
Oleh GHAZALI ALIAS
SETIAP kali menyertai aktiviti berkonvoi, pasangan suami isteri itu sentiasa bersemangat kerana ia merupakan hobi mereka sejak zaman bercinta.
Pernah ke serata Malaysia dan Thailand, setiap tahun Mizi dan Liza (bukan nama sebenar) akan berkumpul bersama rakan-rakan untuk melakukan konvoi motosikal berkuasa tinggi.

Namun, dalam keriangan berkonvoi bersama-sama, mereka juga pernah mengalami satu pengalaman ngeri yang hampir meragut nyawa.
Menurut Mizi, kejadian tersebut berlaku sekitar dua tahun lalu ketika dia dan isteri menyertai aktiviti konvoi amal menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia.

“Setiap tahun, berkonvoi memang menjadi aktiviti wajib buat saya dan isteri dan pada tahun itu ia merupakan kali pertama kami mengikuti program untuk jangka masa panjang.
“Perjalanan kami bermula dari Kuala Lumpur bergerak ke arah Utara sebelum memasuki Pantai Timur, Selatan seterusnya kembali ke ibu kota yang mengambil masa selama empat hari,” katanya ketika dihubungi Panorama baru-baru ini.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, awalnya semua perancangan berjalan lancar dan mereka memulakan perjalanan sekitar pukul 7 pagi dari Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Katanya lagi, sepanjang perjalanan menjelajah ke bahagian Utara, mereka telah menjalankan beberapa aktiviti amal seperti gotong royong masjid dan menziarah rumah-rumah anak yatim yang menjadi sebahagian daripada program mereka.

Selepas selesai program di Utara, mereka memulakan perjalanan menuju ke arah Pantai Timur dengan menggunakan laluan Batu Gajah, Perak melalui Cameron Highland, Pahang dan Gua Musang, Kelantan.
Kongsi Mizi, sebelum memulakan perjalanan, isterinya sudah mula merasakan tidak sedap hati dan menyatalan hal tersebut kepada dirinya.

Awalnya saya beranggapan bahawa apa yang dirasai oleh Isteri mungkin berkaitan dengan motosikal kami yang telah melewati perjalanan panjang.
“Oleh itu kami pergi ke bengkel terlebih dahulu untuk membuat pemeriksaan sebelum melanjutkan perjalanan dan semuanya baik-baik sahaja,” ujar lelaki asal Taiping, Perak itu.

Ceritanya lagi, semasa perjalanan melalui Cameron Highland, isterinya sekali lagi mengatakan perihal sama, namun dia hanya beranggapan bahawa itu hanya mainan perasaan.
Ketika menjelang waktu maghrib konvoi mereka telah tiba di kawasan Gua Musang yang mana disekelilingnya hanya hutan.

Awalnya mereka mahu berhenti seketika di surau berdekatan, namun kerana mahu sampai awal di Kota Bharu, kumpulan konvoi itu memilih untuk meneruskan perjalanan.

Namun begitu, dalam perjalanan yang diketuai oleh Mizi dan Liza, mereka melihat ada kabus yang tiba-tiba muncul melintangi jalan raya.
Tidak merasa ada sesuatu yang aneh mereka melewati kabus itu diikuti oleh rakan konvoi yang lain.

“Selepas melalui kabus itu saya ada melihat sesuatu seperti sekumpulan lelaki berjubah putih berjalan di tepi jalan, bulu roma tiba-tiba naik dan entah mengapa tiba-tiba saya hilang kawalan.

“Kami berdua kemudian terbabas di tepi jalan sebelum pengsan dan hanya sedar selepas berada di hospital di Kota Bharu,” jelasnya.
Katanya lagi, selepas sedar, Mizi menyedari bahawa dia mengalami patah tangan manakala isterinya patah di kedua belah tulang peha.

Ketika itu juga rakan-rakan konvoi turut ada menemani mereka di hospital dan menceritakan apa yang berlaku.
Jelas Mizi, rakannya mengatakan bahawa kejadian berlaku tanpa mereka sedar, dan sebelum kejadian pasukan konvoi tidak melihat kami di hadapan serta menyangkakan kami sudah jauh dihadapan.

Malah, apabila Mizi menyatakan tentang kabus, mereka juga memberitahu bahawa tidak ada sebarang kabus sepanjang perjalanan dan hanya melihat motosikalnya yang terbabas hampir di tepi gaung.
Hal itu membuatkan Mizi dan Liza merasa seram sejuk, namun pada masa sama bersyukur kerana Allah masih melindungi dan memanjangkan umur mereka.

Ini berikutan, semasa di hospital juga, Mizi ada diberitahu oleh petugas di sana bahawa lokasi di mana kemalangan itu berlaku merupakan kawasan yang sering berlakunya kemalangan maut dan mereka berdua bernasib baik kerana terselamat.
Selepas kejadian itu, Mizi dan Liza berehat daripada menyertai sebarang aktiviti konvoi bagi memberi ruang untuk kecederaan mereka sembuh.
