
Oleh MOHD. SHAZWAN YUSOP
BAGI penduduk yang tinggal di kawasan sekitar Bukit Mentajam, Pulau Pinang, nama Bukit Seraya bukanlah sesuatu yang asing dan terkenal sebagai tempat bersejarah.
Bukit setinggi 337 meter dari aras laut itu terletak di antara Bukit Mertajam dan Bukit Kolam yang berhampiran Cherok Tok Kun Bawah.

Menariknya, bukit berkenaan menyimpan pelbagai tinggalan sejarah unik termasuk sebuah empangan yang dibangunkan oleh pihak penjajah British sekitar tahun 1950-an.

Empangan berkenaan dipercayai dibina untuk dijadikan kawasan tadahan air bagi kegunaan stesen kereta api di pekan Bukit Mertajam yang disalurkan melalui saluran paip besar.

Bukit Seraya turut memiliki sebuah landasan kereta api lama yang dipercayai dibina ketika zaman Inggeris iaitu sekitar tahun 1915.
Landasan sejauh dua kilometer itu dipercayai dibangunkan bagi memudahkan kerja-kerja mengangkut hasil perlombongan besi atau emas dari puncak bukit berkenaan turun ke bawah.

Selain menyimpan sejarah zaman penjajah, Bukit Seraya turut terkenal dengan pelbagai kisah misteri yang masih tidak diketahui sejauh mana kebenarannya.

Salah seorang penduduk tempatan, Hafiz Iskandar Hasan, 27, berkata, rata-rata penduduk kampung yang tinggal di sekitar Bukit Seraya mengenali kawasan tersebut sebagai berpuaka.
Ceritanya, ia disebabkan empangan tadahan air di bukit berkenaan yang sering meragut nyawa penduduk kampung di sekitarnya terutamanya pada tahun 70 dan 80-an.

“Kawasan empangan ini dahulu sering menjadi lokasi penduduk kampung memancing ikan. Ketika memancing, ada antara mereka terlihat kelibat jelmaan ikan berwarna putih di permukaan air.

“Disebabkan hendak menangkap ikan berkenaan, mereka terjatuh ke dalam kolam dan mati lemas,” ujarnya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Disebabkan kisah-kisah tersebut, penduduk kampung di sekitarnya berasa bimbang untuk meneroka Bukit Seraya sehingga ke hari ini, malah laluan mendaki turut ditutup.

Namun sejak kebelakangan ini, gambar kawasan Bukit Seraya telah tular dalam media sosial sehingga mendorong orang ramai berpusu-pusu ke sana untuk meneroka keunikannya.

Hafiz Iskandar yang bekerja sebagai pegawai khas Ahli Dewan Undangan Machang Bubuk turut berpeluang mendaki Bukit Seraya baru-baru ini bagi meninjau potensi ekopelancongan di kawasan tersebut.
Pendakiannya bersama 11 orang lagi peserta bermula di Hutan Simpan Bukit Mertajam menuju ke puncak dengan jarak sejauh 7 kilometer.
“Walaupun sudah menetap Cherok Tok Kun sejak kecil, ini kali pertama saya naik bukit ini, Sebaik melangkah masuk kawasan berkenaan, saya dapati banyak besi-besi landasan kereta api di kaki bukit berkenaan.
“Menurut cerita juru pengiring pendakian kami, besi berkenaan di tinggalkan oleh mereka yang ingin mencurinya disebabkan tersesat atau diganggu makhluk halus,” ujarnya.

Sepanjang pendakian, Hafiz Iskandar turut melihat dan mengalami sendiri kejadian aneh. Salah satunya adalah kawasan sekitar pokok jenis Ceasium tree d yang bersih seperti dijaga oleh seseorang, sedangkan ia kawasan hutan simpan tidak berpenghuni.

Sewaktu perjalanan menuruni bukit pula, Hafiz Iskandar bersama kumpulan pendakiannya melalui satu pengalaman menyeramkan apabila terdengar suara sekumpulan manusia sedang seronok bermandi-manda.
Dia memaklumkan, mereka percaya suara tersebut datang dari kawasan Air Terjun Tok Janggut yang terletak di bukit berkenaan dan suara berkenaan semakin jelas ke dengaran apabila mereka menghampirnya.

Katanya, sebaik tiba di kawasan air terjun tersebut, mereka terkejut apabila tiada seorang pun di situ, malah kelibat atau kesan tapak kaki manusia juga tidak kelihatan.
Kami semua terpaku dengan bulu roma meremang selepas mendapati air terjun itu tidak ada sesiapa. Saya fikir suara berkenaan mungkin datang daripada makhluk lain yang kami tidak nampak,” ujarnya.
Sejak beberpa tahun kebelakangan ini, Bukit Seraya kian menjadi tumpuan orang ramai mendaki untuk melihat peninggalan sejarah selain menikmati keindahan kawasan sekitarnya.
Disebabkan keghairahan tersebut, hampir setiap bulan pasti ada sahaja individu yang tersesat ketika mendaki atau menuruni Bukit Seraya.

Cerita Hafiz Iskandar, penduduk kampung percaya mangsa tersesat itu telah termasuk laluan perangkap yang dibuat oleh bunian Bukit Seraya atau digelar sebagai hantu pari.
“Kerap saya dengar orang sesat di sini. Jika tidak percaya anda boleh semak sendiri kes-kes orang sesat menerusi laman Facebook, Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam.
“Kami di sini percaya, mereka sesat disebabkan oleh perbuatan bunian atau hantu pari. Hantu ini dikatakan menjelma menyerupai ikan pari berbentuk segi tiga,” katanya.
Sebelum mengakhiri bicara, Hafiz Iskandar sempat menasihati orang ramai supaya tidak terlalu ghairah untuk menerokai kawasan Bukit Seraya.
Tambahnya lagi, mereka yang ingin meneroka Bukit Seraya perlu menjaga percakapan dan mengelak daripada bercakap besar sepanjang perjalanan.
“Paling penting, perlu ada niat yang baik ketika mendaki. Jangan sesekali ada niat tidak elok, takut-takut tersesat terus dalam bukit ini,” tuturnya.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI
