, ada antara penyewa yang memberitahu berdasarkan cerita yang diperolehi, terdapat sebuah kubur lama yang terletak berhampiran pokok besar bersebelahan rumah tersebut dan ia mungkin ada kaitan dengan gangguan yang dialami oleh penyewa inap desa berkenaan.
Ekoran daripada kejadian itu, dia mula memeriksa komen daripada penyewa terdahulu setiap kali ingin menyewa rumah inap desa bagi mengelak kejadian sama berulang.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI.
