MMToon

LEMBAGA MISTERI MUNCUL DALAM CERMIN INAP DESA

Oleh FADILA AWALUDIN

PERCUTIAN singkat Halim Jaafar bersama isteri dan dua orang anaknya di utara tanah air sepatutnya menjadi kenangan indah buat mereka sekeluarga.

Namun, siapa sangka penginapan mereka di sebuah inap desa yang terletak di pinggir bandar kecil telah menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakannya seumur hidup.

Mengakui dirinya bukan seorang yang mudah percaya dengan hal mistik, namun kejadian itu memang membuatkan dia sekeluarga mengalami kesukaran untuk tidur.

“Saya bukan jenis yang percaya sangat dengan cerita seram, tetapi apa yang berlaku pada malam pertama menginap di inap desa itu membuatkan saya tergaman dan sukar untuk tidur.

Disebabkan penerbangan tertunda jadi kami sekeluarga tiba agak lewat di inap desa sekitar pukul 5 petang dan keadaan rumah kelihatan biasa sahaja.

“Sebuah rumah kayu dua tingkat yang agak klasik dan dikelilingi pokok besar dan suasananya memang agak sunyi sedikit, tetapi memang tiada apa-apa pun,” kongsi lelaki berusia 44 tahun itu kepada CitaRasa.

Kongsi Halim, sebaik sahaja tiba di inap desa anak-anak yang berusia lingkungan 13 dan 15 tahun masing-masing teruja dan gembira, sementara isterinya sibuk menyusun makanan dan pakaian.

Disebabkan berasa agak letih, Halim masuk ke salah satu bilik kosong di tingkat atas sekadar untuk berehat seketika.

Dalam bilik itu ruang sangat tenang, hanya terdapat sebuah katil bujang dan meja solek lama dengan cermin besar, namun ketika ketika menoleh ke cermin, saya ternampak sesuatu yang tidak masuk akal.

“Saya yakin bilik itu kosong, tetapi ketika melihat cermin meja solek itu saya nampak bayangan seorang wanita berdiri seolah-olah sedang memandang saya. Tetapi bila saya menoleh ke belakang melihat bilik itu kosong dan tiada sesiapa,” katanya.

Kejadian itu membuatkan dia terkejut dan tergamam, namun cuba bertenang selain mengambil keputusan mendiamkan diri serta tidak memberitahu kepada ahli keluarga lain.

Baginya apa yang berlaku itu hanya bayangan disebabkan dia berasa keletihan dan menganggap itu mungkin bayangan minda semata-mata.

Namun, sepanjang malam Halim sukar melelapkan mata kerana berasa seperti sedang diperhatikan oleh sesuatu.

“Sesekali saya terdengar suara seperti ada orang berjalan di ruangan dapur dan laluan di luar bilik. Saya cuba memperhatikan tingkah laku ahli keluarga lain, tetapi mereka tidak menunjukkan sebarang reaksi seperti takut atau bercerita jika berlaku kejadian mistik.

“Jadi saya abaikan apa yang berlaku dan tidak lagi masuk ke bilik kosong itu kerana di inap desa ini memiliki empat buah bilik. Kami menggunakan dua bilik di tingkat bawah manakala bahagian atas kosong,” kongsinya.

Setelah menghabiskan masa sekitar tiga hari, Halim sekeluarga bersiap-siap untuk berangkat pulang ke ibu kota. Mereka menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk lapangan terbang.

Sewaktu dalam perjalanan, pemandu kereta tersebut berkongsi kisah yang mengejutkan Halim sekeluarga dan membuatkan dia yakin bahawa apa dilihat itu bukan sekadar bayangan biasa.

“Waktu pemandu itu sampai, nampak reaksi wajahnya agak terkejut dan berasa kurang selesa apabila melihat kami. Sepanjang perjalanan dia agak kurang bercakap dan hanya akan bercakap apabila ditanya.

“Tetapi sebaik saja kami tiba di lapangan terbang, pemandu itu memberitahu bahawa inap desa yang kami tinggal itu terkenal dengan kisah misteri iaitu lembaga wanita muncul dalam cermin besar yang digantungkan di dinding.

“Saya dengar saja terus terkejut dan meremang bulu roma kerana katanya pernah ada kejadian sekumpulan pelajar histeria selepas tidur di depan cermin besar itu.

“Apa-apa pun saya sangat bersyukur kerana tiada ahli keluarga lain masuk ke bilik itu kecuali saya dan tiada sebarang kejadian aneh yang menimpa kami sekeluarga,” tuturnya menutup bicara.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI.

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!