
Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
PESANAN orang tua kepada golongan muda ada kala merimaskan, sedangkan tujuan golongan yang lebih dulu makan garam itu hanya untuk kebaikan bersama.
Panorama kali ini membawa naratif penuh pengajaran, apakah akibat jika nasihat dan panduan hidup yang berguna ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Golongan tua di sebuah kampung yang terletak di sebuah negeri di utara, sering berpesan kepada kanak-kanak supaya jangan bermain di sebuah belukar kecil yang terdapat di kampung tersebut.
Kebanyakan kanak-kanak mendengar nasihat tersebut, tetapi ada yang degil hingga mendapat pengajaran akibat ingkar dengan kata-kata golongan tua.
Kisah yang diceritakan seorang lelaki bernama Usop,54, dari Banting itu melibatkan saudara-maranya kira-kira 40 tahun lepas.

Menurut Usop, belukar kecil tersebut adalah sebahagian kampung orang bunian dan orang tua cukup bimbang jika anak mereka bermain di lokasi tersebut.

“Kisahnya seorang kanak-kanak bernama Suzana berumur 8 tahun yang terkenal dengan keletahnya hilang pada satu petang.

“Rumahnya tidak jauh dari belukar tersebut. Sebelum itu puas keluarganya mencari di serata ceruk kampung namun tidak bertemu,”katanya ketika ditemui di Bandar Banting baru-baru ini.
Usop berkata, setelah usaha mencari tidak berjaya, bapa kanak-kanak tersebut meminta nasihat Bomoh Hussein yang merupakan orang tua berpengalaman dengan perubatan tradisional.

Jelas Usop lagi, Bomoh Hussein pada mulanya enggan membantu disebabkan kecuaian ibu bapa Suzana menjaga anaknya.
“Setelah dipujuk oleh orang kampung dan ibu bapa Suzana barulah dia sanggup membantu usaha mengesan kanak-kanak malang itu.

“Bomoh Hussein selepas melakukan upacara tradisional terus menjadi berang, kerana katanya kanak-kanak perempuan itu degil kerana melanggar kawasan bunian.
“Katanya lagi, inilah padah jika bermain di tempat yang dilarang sejak zaman-berzaman di kampung tersebut,”katanya.

Bomoh Hussein kata Usop, menunjukkan kawasan belukar kecil yang dilarang masuk tersebut sebagai lokasi pencarian kanak-kanak yang hilang itu.
Penduduk kampung dan ibu bapa Suzana cerita Usop, terus bergegas ke kawasan larangan tersebut.
“Bomoh Hussein dengan suara garau memarahi mereka semua, kerana tindakan mereka menyerbu kawasan tersebut boleh membahayakan nyawa Suzana.
“Bomoh Hussein berkata, biar dia dan bapa Suzana sahaja yang masuk ke belukar kecil itu sementara penduduk kampung yang lain menunggu di luar belukar,”ujarnya.

Mengulas lanjut Usop berkata, Bomoh Hussein meminta seorang penduduk kampung melaungkan azan sebelum dia masuk ke belukar berdua bersama bapa kanak-kanak malang itu dengan berpakaian ala pendekar.
Semasa itu Usop berkata, waktu Maghrib semakin hampir yang mana ibu dan saudara-mara Suzana saling berpelukan menangis kerana bimbang sesuatu yang buruk terjadi kepadanya.

“Hampir 10 minit Bomoh Hussein dan bapa kanak-kanak itu masuk ke dalam belukar kecil itu. Sepanjang waktu itu semua orang berasa bimbang hingga kesemuanya diam seribu bahasa.
“Tidak lama kemudian kelibat Bomoh Hussein dan bapa Suzana kelihatan. Misi berjaya, tapi Suzana yang berada dalam rangkulan bapanya diam tidak berkutik,”jelasnya.
Tambahnya lagi, ibu dan saudara-mara Suzana meraung kesedihan kerana menyangka kanak-kanak itu telah meninggal dunia.
Setelah dijelaskan Bomoh Hussein kata Usop, barulah mereka berhenti menangis dan Suzana yang pengsan dibawa pulang ke rumahnya untuk dirawat.

“Di rumah kanak-kanak itu, Bomoh Hussein mengadakan upacara pulih semangat dan tidak lama selepas itu, Suzana mula sedar dan memeluk ibunya.
“Apa yang berlaku seperti yang diceritakan Suzana amat menyeramkan. Dia diajak oleh seorang nenek tua ke dalam belukar kecil itu walaupun dia enggan,”katanya.

Usop memberitahu, Suzana menceritakan di ‘kampung’ bunian itu dia bermain dengan cucu nenek bunian itu permainan seperti gasing.
Cerita Usop lagi, orang kampung bunian tersebut semua baik-baik belaka hingga menyebabkan Suzana leka berada di situ.
“Sebenarnya semasa Bomoh Hussein dan bapa Suzana menemuinya, mereka melihat dia sedang terpana merenung piring kecil di hadapannya bukannya gasing.

“Suzana kata ‘piring putih’ yang dilihat sebagai gasing tersebut berpusing laju hingga membuatnya leka hingga dia malas hendak pulang,”ujarnya.
Usop mengakhiri ceritanya berkata, Suzana selepas peristiwa tersebut serik untuk ke kawasan belukar kecil itu lagi.
Peristiwa mistik itu kata Usop lagi, menyebabkan penduduk kampung terutama kanak-kanak tidak berani bermain di belukar kecil tersebut sehingga ke hari ini walaupun empat dekad telah berlalu.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 6 Ogos 2023. Imej janaan AI
