
Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
Pada suatu malam ketika pulang dari menunaikan solat Isyak di masjid, tiba-tiba suami mendapat panggilan telefon daripada adiknya, Rusnah yang tinggal di Bangi. Katanya anak kami, Soleh yang belajar di salah sebuah institusi pengajian tinggi (IPTS) di sana terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal ditunggangnya bersama seorang rakan berlanggar dengan sebuah jentolak.
Bagaimanapun Soleh hanya cedera ringan, namun rakannya Faizal yang membonceng patah kaki kanan dan dirawat di Hospital Serdang. Usai berbual di telefon suami lantas menyuruh kami berkemas, katanya awal pagi nanti ingin ke Bangi melawat mereka.
Keesokannya, lebih kurang pukul 5 pagi kami sekeluarga bertolak ke Bangi. Sebelum itu saya sudah siap berpesan dengan kedua-dua anak gadis saya agar siap-siap mengambil wuduk kerana bila masuk waktu Subuh nanti bolehlah kami terus singgah di mana-mana surau atau masjid untuk menunaikan solat.

Pagi itu tidak banyak kenderaan yang melalui jalan raya. Saya dan anak-anak sekadar melayan lagu-lagu di radio dalam kenderaan.
Saya lihat suami khusyuk memandu, maklumlah ketika subuh begini terpaksa lebih berhati-hati dan peka kerana adakalanya banyak haiwan liar melintas jalan.
Sedang asyik melayan perasaan, telinga kami menangkap sayup-sayup bunyi laungan azan. Saya toleh jam di papan pemuka kereta, sudah pukul 5.45 pagi rupanya, lantas suami memperlahankan kenderaan sambil mencari arah dari mana azan tersebut berkumandang.
Sedang kami meninjau sekeliling, akhirnya nampak samar-samar cahaya daripada celah rimbunan pohon di kiri jalan. Rupa-rupanya ada sebuah surau di situ, lantas suami membelok masuk dan memberhentikan kenderaan di hadapan surau tersebut.

Sebaik turun, saya toleh sekeliling. Suasana masih gelap gelita. Lantas tanpa membuang masa kami pun terus masuk ke dalam. Saya lihat sudah ada beberapa jemaah lelaki di dalamnya.
Inilah kali pertama kami singgah di surau itu walaupun sebelum ini kami sering juga singgah di beberapa masjid dan surau ketika menggunakan laluan lalu Batu Pahat ke Muar ini.
Saya bersama anak mengerjakan solat sunat di ruang belakang sebelah pintu masuk surau. Sebelum iqamah, suami memberi isyarat supaya kami pergi ke ruang solat wanita. Sebaik masuk saya lihat sudah ada seorang jemaah wanita yang sedang menyarung telekung. Saya tidak perasan pun bila dia sampai, namun saya beranggapan mungkin dia sudah tiba awal bersama suaminya tadi.
Kami solat berjemaah seperti biasa cuma yang saya perasan selepas rukuk dan i’tidal pada rakaat kedua imam terus sujud tanpa membaca doa qunut.

Ketika itu dalam hati saya sudah bersedia untuk melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam kerana beranggapan mungkin imam tadi terlupa membaca doa qunut, namun sangkaan saya meleset kerana imam tidak melakukan sujud sahwi malah terus memberi salam.
Saya cuba bersangka baik, lagi pun membaca doa qunut hanyalah sunat ab’ad dan bukannya rukun. Namun sebaik sahaja selesai memberi salam saya lihat imam terus bangun dan bersalaman dengan jemaah. Sekali lagi saya pelik kerana kebiasaannya di akhir solat pasti ada bacaan wirid dan doa. Tapi kali ini tiada pula.
Jemaah wanita yang solat bersama saya juga terus menghulurkan tangan untuk bersalaman. Cukup pelik! Sebelum bangun saya sempat membaca doa ringkas sendiri memandangkan kami ingin meneruskan perjalanan.
Ketika saya melipat telekung ke dalam beg, jemaah wanita bersama saya tadi bertanya tujuan perjalanan saya pagi itu, lantas saya ceritakan tentang apa yang berlaku. Dia sekadar mengangguk sambil tersenyum.
Belum pun sempat enjin kereta dihidupkan tiba-tiba anak gadis saya, Nurul berkata…

Tadi rasa macam solat di Mekah pula, langsung tidak ada doa qunut dan doa selepas solat.”
Saya sekadar mengangguk mengiyakan kata-katanya.
Kami lantas meneruskan perjalanan walaupun dalam hati masih tertanya-tanya mengapa imam tidak membaca doa qunut dan doa selepas solat seperti kelaziman di tempat lain, walaupun saya tahu ada sesetengah tempat di utara tanah air tidak menggamalkannya.
Hampir tiga jam perjalanan kami sekeluarga akhirnya sampai di Bangi. Kami terus menuju ke asrama Soleh.
Alhamdullillah, kami bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dia hanya mengalami cedera ringan pada tangan dan kaki. Selepas itu kami bergerak pula ke Hospital Serdang untuk menziarahi rakannya, Faizal.
Selepas menghantar Soleh kembali ke asramanya kami bertolak pulang ke Batu Pahat. Dalam perjalanan saya menyingkap semula kisah ketika menunaikan solat subuh tadi kepada suami.

Suami hanya diam, namun dia memberi cadangan kepada saya agar kami pergi semula surau tersebut kerana laluan itu memang jalan pulang kami untuk ke Batu Pahat nanti.
Hampir dua jam memandu akhirnya kami sampai juga di kawasan tersebut. Suami memandu perlahan sambil mata kami memerhati sekeliling mencari lokasi surau tersebut, tapi langsung tidak kelihatan.
Saya cukup yakin memang di situlah tempatnya. Lokasi surau yang kami singgah pagi tadi terletak di antara sebuah surau lama yang tidak digunakan dengan sebuah surau baharu yang jaraknya tidak sampai satu kilometer.
Saya berani berkata demikian kerana sebelum ini kami selalu singgah solat di masjid dan surau di sepanjang laluan tersebut ketika bermusafir.
Tapi surau yang kami singgah subuh tadi langsung tidak ditemui. Yang kelihatan hanyalah belukar dan sebatang pokok besar serta sebuah rumah buruk yang terletak kira-kira 50 meter dari jalan raya tersebut.
Suami yang tidak berpuas hati lantas membuat pusingan U sebanyak dua kali untuk memastikan kalau-kalau dia terlepas pandang.

“Eh,mana surau itu ya?, tanya suami.
Saya dan anak-anak berpandangan. Mustahil surau tersebut tidak ada kerana kami perasan memang di lokasi itulah kami berhenti subuh tadi.
Tiba-tiba barulah anak saya, Lina, teringat dan perasan. Katanya ketika para jemaah lelaki sampai subuh tadi, langsung tidak nampak kenderaan sama ada basikal atau motosikal.
Lazimnya di kawasan kampung pasti para jemaah lelaki akan ke surau dengan menunggang motosikal atau basikal. Saya juga berkongsi rasa pelik apabila jemaah wanita yang solat bersama kami itu tidak tahu dari mana munculnya. Kerana ikutkan apabila kami masuk dia baru sahaja mengeluarkan telekung.
Walaupun hampir empat tahun berlalu, namun sehingga hari ini pengalaman misteri itu masih menjadi tanda tanya kepada kami sekeluarga.
Kami masih tiada jawapan kenapa surau itu tidak kami temui dan siapa jemaah yang solat bersama kami ketika itu.
