
Oleh SAIRUL ZAMRI MISRANI
PENGALAMAN Masdi (bukan nama sebenar) berdepan detik misteri sekitar sedekad lalu masih jelas dalam ingatan.
Lama menyimpan cerita tanpa diketahui ramai pihak, Masdi mengakui, dia beberapa kali pernah diganggu makhluk halus ketika sedang bertugas.

Rutin sebagai pemandu lori, kebiasaannya perjalanan banyak di sebelah malam dan memerlukan pemanduan jauh berseorangan.
Berkongsi kisah, Masdi yang sudah hampir lima tahun bekerja sebagai pemandu lori mengakui, sebelum ini dia tidak pernah diganggu sebegitu.

“Saya bekerja sebagai pemandu lori dengan sebuah syarikat multinasional sudah hampir lima tahun.
“Trip (perjalanan) biasanya memang jauh. Ada kalanya dari selatan membawa ke utara dan biasanya kami (pemandu) memulakan perjalan pada waktu malam.

“Cara paling mudah dan selesa untuk sampai biasanya dengan menggunakan lebuh raya.
“Selain keadaan jalan yang baik, pelbagai kemudahan disediakan buat pengguna,” katanya.

Meneruskan cerita, ada satu hari dia mendapat tugas untuk menghantar barang ke Pulau Pinang dari Johor memandangkan syarikatnya memang beroperasi di negeri selatan itu.
Katanya, dia memulakan perjalanan sekitar pukul 9 malam dan mesti sampai ke Pulau Pinang sebelum pukul 8 pagi keesokan harinya.

“Jadi, bila dapat arahan untuk hantar barang ke sana, saya okey sahaja. Lagipun bukan kali pertama saya ke Pulau Pinang.
“Memulakan perjalanan, semuanya lancar dan aliran trafik juga baik. Kebiasaannya, saya akan berehat dua atau tiga kali di kawasan rehat dan rawat (R&R) disediakan.

“Jadi, waktu rehat yang ada itu saya gunakan untuk tidur seketika, makan, minum, solat dan memeriksa kenderaan terutama tayar,” katanya.
Jelas Masdi, hari dia membuat penghantaran tersebut adalah pada Khamis (malam Jumaat) dan cuaca pada hari itu kelihatan tenang dan sedikit sejuk.

“Selepas saya berhenti di sebuah R&R di Perak, saya menyambung semula perjalanan sekitar pukul 4 pagi.
“Seperti pengguna lebuh raya tahu, ada satu kawasan di Perak jalannya agak mencabar betul-betul selepas Terowong Menora arah utara.

“Sedang asyik memandu sambil ditemani lagu di corong radio, alangkah terperanjatnya saya apabila terlihat susuk tubuh wanita berkain putih tanpa kepala.
“Sebelumnya, saya ada terbau benda yang kurang enak. Seperti bau bangkai yang amat busuk dan terbakar.

“Disebabkan terkejut, saya hampir kemalangan. Saya bersyukur kepada Tuhan lori dapat dikawal dan tidak jatuh ke dalam gaung.
“Selepas kejadian itu, saya demam selama satu minggu kerana terbayang-bayang lembaga menyeramkan yang tumpang bertenggek di ruang rehat belakang lori saya,” katanya.

Sejak insiden itu juga, Masdi meminta kepada pihak atasan untuk mengambil cuti beberapa hari untuk berehat.
Akui Masdi lagi, selama beberapa hari, dia seakan-akan ‘dihantui’ dan diikuti lembaga seram berkenaan hingga memaksanya berubat secara tradisional.
