MMToon

MISTERI LEMBAGA BERAMBUT PANJANG ATAS VAN JENAZAH

Oleh RIZAM ZAKARIYA

Apabila disebut van jenazah, ada antara kita yang mula naik bulu roma apabila dipelawa untuk menaikinya terutama bagi mengiringi jenazah.

Perasaan takut itu mungkin timbul kerana pelbagai kisah seram mengenai van jenazah sering diceritakan kepada kita.

Malah, kisah seram berkaitan van jenazah telah beberapa kali dipaparkan menerusi drama dan filem sehinggakan menimbulkan rasa takut dalam kalangan penonton.

Apa juga tanggapan yang diberikan, kisah seram berkaitan kenderaan tersebut bukan sekadar kisah dongeng atau rekaan semata-mata.

Ini kerana ada individu yang mengakui pernah mengalami situasi menyeramkan.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Razak (bukan nama sebenar) yang pernah berhadapan kejadian berkenaan kira-kira 10 tahun lalu.

Cerita Razak, kejadian tersebut berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Kota Bharu, Kelantan dari tempat kerja di Pulau Pinang.

“Ketika itu saya masih bujang, saya menaiki kereta untuk pulang bercuti ke kampung sempena cuti umum.

Disebabkan saya pulang kerja pukul 6 petang, saya bertolak meninggalkan rumah kira- kira pukul 10 malam selepas selesai makan malam dan menyimpan pakaian di dalam beg.

“Saya memang sudah biasa melakukan perjalanan pulang ke kampung pada waktu malam berseorangan. Jadi, saya tidak berasa sebarang kelainan pada malam tersebut,” katanya.

Menurut Razak, satu-satunya laluan yang ada adalah Lebuh Raya Timur-Barat yang menghubungkan Pengkalan Hulu di Perak dengan Jeli di Kelantan merentasi kawasan hutan Banjaran Titiwangsa.

Katanya, perjalanan melalui lebuh raya tersebut pula biasanya mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit.

Selepas kira-kira satu jam lebih memandu, saya berhenti di sebuah restoran mamak yang terletak di persimpangan Pengkalan Hulu-Gerik bagi meneguk air panas untuk menghilangkan rasa mengantuk.

“Selepas melihat jam menunjukkan pukul 12.30 malam, saya menyambung perjalanan memasuki Lebuh Raya Timur-Barat.

Pada malam itu, jumlah kenderaan sangat kurang, boleh dikatakan hanya sesekali sahaja berselisih dengan kenderaan lain,” katanya.

Jelas Razak lagi, selepas kira-kira 30 minit memandu dalam suasana gelap, tiba-tiba dia melihat sebuah van di hadapannya yang dipandu sangat perlahan.

Pada awalnya, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana keadaan jalan di situ berbukit dan mungkin kenderaan tersebut sedang membawa muatan berat.

“Dari kejauhan, saya dapat membaca tulisan ‘van jenazah’ pada bahagian pintu belakang dan sangkaan saya, pemandu kenderaan itu sengaja memandu perlahan bagi memberi kehormatan kepada jenazah di dalamnya.

Namun, sebaik sahaja saya cuba memotong kenderaan terbabit, saya dapat melihat dengan jelas ada satu lembaga menyerupai wanita berambut panjang sedang bertenggek di atas bumbung van tersebut.

“Sebaik melihat wajah lembaga itu yang agak menyeramkan, saya terus membunyikan hon untuk memberi isyarat kepada pemandu van sambil menunjukkan tangan saya ke arah bumbung van tersebut,” katanya.

Tambah Razak, dia yang ketakutan terus memecut laju keretanya.

Dia hanya berhenti di sebuah restoran di kawasan perkampungan Hutan Melintang di Jeli yang masih dipenuhi orang ramai untuk menghilangkan ketakutannya.

Kira-kira sejam berada di situ, dia melihat van jenazah terbabit melintas kawasan berkenaan dengan lembaga berkenaan masih berada di atas bumbung kenderaan terbabit.

“Ketika itu, saya melihat seorang pelanggan lelaki yang duduk di meja sebelah saya seakan-akan terkejut dan mukanya mula pucat secara tiba-tiba.

Saya memberanikan diri bertanyakan kepada lelaki berkenaan tentang apa berlaku. Dia memberitahu turut melihat kelibat lembaga tersebut sebaik van jenazah itu melintasi kawasan berkenaan.

“Saya kemudiannya menceritakan perkara sama yang berlaku ketika saya bertemu kenderaan itu sejam sebelum itu kepada lelaki tersebut,” ujarnya.

Tambah Razak, keesokkan harinya selepas tiba di kampungnya, dia menceritakan kejadian itu kepada seorang ustaz yang kebetulan hadir ke masjid berdekatan rumahnya untuk memberi tazkirah maghrib.

Ceritanya, ustaz tersebut memberitahu bahawa lembaga wanita yang berada di atas van jenazah itu berkemungkinan jelmaan jenazah yang sedang dibawa.

Ustaz itu juga cakap, roh jenazah mungkin tidak aman disebabkan ada masalah semasa hidup di dunia.

“Apa juga kemungkinan yang diberikan, kejadian yang disaksikan oleh mata kepala saya itu telah memberikan satu pengalaman menyeramkan.

“Malah, setiap kali bertemu van jenazah pada waktu malam, saya pasti akan terbayang kejadian berkenaan walaupun kenderaan itu sedang parkir, “katanya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 13 Ogos 2023 . Imej janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!