MMToon

PEMANCING DIGANGGU LEMBAGA HITAM

Oleh RIZAM ZAKARIYA

AKTIVITI memancing sememangnya menyeronokkan, apatah lagi apabila dapat melakukan hobi tersebut bersama rakan-rakan.

Bagi Nadlie (bukan nama sebenar), dia yang menggelarkan dirinya sebagai pemancing tegar tidak pernah membiarkan cuti hujung minggunya berlalu begitu sahaja tanpa melakukan hobinya itu.

Sebagai seorang kaki pancing, di mana sahaja lokasi lubuk ikan yang diketahuinya, pasti dia akan sampai di situ sama ada bersama rakan-rakan ataupun bersendirian.

Namun, seperti juga pemancing lain, disebalik keseronokkan memancing dan menaikkan ikan, dia juga pernah berhadapan dengan pelbagai situasi cemas dan menyeramkan.

Bercerita mengenai pengalaman yang dilalui, Nadlie memberitahu, dia pernah berhadapan dengan situasi menyeramkan tersebut ketika sedang memancing bersama seorang rakannya di sebatang anak sungai yang terletak di kawasan hutan di Kampar, Perak.

“Ketika itu, saya dan seorang rakan sedang memburu spesies ikan bersisik seperti kelah dan sebarau di kawasan sungai berbatu.

“Bagi memburu ikan spesies tersebut, kami akan bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain sama ada menyusuri arus sungai ataupun melawan arus.

“Kebiasaan, kami akan menyusuri anak sungai sehingga beberapa kilometer dari lokasi kenderaan diletakkan sebelum berpatah semula,” katanya.

Menurut Nadlie lagi, disebabkan hasil tangkapan pada hari tersebut tidak memuaskan, dia dan rakannya mengambil keputusan untuk bergerak lebih jauh ke kawasan hulu sungai bagi mencari lubuk ikan.

Selepas kira-kira empat jam, mereka akhirnya tiba di satu kawasan berbatu dan berjeram yang dilihat berpotensi menjadi lubuk ikan.

“Sangkaan kami tepat apabila sebaik gewang dilemparkan ke permukaan air, umpan dari batang joran saya terus disambar seekor ikan kelah bersaiz agak besar.

“Malah, selang beberapa ketika, umpan pada joran milik rakan saya juga turut disambar seekor ikan kelah bersaiz sederhana.


“Melihat kepada situasi tersebut, kami menjadi begitu teruja dan sebaik ikan dimasukkan ke dalam jaring, gewang yang sama turut dilemparkan ke lokasi sama.

“Selepas beberapa kali mengarau gewang, sekali lagi umpan pada joran saya disambar ikan kelah dan kali ini saiznya lebih besar menghampiri 500 gram seekor,” katanya.

Menurut Nadlie lagi, sepanjang 10 tahun menjadi pemburu ikan kelah, dia tidak pernah berhadapan dengan situasi  tersebut apabila berjaya menaikkan lebih daripada 10 ekor ikan kelah bersaiz sederhana dalam tempoh hanya kira-kira 30 minit.

Jelasnya lagi, keterujaan memburu ikan air tawar itu menyebabkan mereka tidak menyedari bahawa matahari sudah berada tepat di atas kepala dan bahang panas sudah semakin terasa.

Sebaik menyedari sudah masuk waktu zohor, Nadlie memberi isyarat kepada rakannya bahawa dia ingin berehat seketika bagi menunaikan solat.

“Disebabkan kawasan di situ agak berbatu, saya bergerak ke kawasan atas kira-kira 20 meter dari tempat kami memancing mencari kawasan yang lebih sesuai dan selamat untuk mengambil wuduk dan mendirikan solat.

“Ketika saya sedang duduk di atas seketul batu sambil berwuduk, tiba-tiba anak mata saya terpandang satu susuk tubuh seakan lembaga hitam sedang berdiri di atas seketul batu besar kira-kira 50 meter dari jarak saya berada.

“Pada asalnya saya menyangkakan ia adalah rakan saya tetapi sebaik diamati, ia tidak menyerupai susuk tubuh manusia, tetapi lembaga hitam dengan badan yang begitu besar dan berbulu.

“Sebaik melihat pandangan mata lembaga hitam itu yang amat menggerunkan, tanpa membuang masa saya terus berlari menuju ke arah rakan saya dan terus memberitahunya agar meninggalkan tempat tersebut dengan segera,” katanya.

Jelas Nadlie lagi, sepanjang perjalanan pulang menuju ke lokasi kenderaan mereka diletakkan, dia langsung tidak bercakap apa-apa walaupun ditanya berkali-kali orang rakannya tentang apa yang berlaku.

Sebaik tiba di kenderaan dan berjaya keluar daripada kawasan hutan tersebut, barulah Nadlie menceritakan kejadian yang berlaku kepada rakannya itu.

Ketika itu, dia juga baru menyedari bahawa ikan kelah yang berjaya dipancing oleh mereka di kawasan lubuk ikan tersebut juga telah tertinggal.

“Selepas kejadian itu, beberapa bulan juga saya tidak turun ke sungai untuk memancing ikan kerana masih berasa gerun dengan apa yang berlaku.

“Kira-kira enam bulan selepas itu, barulah saya memberanikan diri untuk pergi semula ke sungai untuk memburu ikan kelah.

“Apa yang pasti, saya tidak akan pergi memancing berseorangan kerana bimbang kejadian seumpama itu berulang lagi,” katanya.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 14 Mei 2023. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!