
Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
ZURA melangkah perlahan sambil sesekali matanya mencuri pandang ke arah deretan katil yang bersusun di kiri kanannya. Sesekali dia menguap kecil sambil menggosok-gosok mata, maklumlah hari ini dia baru memulakan syif malam setelah hampir dua bulan bertugas di waktu siang. Sedikit sebanyak kitaran waktu tidur dan jaganya juga mula berubah.

Sebaik sampai di kaunter dia terus membelek-belek susunan fail yang tersusun kemas di hadapannya. Rakannya, Amira yang duduk bersebelahan hanya memandang dengan senyuman.
“Seronokan kerja syif malam ni, sunyi je. Pesakit pun semua dah tidur. Kalau kerja siang memang tak boleh rehatlah kita, itu tak campur kerenah pelawat yang datang lagi, macam-macam perangai kita kena hadap,” kata Amira sambil membuka bungkusan makanan yang dibawanya.
Zura tersenyum sambil menganggukkan kepala. Benar kata rakannya itu. Kerja syif malam memang seronok, tambah pula boleh curi-curi masa melelapkan mata.

Malam ini berapa orang yang jaga di wad ni? Kita berdua saja? tanya Zura lagi.
“Haa.. kita berdua saja. Sepatutnya Yasmin ada tapi dia apply cuti tiga hari sebab nak jenguk keluarga di kampung,” kata Amira sambil mempelawa rakannya makan.
Zura menjeling jam di dinding, sudah hampir 2 pagi, lantas dia minta diri untuk melakukan rutin melawat katil-katil pesakit. Memang begitulah situasinya jika bekerja syif malam, setiap satu jam dia akan bergilir-gilir dengan rakannya meronda ke katil pesakit untuk memeriksa kalau terdapat sebarang masalah.

Satu persatu katil dijengahnya. Kebanyakannya semua sedang dibuai mimpi.
Sedang dia membetulkan selimut salah seorang pesakit, tiba-tiba telinganya menangkap bunyi aneh. Zura lantas pasang telinga.
Krohhh… krohhhh… krohhhh… krohhhh… krohhhh….”
Zura tarik nafas lega. Rupanya bunyi dengkuran itu datang dari katil pesakit di tepi tingkap wad tersebut. Bunyi tersebut cukup jelas kedengaran apatah lagi dalam keadaan malam yang sunyi sepi begitu.
Lantas dia melangkah menghampiri pesakit tersebut.
Zura lihat seorang wanita tua berusia lebih separuh abad sedang nyenyak tidur. Pelik! Tiba-tiba sahaja bunyi dengkuran yang kuat tadi hilang serta-merta. Dan sebaik sahaja dia ingin melangkah pergi tiba-tiba terasa tangannya ditarik seseorang. Zura terkejut. Hampir terlepas fail yang dipegangnya ketika itu.

Nak… tolong mak cik boleh?… Tolong bawa mak cik ke tandas,” kata wanita tua tersebut sambil tangannya masih menggenggam erat pergelangan tangan Zura.
Wanita tua tersebut memandang Zura menunggu jawapan. Dalam kesamaran cahaya lampu Zura dapat melihat jelas raut wajah wanita tersebut. Mukanya kedut seribu manakala rambut putih di kepalanya mengerbang kusut tidak terurus.
Sekali pandang memang menyeramkan apatah lagi wanita itu merenungnya dengan pandangan cukup tajam, namun Zura cuba berfikiran positif. Fikirnya mungkin wanita tua itu tidak mampu menguruskan dirinya, maklumlah orang sedang sakit.
Zura tersenyum sambil menganggukkan kepala. Lantas dipapahnya tubuh wanita tua itu dengan cermat menuruni katil.

Dengan penuh berhati-hati dia memaut pinggang wanita tersebut dan membawanya perlahan-lahan menuju ke tandas.
Dalam perjalanan menuju ke tandas yang hanya beberapa meter dari katil tersebut, Zura dapat merasakan sesuatu yang aneh. Dirasakan tubuh wanita tersebut cukup berat sedangkan tubuhnya amat kurus dan kecil berbanding dirinya. Seperkara lagi dia berasakan cengkaman jari jemari wanita tersebut di bahunya cukup kuat dan menyakitkan.
Zura tidak bertanya. Tidak sampai beberapa minit kemudian kedengaran bunyi air dipam dari dalam. Zura lantas membuka pintu tandas dan memimpin semula wanita tua itu menuju ke katilnya.

Kejadian sama berulang lagi. Zura dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan wanita tua itu. Zura jeling jari wanita tersebut di bahunya dan ketika itulah jantungnya hampir tercabut keluar daripada tubuh apabila melihat kuku yang panjang dengan jari yang penuh kedutan sedang memaut tubuhnya.
Dia terasa lemah longlai, namun digagahkan jua untuk sampai ke katil wanita tersebut. Setelah selesai membaringkan wanita tersebut lantas dia bergegas menuju ke kaunter. Dia tak sabar untuk menceritakan kejadian tersebut pada Amira.
Mira, aku ada benda nak cerita dengan kau ini,” kata Zura sebaik sahaja sampai di kaunter.
Amira memandangnya penuh kehairanan. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena kerana melihat rakannya sedikit gugup dan pucat.

“Tadi aku pergi lawat pesakit dari katil ke katil, tiba-tiba bila sampai di katil nombor empat yang ada mak cik tua itu aku terkejut, dia berdengkur punyalah kuat. Bila aku nak pergi je tiba-tiba dia pegang tangan aku dan minta bawa ke tandas.
Masa aku bawa dia ke tandas itu aku rasa cukup aneh, sebabnya tubuhnya cukup berat berbanding saiz badannya yang kurus melidi itu. Lepas itu, kau nak tahu masa dia paut bahu aku tu aku jeling jari dia…
Masya-Allah kukunya panjang ya Rabbi. Aku rasa macam ada somethinglah mak cik itu,” tutur Zura panjang lebar.
Amira memandang rakannya tanpa menjawab walau sepatah. Raut wajahnya tiba-tiba berubah gelisah.

“Betul ke mak cik yang kau maksudkan itu yang katil nombor empat?” tanya Amira.
“Laaa… Betullah… aku yang pergi ke katil dia dan papah bawa dia ke toilet,” kata Zura menyakinkan temannya.
Amira menelan air liur lantas merapatkan kerusinya berhampiran Zura.
Sebenarnya katil nombor empat itu kosong. Mak cik tua itu sudah meninggal dunia tiga hari lepas.”
Zura terdiam. Serta-merta badannya terasa lemah. Mereka berpandangan. Perlahan-lahan mereka berdua meninggalkan kaunter dan pergi ke lif untuk turun ke bawah. Otak Zura masih berfikir, jika wanita tua tersebut sudah meninggal dunia, siapakah yang dipimpinnya ke tandas tadi?
