
Oleh SAIRUL ZAMRI MISRANI
LAZIMNYA lapangan terbang menjadi antara tempat tersibuk kerana menjadi pintu masuk dan keluar seluruh negara.
Tidak hairanlah, jika pukul 12 tengah malam pun suasana di lapangan terbang masih hingar-bingar dengan ribuan manusia.

Berkongsi kisah dan pengalaman mistik selaku petugas bahagian teknikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Amzar (bukan nama sebenar) mengakui baharu memulakan profesionnya usai tamat pengajian.
Kata anak kelahiran Sibu, Sarawak itu, kebiasaannya sebagai juruteknik pesawat, tugasnya menuntut untuk bekerja syif pagi dan malam secara bergilir-gilir mengikut jadual.

Saya masuk kerja masa itu pada pertengahan 2019. Tidak sampai setahun berkhidmat, tiba-tiba pandemik Covid-19 menyerang dunia dan banyak sektor terkesan.
“Industri penerbangan juga terkesan dan disebabkan semakin parah pada pertengahan 2020, majikan meminta untuk kami diberikan cuti rehat tanpa gaji.

“Jadi disebabkan saya antara pekerja baharu ketika itu, nama saya terpilih untuk itu dan mereka berjanji untuk panggil semula bekerja andaikata semua kembali pulih,” katanya.
Kata Amzar, disebabkan sekatan perjalanan laluan antarabangsa dan domestik, pesawat tidak boleh beroperasi dan hanya tersadai selama berbulan-bulan.

Lebih kurang enam bulan dia ‘direhatkan’ daripada bekerja, Amzar dipanggil semula dan ketika itu kerajaan baharu sahaja melaksanakan ‘travel bubble’ atau gelembung perjalanan domestik.
Maka, dengan itu operasi pesawat sudah boleh beroperasi tetapi hanya untuk beberapa destinasi terpilih sahaja seperti Langkawi, Kedah.

“Jadi bila dah lama sangat pesawat ini tidak terbang, maka macam-macamlah kerja untuk kami petugas bahagian teknikal buat dan periksa.

Ada yang hampir enam bulan pesawat langsung tidak digunakan dan memerlukan pemeriksaan lanjut secara mendalam sebelum boleh beroperasi,” katanya.
Ujar anak kedua daripda lima beradik itu, suasana di lapangan terbang ketika itu pun masih ‘suram’ walaupun beberapa insentif perjalanan dan sekatan sudah mula dilonggarkan.

Katanya, kebanyakan premis-premis perniagaan di KLIA semuanya masih tutup dan ada yang sudah tutup sepenuhnya atau dalam istilah lain gulung tikar.
“Kehadiran pelancong tempatan juga memang agak kurang. Mungkin masing-masing masih takut dan trauma dengan pandemik maut tersebut.

“Ketika itu juga pekerja-pekerja pembersihan juga sudah mula bertugas untuk memastikan kebersihan lapangan terbang termasuk pesawat dapat dilakukan.
“Nak dijadikan cerita, semasa saya awal-awal bertugas, saya ada kenal seorang mak cik ‘cleaner’ berbangsa India yang memang sudah lama bekerja di situ.

“Mak cik itu juga terpaksa diberhentikan dek kerana pandemik melanda. Jadi bila sudah pulih, saya gembira dapat berjumpa dan sama-sama bekerja,” katanya.
Ujar Amzar, seperti kebiasaan, mak cik dalam lingkungan usia hampir 60 tahun itu akan membersihkan tandas di sepanjang pintu gate pesawat selain menyapu kawasan ruang legar tempat penumpang menunggu.

“Jadi bila saya masuk tandas, saya nampak mak cik India ini sedang leka menyapu dan fokus dengan kerjanya.
“Apabila saya tegur, dia menjawab tetapi raut wajahnya ketika itu nampak seperti tidak sihat dan penat.

Apabila saya tanya kesihatannya, dia jawab dia ok tanpa memandang ke arah saya. Saya juga pesan untuk ke klinik.
“Sebelum saya beredar meneruskan kerja, saya dengar dengan jelas dia seolah-okah meluah sudah penat kerja dan malas mahu hidup. Matanya ketika itu tepat melihat ke arah dinding tandas membelakangi saya,” katanya.

Terkesima dengan kata-kata mak cik itu, Amzar bergegas keluar dan kembali meneruskan kerjanya menyelenggara pesawat bersama rakan sekerjanya.
Terfikir untuk berkongsi mengenai kisah di tandas sebentar tadi, alangkah terkejutnya apabila dia dimaklumkan bahawa mak cik cleaner itu sudah beberapa bulan meninggal dunia disebabkan terkena jangkitan Covid.

Beritahunya rakannya lagi, sebelumnya mak cik itu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) disebabkan beberapa komplikasi lain termasuk jangkitan kuman Covid-19 yang merosakkan 80 perarus paru-parunya.
