MMToon

OBSESI MEMBUKA HIJAB MEMAKAN DIRI

SEJAK di bangku sekolah, minat pemuda itu terhadap genre mistik mula timbul selepas dia menonton cerita-cerita seram di televisyen.

 

Tidak kira cerita dari dalam atau luar negara, dia tidak akan melepaskan peluang untuk menontonnya, malah akan ke panggung wayang jika ada filem seram baharu.

Menurutnya, selepas meningkat dewasa dan melanjutkan pelajaran ke universiti, Mustakim (bukan nama sebenar) mengakui dia semakin obses dengan dunia mistik.

 

“Semasa di universiti saya mempunyai empat lagi rakan yang mempunyai minat sama terhadap hal mistik. Jadi, kami buat aktiviti cari hantu seperti dalam sebuah rancangan televisyen popular pada suatu ketika dahulu.

“Kami pernah ke pelbagai tempat yang dikatakan seram seperti Highland Tower, Mimaland, malah hingga ke Vila Nabila untuk merasai sendiri pengalaman berada di tempat berhantu,” katanya.

 

Dalam setiap ekspedisi mencari hantu, Mustakim mengakui, dia banyak berdepan gangguan tetapi ia sekadar bunyi hempasan pintu atau suara wanita menangis.

Kongsinya lagi, dia tidak pernah melihat sendiri susuk hantu di hadapan mata, sekali gus membuatkannya tidak berpuas hati dan mahu meneroka lebih banyak tempat ‘keras’.

 

Pada suatu hari, Mustakim menonton sebuah filem tentang aktiviti membuka hijab sehingga membuatkan dia mahu mencuba perkara itu.

Bermula dari itu, Mustakim banyak membuat pencarian dan kajian tentang membuka hijab termasuk mencuba pelbagai saranan dalam internet, namun semuanya tidak berjaya.

 

Selepas beberapa ketika, dia berkenalan dengan seorang pelajar baharu (junior) yang menyertai kumpulan mencari hantunya.

“Pelajar baharu itu mempunyai bapa saudara yang merupakan seorang pengamal perubatan tradisional di Indonesia dan memiliki keupayaan membuka hijab.

 

“Mengetahui hal itu, saya tertarik untuk mencubanya dan mahu berjumpa dengan bapa saudara pelajar tersebut,” kongsinya.

 

Permintaan Mustakim itu awalnya ditolak oleh pelajar berkenaan kerana membuka hijab bukan perkara main-main. Bukan semua insan boleh bertahan melihat makhluk ghaib yang ada di sekeliling manusia.

Namun, nasihat itu tidak diendahkan dan Mustakim tetap ingin berjumpa bapa saudara pelajar tersebut.

 

Mahu tidak mahu, pelajar junior itu terpaksa akur dan meminta Mustakim menunggu sehingga bapa saudaranya datang ke Malaysia.

 

Apabila bapa saudara pelajar junior itu datang melawat keluarga di Malaysia, Mustakim pergi berjumpa dengan lelaki yang dipanggil pak cik.

“Semasa berjumpa dengan pak cik tersebut, dia menasihati saya supaya membatalkan niat tersebut, namun saya tetap berkeras mahukannya.

 

“Disebabkan itu, dia menuruti permintaan saya dan membuat ritual untuk membuka hijab. Perkara itu terus merubah perasaan ingin tahu kepada penyesalan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata,” jelasnya.

Katanya lagi, setelah membuka hijab mata, dia dapat melihat semua makhluk ghaib yang ada di sekeliling.
Menggambarkan rupa makhluk ghaib, Mustakim berkata, ia sangat mengerikan.

Malah, dia tidak sanggup untuk melihatnya dan tidak mampu bergerak dari tempat duduk kerana makhluk ghaib sangat banyak di sekelilingnya.

 

Hal itu membuatkan dia menjerit histeria dan meraung supaya ditutup semula hijabnya dan hal itu dilakukan terus oleh pak cik berkenaan.

“Selepas hijab saya kembali ditutup, saya terkejut, kaku selepas apa yang terjadi. Selepas itu pak cik itu memberi air penawar untuk menenangkan saya.

 

“Selepas peristiwa itu, baru saya faham maksud sebenar membuka hijab. Bukan semua orang benar dan saya tidak mahu lagi melakukannya,” ujarnya.

Selepas itu, Mustakim tidak lagi melakukan aktiviti mencari hantu kerana selepas membuka hijab, dia sering bermimpi perkara aneh.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!