Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA
TEKANAN daripada masyarakat di sekeliling sememangnya mampu membuatkan seseorang itu melakukan perkara di luar logik akal.
Ini termasuk juga hal-hal berkaitan dengan jodoh biarpun tindakan tersebut boleh jatuh ke dalam kategori khurafat.
Kisah bermula apabila Umairah (bukan nama sebenar) sudah bernanah telinga mendengar kritikan orang kampung yang menggelarnya andartu.
Menurut wanita yang bekerja sebagai seorang guru itu, pada mulanya dia menganggap dirimya masih belum dikurniakan rezeki jodoh.
Namun, setelah usianya hampir mencecah 40 tahun, dia mula risau sekiranya dirinya tidak mungkin akan menjalani kehidupan berkeluarga.
“Sejak kecil, saya berimpian untuk memiliki keluarga sendiri. Saya memang suka budak-budak, kerana itu saya seorang guru.
“Sebab itu bila saya masih lagi tidak menemui jodoh, saya rasa agak tertekan dan mula mencuba pelbagai cara atas nama ‘ikhtiar’,” katanya kepada Panorama.
Suatu hari, Umairah mendapat saranan daripada seorang kenalan di usrah tentang legenda telaga di sebuah masjid lama di Sabak Bernam, Selangor.
Mengikut cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut itu, air di telaga tersebut memiliki banyak manfaat kerana ia terletak berdekatan kawasan masjid.
Ini kerana air di telaga itu telah ‘dibacakan’ dengan pelbagai ayat Al-Quran yang dialunkan oleh orang-orang setiap kali melakukan aktiviti keagamaan di masjid.
Oleh itu, ramai yang gemar mengambil air dalam telaga tersebut untuk dijadikan tujuan perubatan atau
Mandi bunga.
Jelas Umairah, biarpun masjid tersebut masih lagi dengan seni bina kayu lama, namun ia sangat cantik dan berseri.
“Saya tak rasa sebarang kelainan,cuma ia satu masjid yang sunyi tetapi bersih dan tenang.
“Saya ambil sebotol air di telaga berdekatan situ dan campurkan dalam air tab mandian saya di rumah,” jelasnya.
Masalah mula timbul apabila Umairah mula bermimpikan seorang jejaka tampan dan segak.
Pada mulanya, wanita dari Negeri Sembilan itu menyangka mimpi tersebut merupakan petunjuk daripada tuhan.
Setelah berbulan-bulan, Umairah masih lagi bermimpikan lelaki itu, tetapi anehnya, kini dia bermimpi dirinya mengandung.
Situasi semakin mencurigakan apabila badannya sentiasa penat dan lenguh-lenguh di siang hari.
Bahkan, rakannya juga menegur wajahnya yang semakin kusam dan tidak bermaya.
Tambah Umairah, dia mula menyedari dirinya juga menjadi pemarah apabila asyik menengking anak-anak muridnya di kelas.
“Saya sudah tidak rasa seperti diri sendiri. Jadi, saya mengadu dengan ustaz di sekolah ini dan ustaz terkejut apabila dengar cerita saya.
“Ustaz membantu saya mendapatkan rawatan menerusi perubatan Islam. Ternyata ada jin di telaga itu sedang mendampingi saya,”katanya.
Sewaktu proses perubatan berlangsung, Umairah asyik bermimpikan lelaki tersebut berubah wajah menjadi ngeri.
Demi memastikan dirinya lena, dia terpaksa mengambil ubat tidur dan penenang.
Dirinya juga mula muntah-muntah sehingga kehilangan berat badan yang mendadak.
Akhirnya setelah beberapa sesi rawatan Islam serta menemui psikiatri untuk masalah kecelaruan cemas, dia semakin pulih.
Ujarnya, perkara tersebut membuatkannya lebih berhati-hati dalam menerima nasihat biarpun kedengaran Islamik.
“Tetapi boleh juga jatuh syirik, kerana kita yakin air telaga itu boleh bantu kita dapat apa yang dihajati, berbanding doa terus kepada tuhan.
“Alhamdulillah, saya masih diberi kesempatan untuk sembuh sebelum perkara ini lebih melarat,”ujarnya.
Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI
