
SEPANJANG 30 tahun bertugas sebagai penyelamat laut di Pantai Tanjung Balau di sini sudah pasti pelbagai pengalaman telah dilalui dan tentunya ada yang terpatri menjadi memori yang tidak akan dilupakan sampai bila pun.
Bagi Salahuden Abu Bakar, 51 pengalaman menyelamatkan orang ketika lemas adalah perkara biasa baginya dimana pernah sahaja dia menyelamatkan sembilan orang daripada 12 orang pengunjung yang berdepan detik lemas.

Bagaimanapun katanya pengalaman agak ‘mistik’ yang dialami adalah perkara yang tidak dilupakan sehingga kini.
Menurutnya sebagai orang Islam sudah semestinya kita harus percaya kehidupan di atas bumi ini juga wujudnya makhluk-mahkluk lain dan harus diterima sebagai qada dan qadar dari Tuhan.

Katanya hukum alam sendiri menyatakan bukan manusia sahaja yang bermaustatin di muka bumi ini tetapi ada kehidupan lain yang tidak kelihatan dari pandangan mata kasar.
Menurutnya peristiwa 16 tahun dialami merupakan paling tidak dapat dilupakan sepanjang bertugas sebagai penyelamat laut bahkan masih segar sehingga kini.

Jika tanya saya apa pengalaman paling tidak boleh lupakan dimana ketika itu saya sedang melakukan aktiviti latihan selaman berseorangan. Sebagai penyelamat di laut menyelam adalah salah satu kemahiran penting yang perlu kami ada.
“Di sini saya memang sudah biasa melakukan latihan menyelam sendiri. Satu hari itu ketika sedang menyelam jauh ke dasar laut, secara tiba-tiba halwa telinga saya terdengar bunyi paluan kompang, suara orang riuh rendah orang seperti aktiviti rewang untuk majlis perkahwinan di sebuah kampung sedang berlangsung.

Ketika itu saya dalam keadaan sedar yang saya berada di dalam air namun semuanya kedengaran begitu jelas. Aktiviti itu berlaku sama seperti kita sedang rewang di darat. Dalam masa sama saya tidak nampak bayangan orang atau apa-apa. Agak mustahil jika ‘bunyi-bunyi’ itu dari aktiviti di darat kerana saya sudah berada jauh di dasar laut.
“Hampir setengah jam juga saya leka mendengar riuh rendah tersebut. Tidak lama selepas itu saya terus beredar. Pengalaman ini juga turut saya kongsikan kepada keluarga dan kenalan kerana ia luar biasa bagi saya.

Memang jelas kebesaran kuasa Allah yang turut menciptakan alam ghaib di bumi ini bukan sahaja di darat tetapi juga di dalam laut. Sebagai hambanya kita memang kena percaya kewujudan alam lain yang tidak kita nampak dan hanya Tuhan sahaja yang mengetahui,” katanya.
Bapa kepada dua orang anak itu berkata, dia juga pernah berdepan pengalaman bertemu dengan ikan pari gergasi yang besarnya seluas bumbung dan ekornya sepanjang lima meter.

Katanya ketika kejadian itu dia juga sedang melakukan aktiviti latihan selaman kira-kira pada pukul 11 pagi.
“Hari masih siang dan cuaca juga dalam keadaan baik ketika saya memulakan selaman namun secara tiba-tiba saya dapati keadaan laut menjadi gelap.

Awalnya saya agak panik juga mana tidaknya bila saya mendongak ke atas saya dapati diatas kepala ada seekor ikan pari gergasi yang begitu besar dan terlalu besar. Besarnya sama dengan keluasan bumbung dan itu pertama kali saya lihat.
“Jika ditakdirkan ikan tersebut menghempap saya pada ketika itu, memang pasti umur saya tidak akan panjang.

Ketika itu saya hanya berdoa agar ikan tersebut segera pergi, saya berkata di dalam hati jangan kacau aku, aku sekadar mahu mencari makan.
“Syukur alhamdulillah apabila ikan tersebut pergi dan dengan segera saya terus naik ke darat,” katanya yang telah menjadi penyelamat laut sejak usia 19 tahun.

Salahuden berkata dia juga menafikan kawasan batu di pantai tersebut sebagai lokasi ‘makan orang’ ekoran banyak kes lemas dikenal pasti berlaku disitu.
Katanya tiada apa yang mistik namun yang ada hanyalah arus deras yang boleh mengundang bahaya kepada pengunjung.

Di sini memang kita pasang bendera merah sebagai amaran kepada pengunjung agar tidak mandi manda di kawasan tertentu terutama di kawasan berbatu.
“Bahkan bukan di pantai ini sahaja, di pantai lain juga di kawasan berbatu adalah sangat berisiko kerana disitu terdapat tarikan arus yang kuat.

“Kebanyakan kes lemas berlaku juga adalah disebabkan sikap pengunjung sendiri yang tidak endah akan dengan amaran dikeluarkan lebih-lebih lagi pada musim monsun.
“Oleh itu sebagai penyelamat kita memang sudah tahu dan akan memberikan lebih pemerhatian terutama pada musim tersebut termasuklah dengan memberi amaran awal bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 27 Ogos 2023 . Ilustrasi janaan AI
