MMToon

TERKEDU LIHAT PONTIANAK DI TEPI JALAN HUTAN

Oleh MOHD.SHAZWAN YUSOP

SEBAIK habis waktu kerja sekitar pukul 10 malam, lelaki berusia 45 tahun itu terus bergegas pulang ke rumahnya yang terletak di Ampang, Selangor. Mohd. Ridzuan Ab. Syukor sempat berbaring di atas katil selama 45 minit sebelum berjalan menuju ke bilik stor untuk mencari kelengkapan memancing seperti joran dan mata kail.

Memandangkan keesokannya adalah cuti hujung minggu, dia berhasrat untuk pergi memancing ikan air tawar di Empangan Semenyih bersama seorang rakannya.

Saya dan rakan selalu pergi memancing sama-sama di empangan itu. Biasanya, kami memancing di situ pada malam hujung minggu memandangkan keesokannya tidak bekerja.

“Kami suka memancing waktu malam kerana tidak perlu berpanas. Lagi pula, ada beberapa spesies ikan di empangan itu makan pada waktu malam,” katanya ketika ditemu bual.

Tepat pukul 12 tengah malam, dia dan rakannya bergerak menaiki sebuah kereta menuju ke Empangan Semenyih yang terletak kira-kira 40 kilometer perjalanan dari ibu kota.

Mohd. Ridzuan yang memandu kenderaan pada hari itu memilih melalui Jalan Sungai Tekali untuk menuju ke empangan yang terletak bersempadan antara Selangor-Negeri Sembilan.

Apabila melepasi Kampung Sungai Tekali, Mohd. Ridzuan dapati kawasan tersebut seperti baru lepas hujan lebat kerana jalan tar basah selain sedikit berkabus.

Sebaik menghampiri kawasan Bukit Hantu, Mohd. Ridzuan memilih untuk memandu secara lebih perlahan sekitar 70 kilometer memandangkan laluan tersebut yang berliku selain gelap.

 

Pada hari itu, jalan itu seperti baru lepas hujan. Di dalam kereta, kami selalunya menghabiskan masa untuk berbual bagi menghilangkan rasa mengantuk,” terangnya.

Ketika menghadiri satu selekoh, Mohd. Ridzuan dan rakannya ternampak kelibat makhluk berwarna putih yang berambut panjang berdiri betul-betul di tepi jalan.

Sewaktu melihat makhluk yang dipercayai puntianak itu, mereka berdua tergamam seketika sambil bulu roma remang akibat daripada perasan takut.

Disebabkan jalan di situ gelap, saya menggunakan lampu tinggi. Apabila tiba di satu selekoh berhampiran sekitar Bukit Hantu, kami terlihat kelibat makhluk berwarna putih.

“Saya yakin ia puntianak kerana rambutnya mengurai panjang sehingga para pinggang. Hendak kata hantu pocong, saya tidak nampak lebihan kain seperti bunjut di atas kepalanya.

Mukanya saya tidak nampaknya kerana keadaan di situ sengat gelap. Masa itu, hanya kami yang lalu kawasan tersebut tiada ada kenderaan lain,” imbaunya.

Selepas nampak makhluk itu, mereka masing-masing mendiamkan diri sementara Mohd. Ridzuan memilih melajukan kendaraannya supaya lebih cepat sampai ke destinasi.

Menurutnya, mereka mula bertanyakan mengenai penampakan makhluk aneh itu selepas tiba di kawasan bercahaya di sekitar Empangan Semenyih disebabkan masing-masing takut.

“Lepas nampak puntianak itu, saya terus pecut kereta dengan laju.. Saya tidak cakap sepatah pun dengan rakan kerana tidak mahu puntianak itu ikut kami di dalam kereta.

Apabila tiba di empangan baru kami saling bercerita. Saya tanya rakan sama ada dia nampak kelibat makhluk putih tersebut. Dia mengangguk sebagai tanda betul,” ceritanya.

Tegas Mohd. Ridzuan, Bukit Hantu memang terkenal dengan kisah-kisah seram terutamanya dalam kalangan penduduk tempatan seiring dengan namanya yang mempunyai perkataan hantu.

Katanya, laluan di Bukit Hantu semakin popular sejak kebelakangan ini terutamanya dalam kalangan penunggang motosikal yang ingin melayan selekoh dan pengayuh basikal.

“Kawasan ini semakin popular tertamanya mereka yang hendak layan lap dan mengayuh basikal di laluan mencabar. Golongan tersebut hanya berani berbuat demikian pada waktu siang sahaja.

“Pada sebelah malam, memang tidak ada orang hendak buat aktiviti. Hendak lalu pun takut kerana terlalu gelap serta sunyi. Tidak hairanlah kawasan ini sangat menyeramkan,” ujarnya.

Kisah seram ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!