MMToon

NAMPAK KELIBAT ORANG SUDAH MENINGGAL

BIARPUN sudah hampir sedekad berlalu, namun peristiwa yang cukup menyeramkan itu masih segar dalam ingatan Mas (bukan nama sebenar) dan kakaknya, Rin (bukan nama sebenar).

Dua beradik itu yang tinggal bersama nenek mereka ketika di bangku sekolah pernah berdepan beberapa peristiwa menyeramkan yang masih mampu diingat dengan jelas.

Cerita Mas, semasa bersekolah, apabila tibanya cuti sekolah, ibu dan bapanya akan menghantar mereka dua beradik itu untuk tinggal bersama nenek mereka di sebuah kampung terpencil yang terletak di Raub, Pahang.

Memandangkan neneknya hanya tinggal seorang diri selepas kematian datuk mereka pada 2010, maka Mas dan Rin akan menemani nenek mereka di kampung.

Rumah nenek terletak agak jauh daripada jalan utama di kampung itu dan lorong yang sempit juga menjadikan rumah tersebut agak menyeramkan.

“Nenek juga amat melarang kami untuk pulang ke rumah pada waktu malam dan akan menutup serta mengunci semua tingkap tepat pukul 6.30 petang setiap hari,” ujar Mas memulakan bicara.

Namun, kedamaian suasana kampung dan juga masakan lazat neneknya menjadikan Mas seronok menghabiskan masa di kampung setiap kali tibanya musim cuti sekolah.

Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi, dia dan Rin juga agak rapat dengan seorang lagi orang kampung di situ yang hanya dipanggil sebagai Tok Man.

Tok Man merupakan seorang lelaki berusia penghujung 60–an yang juga tinggal seorang diri di kampung tersebut setelah kematian isterinya.

Tok Man dan nenek pernah bercinta satu ketika dahulu namun tiada jodoh apabila masing-masing berkahwin dengan pilihan keluarga.

“Namun, saya dan Rin sering mengusik dan menyakat nenek dengan menggelar Tok Man sebagai ‘pakwe’ nenek,” ujar Mas.

Pada musim cuti sekolah 2013, Mas dan Rin kembali ke kampung halaman nenek mereka untuk menghabiskan masa di situ.

Ketika sedang berbasikal menuju ke sebuah kedai berhampiran, Mas terserempak dengan Tok Man yang sedang duduk di sebuah pondok betul-betul di hadapan rumahnya.

Dia menegur Mas dan Mas hanya membalas teguran tersebut dengan melambai kepada Tok Man.

Selepas beberapa hari, Mas dan Rin yang berbasikal berdua di kawasan kampung terlihat kelibat Tok Man di pondok sama, dan lelaki itu masih menegur mereka seperti biasa.

“Pada awalnya, Rin berkata mahu berhenti seketika untuk berbual dengan Tok Man.

Maklumlah kerana kami juga sudah lama tidak berbual. Namun memandangkan jarum jam ketika itu sudah hampir menunjukkan angka enam petang, saya dan Rin terus pulanh ke rumah kerana bimbang dimarahi nenek,” kata Mas.

Keesokan harinya, Mas sekali lagi terserempak dengan Tok Man namun lelaki itu kelihatan sibuk.

Maka, dia mematikan hasratnya untuk berbual dengan Tok Man dan terus pulang ke rumah.

Setibanya di rumah nenek, Mas memberitahu wanita itu tentang pertemuannya dengan Tok Man.

“Nenek, dah beberapa hari ini saya dan Rin terserempak dengan ‘pakwe’ nenek.

“Dia hanya duduk di hadapan rumahnya seorang diri dan ada menegur kami. Namun kami tidak berkesempatan untuk berbual dengannya,” ujar Mas.

Nenek Mas memandang wajah cucunya itu dengan penuh hairan. Dia kemudian menoleh pada Rin sebelum mengajukan satu soalan.

“Kamu nampak Tok Man di depan rumahnya?” soal nenek pendek.

Mas dan Rin mengangguk laju namun wajah neneknya masih berkerut seolah-olah cukup pelik dengan kenyataan itu.

Nenek kemudian berkata bahawa Tok Man sudah meninggal dunia hampir dua tahun lalu dan saya amat terkejut,” kata Mas.

Wajah Rin dilihatnya pucat lesi ketika itu memandangkan gadis itu yakin melihat Tok Man beberapa kali.

Kini, rumah Tok Man sudah pun dirobohkan selepas ia kosong tidak berpenghuni dan setiap kali pulang ke kampung nenek mereka, Mas dan Rin akan tetap teringat peristiwa itu.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 20 Ogos 2023

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!