Oleh RIZAM ZAKARIYA
HARI Raya Aidilfitri sememangnya sangat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam termasuk di negara ini.
Bagi mereka yang berada di perantauan, itulah masa yang paling sesuai untuk pulang ke kampung bagi bertemu dengan keluarga dan sanak-saudara.
Perkara itu turut dirasai oleh Azman (bukan nama sebenar) setiap kali menjelangnya Hari Raya Aidilfitri saban tahun.
Namun, di sebalik keghairahan untuk menyambut hari raya, ada kisah seram yang telah dilalui Azman sehingga membuatkan dia tidak pernah lupa mengenainya setiap kali tiba malam raya.
Cerita Azman, kisah tersebut berlaku kira-kira 20 tahun lalu semasa dia ingin pulang beraya di kampung halamannya di Pahang selepas meratau ke Kuala Lumpur.
“Kejadian itu berlaku ketika tahun pertama saya berada di Kuala Lumpur untuk bekerja. “Oleh kerana saya hanya bekerja di sektor perkilangan, saya hanya mampu membeli sebuah motosikal untuk kegunaan berulang-alik ke tempat kerja setiap hari,” katanya.
Cerita Azman lagi, ketika itu adalah tahun pertama dia berpuasa bulan pada Ramadan di perantauan, dia berasa sangat teruja untuk pulang ke kampung halamannya bagi menyambut hari raya.
Namun, oleh kerana dia terpaksa bekerja lebih masa pada hari terakhir Ramadan, dia hanya boleh bertolak kira-kira pukul 11 malam selepas mengambil pakaian di rumah sewanya.
“Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pahang melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak memang sangat sesak dengan kenderaan memandangkan orang ramai turut mengambil peluang untuk pulang berhari raya di kampung masing-masing.
“Kira-kira pukul 1 pagi iaitu selepas 3 jam menunggang motosikal, saya akhirnya menghampiri kawasan kampung halaman saya yang terletak di kawasan Felda.
“Seperti biasa, laluan dari jalan besar menuju ke kawasan perumahan Felda sememangnya agak sunyi dengan hanya dikelilingi pokok kelapa sawit,” katanya.
Cerita Azman lagi, disebabkan ketika itu pokok kelapa sawit di Felda berkenaan baru ditanam semula dan masih kecil, maka kawasan berbukit di sekitarnya dapat dilihat dengan jelas.
Ketika melalui jalan tersebut katanya, hanya dia bersendirian dengan tiada sebarang kenderaan melaluinya menyebabkan dia berasa agak ketakutan.

Namun disebabkan keghairahan untuk menyambut hari raya selain memikirkan dia sudah menghampiri kawasan perumahan penduduk, dia tidak mengendahkan perasaannya itu.
“Disebalik saya cuba untuk mengurangkan rasa takut, tiba-tiba anak mata saya terlihat satu objek berwarna putih yang berterbangan di atas kawasan bukit tidak jauh dari jalan yang sedang saya lalui.
“Saya dapat melihat dengan jelas, objek tersebut seakan-akan sekujur tubuh yang terbang dengan kedua-dua tangan lurus ke bawah dan mempunyai rambut yang kusut dan panjang.
“Lebih menyeramkan apabila ia turut mengilai dengan suara yang sangat kuat. “Tanpa berfikir panjang, saya terus memecut laju motosikal yang ditunggang sambil membacakan ayat suci al-Quran bagi meredakan ketakutan,” katanya.
Jelasnya lagi, sebaik tiba di rumah keluarganya, dia terus meluru masuk ke bilik untuk mandi dan menunaikan solat sunat memohon perlindungan Allah dari sebarang gangguan.
Katanya, selepas ketakutannya reda, barulah dia keluar semula untuk bertemu ahli keluarga yang ketika itu sedang sibuk membuat penyiapkan juadah untuk menyambut hari raya.
Tambahnya, sehingga ke hari ini, dia tidak pernah menceritakan kejadian seram yang dialaminya itu kepada sesiapa termasuk ahli keluarganya.
Namun, kejadian itu telah terpahat di dalam fikirannya dan kini, setiap kali ingin pulang ke kampung pada waktu malam, dia akan mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran di dalam kenderaannya sebagai ikhtiar perlindungan agar kejadian sama tidak berulang.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. – Imej janaan AI.
