MMToon

MAK CIK BERBAJU LUSUH MENJELMA TENGAH MALAM

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

ORANG-ORANG tua sering mengingatkan kanak-kanak untuk masuk ke dalam rumah apabila remang-remang senja mula tiba.

Jika biasa tinggal di kawasan pedalaman seperti kampung atau Felda, kelibat golongan ibu yang membawa ranting kayu sambil mulutnya menyuruh anak-anak pulang ke rumah adalah perkara lazim.

Sebenarnya, tindakan golongan tersebut ada rasionalnya kerana senja adalah masa makhluk halus dan konco-konco iblis melata mengganggu anak cucu Adam.

Daripada Jabir RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud, “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.” [Riwayat al-Bukhari (3304) dan Muslim (2012)].

Kisah yang ingin diceritakan ini melibatkan sebuah keluarga yang berpindah ke sebuah rumah baharu setelah tinggal lama di kawasan perumahan kos rendah.

Menurut seorang usahawan kuih tradisional dari Daerah Kuala Langat, Selangor Shaari Sarjoni, 51, dia dan keluarga mentua tinggal bersama di rumah banglo setingkat milik mentuanya sejak lebih 10 tahun lalu.

Sejak itu, pelbagai jelmaan dan peristiwa misteri melibatkan keluarga saya termasuk isteri, empat anak saya serta adik-beradik keluarga mentua.

“Anak perempuan saya sejak berusia 7 tahun sering terlihat kelibat wanita berambut hitam panjang dengan berbaju putih lusuh di kawasan rumah,” katanya ketika ditemui di Pantai Morib baru-baru ini.

Shaari berkata, anak perempuannya yang ketika itu berusia 5 tahun sering terjaga pada waktu malam hari sebelum menuju ke ruang tempat keluarganya menonton televisyen.

Katanya lagi, dia dan isteri serta mentua hanya tersedar bila mendengar tangisan kuat anaknya sambil menunjuk ke arah ruang tersebut.

Ujarnya, anaknya memberitahu, ada nenek baju putih di kawasan itu.

“Bapa mentua saya bukan calang-calang kerana dia pernah menuntut ilmu silat harimau berantai dan seorang yang warak. Apabila dia keluar bilik, tangisan anak pun terhenti dan suasana menjadi hening.

“Sebagai bapa perkara tersebut agak menggusarkan kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk terjadi. Jadi, saya jumpa seorang ustaz untuk mendapatkan nasihat,” katanya.

Ustaz tersebut yang berusia hampir 70 tahun dan orang lama di kampung itu berkata, perkara tersebut berlaku disebabkan tapak rumah terbabit merupakan lokasi melakukan upacara mistik.

Jelas ustaz itu, kemungkinan besar jelmaan wanita tua tersebut adalah sebahagian tinggalan makhluk halus yang terdiri daripada jin kafir yang diseru pengamal ilmu hitam.

“Ustaz itu menasihatkan saya dan keluarga untuk reda dengan takdir yang ditetapkan oleh Yang Maha Esa.

Sesungguhnya, sudah ditentukan keluarga saya perlu hidup dengan makhluk yang halimunan daripada mata kasar,” katanya.

Jelasnya lagi, selepas rawatan ayat ruqyah oleh ustaz berkenaan, tiada kejadian pelik berlaku di rumah tersebut selama beberapa bulan.

Namun pada satu senja beberapa tahun lalu, satu kejadian menyeramkan berlaku semasa dia membantu isterinya memasak di dapur.

“Ketika itu suasana di luar rumah sudah gelap dan saya sedang mengacau kuah kurma yang sedang menggelegak.

Di depan dapur tersebut, terdapat tingkap kaca dan saya tidak boleh melihat sesiapa di luar. Tiba-tiba saya terdengar bunyi seseorang terbersin dengan kuat di luar tingkap setentang dengan saya. Ia menyebabkan saya terperanjat dan senduk terlucut daripada tangan,” katanya.

Cerita Shaari lagi, kawasan depan tingkap tersebut hanya ada laluan longkang besar dan penuh semak samun yang merupakan sempadan tanah jiran.

Jelas Shaarii, kejadian tersebut tidak diceritakan kepada sesiapa kerana bimbang ramai yang takut ke dapur selepas itu.

“Menurut ustaz, kawasan sebelah rumah saya adalah tempat tinggal makhluk halus sejak sebelum kampung yang mempunyai 300 penduduk ini diteroka 100 tahun lalu.

Perantau yang membuka kampung bukan datang dengan dada yang kosong kerana hutan tebal didiami pelbagai makhluk yang dapat dilihat dengan mata kasar dan makhluk halus.

“Selain berhadapan dengan binatang buas, gangguan makhluk seperti jin memerlukan pendinding diri berupa amalan dalam ajaran Islam serta mengamalkan bacaan ayat-ayat al-Quran.

“Kita masuk ke ‘kampung’ orang perlu hormat dengan ‘penduduk’ asal yang berkurun bermastautin di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Shaari berkata, selain gangguan jelmaan wanita berbaju putih lusuh dan bunyi orang bersin, beberapa kali berlaku gangguan melibatkan saudara-mara yang datang bermalam.

Peristiwa seram tersebut membabitkan suara anak kecil yang sibuk bermain di dalam dan halaman rumah.

“Ada yang dengan bunyi kanak-kanak berlari ke sana sini di dalam dan halaman rumah. Peristiwa tersebut dibualkan oleh tetamu yang datang bermalam semasa kami bersarapan.

“Masalahnya, rumah kami mana ada kanak-kanak kerana depan rumah adalah kawasan dusun durian.

“Anak-anak saya pula tidak akan bermain di luar rumah pukul 2 pagi. Paling menakutkan apabila suara kanak-kanak berlari di dalam rumah pada waktu tersebut.

“Sudah pasti bukan anak-anak saya kerana mereka semuanya sudah berusia 12 hingga 20 tahun, tidak akan berkelakuan sedemikian,” jelasnya.

Tambahnya, walaupun siri gangguan misteri tersebut terus berlaku, namun ia telah menjadi sebahagian kehidupan mereka sekeluarga.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 24 September 2023.  Imej janaan AI.

 

 

 

 

 

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!