MMToon

MISTERI WANITA KEBAYA PUTIH DI PERHENTIAN BAS

Kenapa aku jumpa perhentian bas ini lagi?”

Getus hati Ismail Yaakub (bukan nama sebenar) tatkala melalui perjalanan pulang ke rumah yang dirasakan lebih panjang daripada kebiasaanan.

Mana tidaknya, sejak pukul 12 tengah malam dia masih tidak lagi tiba di rumahnya sedangkan masa yang diambil dari pejabat ke rumah hanya memakan masa sekitar 40 minit.

Berbeza pada malam itu apabila dia hampir menghabiskan masa lebih 15 minit melalui jalan sama iaitu laluan perhentian bas berhampiran rumahnya.


Disebabkan berasa bimbang perjalanannya dirasakan terlalu lama, Ismail yang memandu kenderaan berhenti di bahu jalan sambil memperhatikan keadaan sekeliling.

Perasaan bimbang mula menyelubungi minda kerana teringat akan cerita temannya tentang penunggu perhentian bas yang kerap mengganggu pengguna jalan raya terutama tiba waktu tengah malam.


Hati Ismail semakin berdebar-debar apabila dia melihat ada seorang wanita dengan mengenakan pakaian tradisional menghampiri perhentian bas itu.

“Apa orang itu buat waktu tengah malam macam ini. Mustahil dia menunggu seseorang?” soal Ismail pada dirinya.


Dalam pada Ismail berteka-teki dengan dirinya sendiri, dia melihat melihat telefon bimbit dan cuba menghubungi rakan serumahnya untuk menjemputnya di situ.

“Malik (bukan nama sebenar) tolong ambil aku dekat perhentian bas sekejap boleh? Kereta aku ada masalah sikit. Tolong aku sekejap ya?” pinta Ismail kepada rakannya itu.


Mujur talian telefon berjaya dihubungkan sekali gus menghubungkan Ismail dengan rakannya itu.

Setelah selesai urusannya itu, Ismail kembali melihat ke arah perhentian bas itu. Namun, alangkah terkejutnya apabila dia mendapati wanita yang ada di situ tiba-tiba hilang.

Matanya terus melilau ke arah sekitar mencari sosok wanita yang tidak dikenalinya itu.

Biarpun tidak mengenali identiti individu terbabit, tetapi Ismail begitu tertarik untuk mengetahui destinasi wanita berkenaan sementelah melalui kawasan sunyi sendirian.


Setelah 15 minit menunggu, Ismail tertanya-tanya dimanakah Malek kerana masa yang diambil untuk sampai ke perhentian bas dari rumah mereka hanya memakan masa 5 minit saja.

Ketika Ismail cuba untuk menghubungi Malek, tiba-tiba terdengar bunyi ketukan pada bahagian belakang kereta.

Hati Ismail mula tertanya-tanya adakah ranting kayu atau dahan pokok yang jatuh.

Niat di hati hendak keluar, tetapi Ismail mematikan hasratnya itu apabila dia kembali melihat wanita tadi menghampiri perhentian bas itu.


Hatinya mula bercampur baur apabila wanita itu tiba-tiba berdiri dan menoleh ke arahnya.

Namun, disebabkan keadaan sekitar yang agak gelap dengan sumber pencahayaan terhad membuatkan Ismail tidak dapat melihat wajah wanita itu dengan jelas.


Mata Ismail menatap tepat ke arah wanita itu yang tiba-tiba berjalan ke arah tengah jalan raya dan perlahan-lahan hilang dalam kepekatan malam.


Melihat perkara itu, degup jantung Ismail bergerak kencang dan terus cuba menghubungi Malek. Namun tiada jawapan.
Ismail mula menjadi cemas apabila rakannya gagal dihubungi.


Dalam keadaan itu, tiba-tiba Ismail terdengar suara wanita yang memanggil namanya dari tempat duduk penumpang.
Ismail tidak menoleh ke belakang dan hanya terus berusaha menghubungi Malek.

Ismail. Ismail. Ismail belum balik lagi?”

Mendengarkan suara itu, bulu roma Ismail mula berdiri tengak. Tidak terfikir untuk dia menoleh ke belakang apatah lagi menjawab pertanyaan suara wanita itu.

Mata Ismail kemudian melihat ke arah jalan apabila dia melihat Malek menunggang motosikal menghampirinya.

Ismail kemudian keluar dari kereta dan menjerit memanggil nama Malek namun, sayangnya laungan Ismail tidak kedengaran.


Ismail kemudian berlari anak ke arah Malek yang kelihatan bolak-balik di kawasan perhentian bas itu.

Seketika kemudian, wajah Malek terkejut melihat Ismail tiba-tiba mendekatinya.

Apa kau buat dekat sini? Mana kereta” tanya Malek.

“Kau tak dengar aku panggil. Dari tadi aku jerit nama kau. Kenapa kau tidak dengar aku panggil?” soal Ismail dalam nada tinggi.

Tidak mahu berbalah, Malek terus meminta Ismail pergi semula ke arah keretanya untuk pulang bersama.

Sebaik menghampiri kereta, wajah Malek berubah menjadi pucat dan terkejut melihat ada perempuan di tempat duduk belakang.


Mungkin kerana menyedari kemunculannya disedari, wanita itu tiba-tiba menghilang. Malek yang menyedari perkara itu hanya meminta Ismail memandu kereta tidak terlalu laju agar dia dapat mengikuti dari belakang.

Ketika melalui kawasan perhentian bas itu, Malek melihat sosok wanita yang mengenakan baju kebaya putih berselendang duduk di perhentian bas seorang diri.

Meskipun wajahnya tidak kelihatan, tetapi kemunculannya di perhentian bas itu cukup membuatkan dia gementar.

Malek syukur dia dan Ismail kemudian selamat pulang ke rumah. Tetapi, menjadi persoalan apabila mereka menghidu bau wangi.

Kedua-duanya saling berpandangan dan cepat-cepat masuk ke rumah.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad . Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!