MMToon

LAMBAIAN DARI SEBERANG

Oleh KOSMO!

MASIH segar dalam ingatan Liza (bukan nama sebenar) mengenai satu perkara misteri yang memang tidak dapat dilupakannya.

Meskipun sudah hampir tujuh tahun berlalu, namun apa yang berlaku kepada dirinya dan juga suami, Zehan (bukan nama sebenar) memang tidak pernah luput di minda mereka.

Berkongsi kepada Panorama, Liza yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata dan menetap di Simpang Renggam, Johor bersama mentuanya dan kakak iparnya sudah terbiasa berulang-alik jauh ke tempat kerja.

Katanya, dek kerana anaknya yang masih kecil dan kesukaran untuk mencari pengasuh selain faktor kewangan, Liza dan suaminya sanggup berulang alik setiap hari.

“Ya selama hampir tiga tahun saya dan suami ulang alik dari Simpang Renggam ke Johor Bahru yang memakan masa selama sejam perjalanan.

“Cuma syukurnya saya bekerja shif dan suami pula mengusahakan bengkel kereta dan mempunyai beberapa orang pekerja,” katanya.

Menurut Liza, lazimnya apabila shif kerja bermula pada pukul 2 petang, dia dan suami akan bertolak lebih awal sekitar pukul 11 pagi dan singgah untuk makan tengah hari di sebuah warung asam pedas popular di daerah Kulai.

Katanya, warung yang dibina daripada papan dan atap berupa zink itu memang sudah lama beroperasi dan menawarkan pelbagai jenis masakan berupa asam pedas.

“Kami memang selalu singgah situ. Sebab makanan yang dijual pun murah dan sedap rasanya.

“Kalau cakap pasal warung asam pedas itu, pasti kebanyakan daripada orang Johor atau kawasan sekitar kenal dan pernah menjamu selera di situ,” ujarnya.

Menurutnya lagi, tidak jauh daripada warung asam pedas tersebut ada sebuah gerai kecil berupa kedai runcit usang dan diusahakan pasangan suami isteri tua.

Liza berkata, tiap kali dia dan suaminya sampai sahaja di warung tersebut, kedua-dua pasangan warga emas itu pasti akan melambai tangan ke arahnya dan melemparkan senyuman sambil duduk bersebelahan.

Kata Liza, sampaikan kedua-dua pasangan itu sudah kenal mereka berdua kerana kerap kali makan tengah hari di situ.

“Pun begitu, saya dan suami tidak pernah pula singgah membeli apa-apa barangan di kedai milik warga emas itu.

Tapi tiap kali dia senyum kepada kami berdua, kami pasti akan balas senyuman tersebut dan pasti melambai semula sebagai tanda hormat kepada mereka,” katanya.

Jelas Liza yang merupakan pengurus outlet pakaian berjenama mewah itu, pada mulanya dia dan suami tidak hiraukan sangat perkara tersebut dan anggap itu normal.

Pun begitu, lama kelamaan, dia dan suami tergerak hati untuk bertanya dengan pemilik warung asam pedas bersebelahan mengenai identiti kedua-dua pasangan tua itu.

Ujar Liza, alangkah terperanjatnya apabila dimaklumkan bahawa kedua-dua pasangan tersebut sebenarnya sudah lama tidak berniaga.

Paling memeranjatkan saya dan suami, pemilik warung tersebut berkata, kedua-dua warga emas itu sudah hampir setahun meninggal dunia kerana terlibat dengan kemalangan tragis.

“Jadi selama ini yang senyum dan melambai kami itu siapa? Kenapa kami berdua sahaja yang kena? Adakah mata kami silap atau bagaimana?,” soal mereka berdua.

Akui Liza, sejak dari itu, dia dan suami sudah jarang makan di situ dan kalau ada pun mungkin selang beberapa bulan dan tidak kerap seperti dulu.

Beritahu Liza, mungkin roh kedua-dua warga emas itu tidak aman kerana meninggal dalam keadaan menyayat hati.

Setiap kali selesai solat fardu, Liza dan suaminya pasti akan menyedekahkan surah Al-Fatihah buat kedua-dua insan tersebut agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 23 Julai 2023. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!