Oleh FARID AHMAD TARMIJI
BAGI meraikan majlis konvokesyen adiknya, Afnan (bukan nama sebenar) perlu mencari sebuah homestay untuk didiami oleh ahli keluarganya yang lain.
Oleh kerana mencari pada saat akhir dia berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan homestay yang berdekatan dengan universiti yang terletak di sebuah negeri di selatan Semenanjung Malaysia.
“Kebanyakan homestay di kawasan itu banyak ditempah oleh orang lain bagi menghadiri majlis yang sama.
“Tetapi setelah berusaha mencari di internet saya akhirnya dapat menempah sebuah homestay untuk didiami dan harga yang ditawarkan juga agak murah,” katanya.
Tambahnya, dia tidak bertemu dengan pemilik homestay tersebut dan kunci untuk rumah itu juga hanya diletakkan di dalam peti surat.
Urusan tempahan berjalan lancar dan pada hari kejadian Afnan dan keluarganya tiba agak lewat petang di rumah tersebut.
Setibanya di situ dia dapat merasakan seperti ada aura yang agak lain di rumah itu.
“Sebaiknya saya membuka pintu rumah saya terhidu satu bau yang agak busuk.
“Tetapi bau itu secara tiba-tiba menghilang dan kami semua masuk ke dalam rumah tersebut,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, sebaik masuk ke dalam rumah itu anak saudaranya yang baru berusia setahun mula menangis tanpa henti.
Padahal anak kecil itu langsung tidak meragam ketika di dalam kereta dan Afnan merasakan seperti ada mata yang memerhati mereka di dalam rumah tersebut.
Pada waktu maghrib anak saudaranya itu semakin kuat menangis seperti ada yang mengganggunya.

Bukan itu sahaja, Afnan menyedari bahawa anak yang berusia tiga tahun seperti sedang bermain dengan seseorang di dalam bilik yang mereka tidur sambil ketawa keriangan.
“Anak saya pada ketika itu sudah boleh bercakap dan saya tanya dia sedang bermain dengan siapa.
“Dia kata sedang bermain dengan kawan yang ada di dalam bilik tersebut, saya dan isteri amat terkejut sekali kerana di dalam bilik itu tiada siapa-siapa,” ujarnya.
Tambahnya, isterinya sendiri juga menyatakan bahawa dia berasa rumah itu seperti menyeramkan terutamanya di bilik di tingkat atas.
Afnan memaklumkan hal tersebut kepada ayah mertuanya yang ada di bilik bawah. Ayah mertuanya kemudian membaca beberapa ayat al-Quran.
Mereka semua kemudian keluar untuk pergi makan di luar dan setelah keluar dari rumah tersebut anak saudaranya yang sering menangis itu terus dia apabila ada di dalam kereta.
Tetapi apabila kembali ke rumah tersebut anak saudaranya itu kembali menangis seperti ada benda yang mengganggunya.
Afnan berkata, akhirnya adik iparnya membuat keputusan untuk mencari hotel sekitar dan bermalam di situ kerana anaknya menangis tidak berhenti ketika di rumah itu.
“Bukan itu sahaja ketika anak saya ingin naik ke bilik berseorangan dia memaklumkan ada melihat kelibat berambut panjang dan mata berwarna merah di tangga.
“Dia menangis apabila melihat kelibat itu dan menyatakan dia takut,” jelas Afnan.
Malah, isterinya juga turut mendengar bunyi ketawa yang menakutkan ketika sedang mandi di bilik air.
Afnan mengakui pada malam itu dia sendiri tidak tidur lena kerana merasakan suasana rumah itu seperti menyeramkan.
Keesokan harinya, dia keluar untuk mencari sarapan pagi di kedai yang berhampiran rumah tersebut.
Pada waktu itu dia sempat berbual dengan penduduk setempat dan memberitahu saya tinggal di rumah itu.
“Penduduk setempat hanya tersenyum apabila saya memberitahu dan mereka seperti mengetahui sesuatu.
“Mereka juga menyatakan bahawa rumah tersebut pernah diduduki oleh seorang bomoh dan bomoh itu meninggal di rumah itu dan saka belaanya masih ada di situ.
“Selepas itu, rumah itu ada disewakan kepada orang lain tetapi tidak bertahan lama penyewa rumah lari keluar kerana sering diganggu kata mereka kepada saya,” jelasnya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad • Ilustrasi janaan AI