
Oleh FADILA AWALUDIN
RAYYAN tidak pernah menyangka bahawa pekerjaan sambilan sebagai penjaga panggung wayang akan mengubah pandangannya tentang alam ghaib.
Baginya, tugas seperti membersihkan dewan selepas tayangan, mengawal penonton, menjual makanan dan menutup premis selepas waktu operasi sebagai tugas mudah.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka kejadian seram yang berlaku pada suatu malam di dewan panggung wayang telah menghantui dirinya sehingga ke hari ini.
“Tiga tahun lepas satu buat kerja sambilan di sebuah panggung wayang di pusat beli-belah di ibu kota. Sebelum bekerja di situ, memang pernah dengar bermacam cerita seram yang ada di panggung itu.

“Awalnya saya memang tak ambil pusing sangat sebab, saya fikir orang sengaja mereka cerita. Tapi, bila difikirkan semula mungkin ada betulnya sebab tapak pusat beli-belah tu dulu ialah sebuah hospital.
“Kejadian itu berlaku pada hari pertama saya bertugas syif malam. Tayangan terakhir selalunya pukul 11 malam dan akan habis 2 pagi. Selepas tayangan itulah saya mengalami kejadian seram yang pertama iaitu melihat sosok wanita berdiri di depan layar, sebelum tiba-tiba melompat,” ceritanya kepada Cita Rasa.

Biarpun kejadian itu sudah lama berlaku, namun riak wajah Rayyan kelihatan sedikit pucat saat menceritakan semula kejadian seram yang berlaku di dewan tiga panggung tersebut.
“Sekitar pukul 2 pagi selepas waktu tayangan tengah malam selesai, saya buat kerja seperti biasa iaitu menyapu dan mengutip sisa makanan. Waktu saya sedang mengemas di tempat duduk paling belakang bahagian atas, tiba-tiba saya terdengar suara perempuan ketawa perlahan-lahan, dan kemudian menangis.

“Tiba-tiba lampu dewan berkelip-kelip dan saya fikir ada masalah elektrik, jadi saya cuba panggil rakan sekerja, Helmi yang ada di bawah. Tetapi saya lihat Helmi berdiri kaku sambil menunjukkan jari telunjuk kirinya ke arah saya dalam keadaan menggigil.
“Waktu itu saya rasa ada angin yang sedang bertiup di tengkuk. Saya tidak berani menoleh ke belakang, dan terus berjalan ke arah Helmi yang ada dekat dengan layar. Tiba-tiba ada kelibat wanita berjubah putih dengan rambut panjang seakan-akan terbang dan berdiri di hadapan layar tayangan,” katanya.

Ketika kejadian itu berlaku Rayyan dan Helmi berdiri kaku dan menanti apakah yang akan dilakukan oleh makhluk tersebut.
Selepas beberapa minit kedua-duanya berlari lintang-pukang, apabila makhluk seram itu mengeluarkan bunyi tangisan perlahan-lahan sebelum melompat seperti ‘melayang’ ke arah mereka.

Tanpa berfikir panjang Rayyan dan Helmi bergegas keluar dewan dan mengunci pintunya dari luar. Mereka berlari ke bilik kawalan dan cuba menghubungi rakan sekerja yang lain.
“Saya terkejut dan tidak sangka makhluk itu tiba-tiba akan datang ke arah kami. Meskipun berlaku dalam keadaan yang pantas, saya masih ingat wajahnya sedikit kehitaman dengan mata yang kemerahan.

“Waktu itu kami tidak sempat menyelesaikan tugas dan berharap dapat terus pulang ke rumah. Tetapi pengurus kami minta kami untuk mengemas semula perkakas yang ditinggalkan di dewan tersebut bersama dengannya.
“Syukur waktu itu tiada kejadian aneh yang berlaku, tetapi saya dapat melihat mulut pengurus seperti terkumat-kamit sepanjang berada di dalam dewan,” ujarnya.
Beberapa hari selepas kejadian, Rayyan dan Helmi gembira apabila mereka ditugaskan ke syif siang dan tidak dipertanggungjawabkan untuk mengemas di dewan tiga.

“Memang seronok sebab perlu jaga di bahagian lain, tetapi kami ingin tahu juga apa yang berlaku pada malam itu. Jadi kami bertanya dengan pengurus tentang kemunculan makhluk itu.
“Ceritanya beberapa tahun dahulu, pernah berlaku kes kematian seorang wanita di dewan tiga akibat serangan jantung ketika menonton filem seram. Wanita itu dikatakan duduk dikerusi paling belakang di mana tempat saya melakukan pembersihan pada malam itu.
“Sejak itu, ada beberapa staf pernah mengadu diganggu sosok puntianak dan sering terdengar ada suara tangisan wanita jika berada berhampiran dengan kerusi itu,” katanya.

Selepas apa yang berlaku, Rayyan tidak lagi memilih untuk mendekati kerusi tersebut dan sering meminta pertolongan staf syif pagi untuk membersihkan kawasan kerusi itu sekiranya dia bekerja syif malam.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI.
