
Oleh FARID AHMAD TARMIJI
MENJADI rutin harian bagi seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Wan untuk keluar berjoging di kawasan rumahnya seawal lima pagi.
Bertugas sebagai pengadil bola sepak dia menjadikan aktiviti berjoging itu sebagai salah satu cara untuk mengekalkan staminannya.
“Saya selalu berjoging bersendirian dan kadang kala ada juga ditemani rakan sekampung.

Sepanjang saya berjoging seawal pukul lima pagi itu pernah juga merasai seakan diperhatikan
oleh makhluk lain dan mendengar bunyi-bunyi yang kurang menyenangkan,” katanya.
Pak Wan menjelaskan berdasarkan cerita penduduk setempat kawasan yang menjadi tempat dia berjoging pernah menjadi lokasi markas tentera Jepun di Melaka.

Menurutnya, ada penduduk sekitar yang pernah terserempak dengan kelibat lelaki yang berpakaian lengkap seperti tentera Jepun sekitar pukul tiga pagi.

Pada mulanya dia seperti tidak percaya dengan cerita-cerita tersebut sehinggalah terjadi satu
kejadian kepadanya.
Ada satu ketika seperti biasa Pak Wan keluar untuk berjoging dan dari jauh dia kelihatan ada
kelibat lain yang turut berlari di hadapannya.

Pada mulanya saya ingatkan dia itu rakan saya. Dalam keadaan gelap yang hanya saya tidak
dapat melihatnya dengan jelas.
“Saya cuba mengejarnya bagi membolehkan kami berjoging bersama. Semakin saya mengejar dia semakin jauh. Saya cuba memanggilnya tetapi tidak dibalas dan kemudian dalam samar cahaya lampu jalan dia terus menghilang dari penglihatan,” katanya.
Tambahnya, dalam samar cahaya lampu itu dia perasan pakaian orang yang berlari di hadapannya itu seperti menyarung pakaian tentera Jepun lama.

Dia menjelaskan, dari belakang mereka hanya dapat melihat kelibat belakang lelaki tersebut dan tidak nampak bahagian kepalanya.
Tidak lama kemudian barulah rakannya itu datang dari belakang Pak Wan.
“Saya ada bertanya adakah dia yang berlari di hadapan saya. Dia menjawab tidak kerana dia baru sahaja mula berjoging.

Dia kemudian menceritakan bahawa sebelum ini dia juga pernah berhadapan dengan situasi yang sama,” terangnya.
Sejak daripada itu, Pak Wan beberapa kali berhadapan dengan kejadian tersebut sewaktu dia keluar berjoging.
Tetapi sejak kisah itu, dia buat tidak peduli akan hal itu kerana walaupun kelihatan samar samar dari jauh kelibat itu tidak menganggungnya.
Dalam pada itu, kisah lain yang Pak Wan alami sewaktu keluar berjoging di kawasan yang pernah menjadi tapak markas tentera Jepun itu adalah apabila dia mendengar suara-suara teriakan seperti orang tengah diseksa.
Menurutnya, pertama kali mendengar dia berhenti seketika lariannya dan cuba mengintai kawasan setempat tetapi tidak berjumpa bertemu kelibat orang.
Semakin saya cuba mendekati suara itu dia semakin dalam masuk ke dalam kawasan belukar.
“Tetapi saya tidak terus masuk ke dalam belukar itu dan saya biarkan sahaja dan teruskan untuk berjoging,” katanya.
Tambahnya, mungkin suara teriakan yang dia dengar itu adalah satu ganguan dan mungkin di situ pernah menjadi lokasi tentera Jepun menyiksa tahanan.