MMToon

RIUH-RENDAH MAKHLUK HALUS BERPINDAH KALA HUJAN

KEWUJUDAN makhluk halus seperti jin yang tidak dapat dijamah dengan mata kasar sering menjadi misteri dalam kehidupan kita.

 

Bagi komuniti pedalaman yang terdedah dengan suasana desa yang penuh tumbuhan merimbun sering dimomokkan dengan keberadaan lokasi yang menjadi kampung makhluk halus atau bunian.

Kisah Mitos kali ini, diceritakan oleh seorang bekas pemotong rumput, Azmi Dollah,65, yang melawat anaknya di Banting baru-baru ini.

 

Azmi berkata, sebelum mengalami satu kejadian pelik melibatkan bunian dia tidak percaya langsung dengan kewujudan makhluk tersebut.

 

“Semasa bekerja sebagai pemotong rumput, terserempak dengan haiwan berbisa seperti ular tedung dan ular sawa sudah menjadi perkara biasa.

 

“Namun penampakan makhluk seperti hantu,jin dan bunian memang tidak pernah saya alami sejak saya lahir 65 tahun lepas,”katanya ketika ditemui di Sungai Manggis Banting.

Azmi berkata, peristiwa yang dialami 25 tahun lepas di kampungnya di Perak meyakinkan dia, bukan kita sahaja makhluk Allah yang melata di bumi ini.

 

Katanya lagi, kejadian misteri yang dialaminya berlaku sewaktu hujan lebat selepas waktu solat Maghrib.

 

“Sebelum kejadian yang menyeramkan itu berlaku, kawasan hutan di sebelah belakang rumah saya sedang dipugar untuk dibangunkan beberapa buah banglo.

 

“Sebagai penduduk kampung, saya tidak menghalang sebarang pembangunan kerana apabila rumah bertambah semakin meriahlah suasana kampung,” katanya.

 

Jelas Azmi lagi, sebelum projek banglo itu bermula, lokasi rumahnya adalah yang paling hampir dengan hutan tersebut.

 

Keadaan itu katanya lagi, menyebabkan dia berasa gembira kerana tidak lagi perlu bimbang dengan kehadiran haiwan seperti babi hutan dan ular sawa yang mengintai ayam yang dibela di rebannya.

“Kejadian pelik berlaku pada hari pertama jentolak memulakan kerja meratakan pokok-pokok dan tanah untuk dijadikan tapak rumah-rumah agam tersebut.

 

“Hari itu walaupun baru pukul 7 petang menjelang azan Maghrib, suasana sudah semakin gelap. Hujan yang bermula pukul 5 petang semakin lebat menimpa atap zink rumah saya.

“Berdentam-dentum bunyi atap tersebut berlaga dengan air dari langit. Tiba-tiba, selepas solat Maghrib, isteri saya yang berada di dapur memberitahu dia terdengar ada ramai orang di luar rumah.

 

“Saya membuka tingkap cermin di tepi rumah tetapi tiada sebarang kelibat kelihatan. Isteri saya pun turut melihat dan dia pun tidak nampak apa-apa objek yang bergerak,”ujarnya.

 

Namun katanya lagi, sejurus menutup cermin tingkap, telinganya jelas mendengar bunyi riuh-rendah seperti orang ramai berbondong-bondong membawa periuk dan kuali.

Bunyi tersebut katanya, semakin jelas kedengaran kerana hujan tidak lagi lebat seperti sebelumnya.

 

“Oleh kerana tidak mahu melihat makhluk-makhluk pelik itu saya enggan mengintai dari celah pintu atau tingkap.

 

“Kejadian yang amat menyeramkan itu berlaku hampir sejam. Lebih menakutkan suara yang kedengaran bercampur baur antara lelaki dewasa, wanita dan kanak-kanak yang menangis sayu,”katanya.

 

Lebih mengerikan jelasnya lagi, terdengar satu suara garau lelaki tua yang bertindak seperti ketua yang asyik marah-marah.

Azmi memberitahu, suara tersebut berselang-seli antara marah dan merungut sepanjang sejam kejadian misteri itu berlangsung.

 

“Pada waktu itu baru saya teringat dengan kata-kata abang saudara yang selalu bercerita dia sering mendengar bunyi kokokan ayam di kawasan hutan tersebut. Katanya, orang bunian yang memeliharanya.

“Sebagai seorang yang tidak mempercayai makhluk halus seperti itu, saya buat endah tidak endah sahaja jika dia bercerita,” katanya.

 

Mengulas lanjut Azmi berkata, terdetik di hatinya sememangnya kejadian seram malam tersebut berkait rapat dengan petempatan masyarakat bunian di kawasan hutan terbabit.

 

Tambahnya lagi, peristiwa itu menerbitkan perasaan mula percaya wujudnya makhluk selain manusia normal menerpa di sanubarinya.

 

“Saya merasakan projek tersebut menyebabkan kumpulan makhluk halus tersebut terpaksa berpindah ke kawasan baharu di tebing sungai kampung saya.

“Lokasi tersebut tidak jauh dari kawasan hutan berkenaan. Kira-kira 100 meter sahaja,” ujarnya lagi.

 

Ujar Azmi lagi, sejam selepas bunyi riuh-rendah itu muncul ia terus senyap secara tiba-tiba.

 

Apa yang tinggal kata Azmi, hanyalah bunyi titik-titik air hujan yang menitis di atap zink rumah papannya itu.

 

“Suasana hingar-bingar tadi hilang seakan bunyi kapal terbang berlalu pergi di langit.

 

“Anak-anak saya seramai empat orang ketika itu berusia antara 10 hingga 15 tahun terkedu ketakutan kerana mereka juga mendengar bunyi misteri tersebut,” katanya.

Keesokan harinya cerita Azmi lagi, dia dan keluarga melihat laluan tanah di tepi rumahnya untuk melihat kesan laluan ‘rombongan’ misteri tersebut.

 

Azmi yang terdiam sejenak berkata, tiada kesan tapak kaki atau kenderaan di jalan tanah merah tersebut seolah-olah tiada apa pergerakan besar-besaran yang berlaku.

“Namun apa yang mengejutkan kawasan hutan yang baru sedikit diratakan jentolak terdapat kesan dedaunan dan pokok kayu ditumbangkan begitu sahaja.

 

“Saya percaya itu kesan pergerakan makhluk-makhluk tersebut. Apabila pemandu jentolak dan jenkaut datang bertugas pagi tersebut mereka terkejut melihat kawasan hutan yang seperti diinjak sekawan gajah,” katanya.

Namun jelas Azmi, dia dan keluarga tidak menceritakan peristiwa misteri tersebut kepada kedua pemandu jentera berat tersebut kerana bimbang projek tersebut dibatalkan.

 

Apa yang saya katakan kepada mereka, semalam hujan ribut itu yang menyebabkan pokok-pokok kayu tumbang dan tumbuh-tumbuhan menyembah bumi.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!