MMToon

MISTERI PENGHUNI TINGKAT 18

Sudah hampir tiga bulan aku bersama dua orang rakan menyewa pangsapuri yang terletak di lereng bukit ini. Walaupun lokasinya jauh dari tempat kerja namun ia cukup tenang dan mendamaikan berbanding rumah pangsa tempat kami menyewa sebelum ini.


Rumah lama dahulu betul-betul terletak di tengah bandar, jadi bila waktu malam memang susah untuk kami lelapkan mata. Bunyi bising jiran tetangga satu hal, itu tak campur lagi dengan mat-mat rempit yang berlumba motosikal setiap malam di lebuh raya berhampiran.


Kami pula jenis yang yang selalu pulang lewat, jadi bila balik ke rumah mesti nak berehat dan tidur lena, tapi disebabkan banyak gangguan maka selalulah kami tidak cukup tidur sehinggakan sampai ke pejabat pun masih mengantuk lagi.


Pangsapuri tempat aku menginap ini ada 25 tingkat, aku dan kawan-kawan pula menyewa di tingkat 21, jadi bila malam memang sejuk sehinggakan aku tak pernah buka pendingin hawa. Aku juga perasan penghuni di pangsapuri ini kebanyakannya ramai yang jenis buat hal sendiri, jarang nampak mereka berkumpul atau bersosial. Mungkin mereka lebih suka menghabiskan masa di rumah sahaja.


Malam itu aku pulang lewat kerana terpaksa menyiapkan beberapa tugasan penting di pejabat. Entah kenapa aku rasa begitu letih dan lesu. Sebaik sahaja turun dari kereta aku bergegas ke lobi dan menekan lif untuk menuju ke rumah. Sementara menunggu lif terbuka sempat aku jeling jam di tangan, sudah pukul 12.40 malam rupanya, bisik hatiku.


Tingg… pintu lif terbuka. Aku meluru masuk dan menekan butang yang tertera tingkat 21. Aku bersandar di dinding sambil memerhatikan angka elektronik yang bersilih ganti di hadapanku.

Tiba-tiba, ‘tingg’… lif terbuka di tingkat 18. Aku berdiri kemas sambil menjengah sedikit kalau-kalau ada individu yang ingin masuk, namun setelah beberapa saat menunggu tiada seorang pun yang muncul. Lantas aku tekan semula butang menutup pintu dan naik ke tingkat 21.


Sebaik pintu lif terbuka aku melangkah keluar dan menuju ke rumah. Ketika itulah fikiranku melayang memikirkan kenapa pintu lif tersebut seringkali terbuka di tingkat 18. Ini bukannya pertama kali, malah sudah terjadi berkali-kali ketika aku pulang lewat malam. Aku tidak pasti sama ada kanak-kanak nakal yang sengaja menekan lif tersebut ataupun sememangnya butang lif tersebut rosak dan sentiasa berhenti di tingkat 18.


Keesokannya ketika bangun pagi aku sempat bertanya kepada dua orang rakan serumahku Zainol dan Reza. Mereka juga selalu pulang lewat malam, jadi adakah mereka juga mengalami situasi yang sama denganku.

Menurut Reza kejadian tersebut kerap juga berlaku padanya, namun dia beranggapan mungkin sistem lif tersebut yang rosak. Zainol pula kata kejadian itu kerap terjadi padanya jika dia pulang lewat malam, namun kalau dia pulang sekitar pukul 8 atau 9 malam tidak pernah pula kejadian seumpama itu berlaku.


Aku garu kepala. Bila diingat semula memang ada benarnya kata mereka. Sebelum ini aku pernah juga beberapa kali pulang awal namun tidak pernah pula alami kejadian seumpama itu. Semua ini berlaku bila aku pulang lewat, kebiasaannya selepas pukul 12 malam.

Keesokan malamnya sekali lagi aku dihantui perkara yang sama. Jantungku mula berdebar kencang dan rasa tak sedap hati. Lif yang aku naiki terbuka sebaik sahaja sampai ke tingkat 18. Kali ini aku memberanikan diri menjengah ke luar, nampak tiada sesiapa di situ. Aku keluar dari lif dan menjengah ke kiri dan kanan. Keadaan sunyi sepi sambil sesekali kedengaran desiran angin yang menerjah masuk melalui ruang terbuka di koridor tersebut.


Aku berpatah balik menuju ke lif. Sambil menunggu lif naik tiba-tiba hidungku menangkap bau setanggi dan colok yang dibawa angin. Bulu romaku meremang kerana biasanya bau setanggi ini berkait rapat dengan upacara keagamaan. Aku tekan butang berkali-kali sambil berdoa agar lif cepat sampai dan aku dapat segera pulang ke rumah.


Sebaik pintu lif terbuka aku bergegas masuk dan menekan butang nombor 21 berkali-kali, namun pintu lif tersebut masih terbuka seolah-olah ada yang menahannya. Aku cemas dan berpeluh. Perasaan seram mula menyelinap ke tubuhku. Tiba-tiba aku berasa menyesal kerana cuba berlagak berani sebentar tadi.

Beberapa saat kemudian barulah pintu lif tertutup. Aku Tarik nafas lega sebaik sahaja lif sampai di tingkat 21. Namun rasa cemas sekali lagi muncul kerana sebaik sahaja aku ingin keluar aku lihat butang lif di nombor 18 menyala dengan sendirinya. Jantungku berdegup kencang. Siapa pula yang menekan butang tersebut fikirku dalam hati.


Tanpa berfikir panjang aku keluar dan berlari menuju ke rumah. Ketika ingin membuka kunci, sayup-sayup aku terdengar bungi ‘ting’ menandakan lif yang aku naiki tadi berhenti di tingkat 18. Seluruh tubuhku menggigil ketakutan. Malam itu aku tidur berselubung hingga ke pagi.


Keesokan paginya aku mengajak Reza dan Zainol menemaniku untuk berjumpa dengan Abang Pian yang merupakan salah seorang pengawal keselamatan di situ. Aku ingin bertanya padanya tentang perkara yang aku alami itu.

Oh, korang pun kena juga ye?

Kata Abang Pian sambil memandang tepat ke wajah kami. Aku dan rakan-rakan berpandangan penuh tanda tanya.

Sebenarnya di tingkat 18 dulu ada satu kes bunuh diri. Perempuan terjun bangunan. Rasanya dalam lima bulan lepas. Banyak juga yang dah terkena macam kamu ni, jadi untuk keselamatan janganlah pulang lewat-lewat malam, ataupun kalau terpaksa pulang lewat pastikan ada kawan yang temankan,”

kata Abang Pian sambil mengerutkan dahi. Aku, Reza dan Zainol tergamam. Tak tahu apa yang perlu kami lakukan sekarang ini. Rasanya tak sanggup pula untuk kami hadapi situasi begini setiap malam, tambah pula aku memang selalu pulang lewat.


Ketika menuju ke kereta aku terfikir kenapalah semalam butang lif tingkat 18 menyala ketika aku keluar dari lif. Adakah sesiapa yang menekannya? Atau adakah sesiapa yang masuk ke dalam lif dan menekannya ketika aku berhenti di tingkat 18 sebelum itu?

Rasanya tidak mustahil kerana ketika aku ingin naik ke tingkat 21 semula lif lambat tertutup seolah-olah menunggu seseorang yang ingin masuk.


Nampaknya penghuni tingkat 18 ini sudah mengenali aku…

Kisah ini telah disiar di akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 23 Ogos 2020 • Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!