MMToon

TERSEREMPAK LEMBAGA DI RUANG DAPUR RUMAH

Oleh RIZAM ZAKARIYA

MEMILIKI rumah idaman merupakan satu perkara yang sangat menggembirakan, apatah lagi apabila kediaman yang diidamkan itu menepati kehendak dan citarasa seseorang individu itu.

Bagi Sufian (bukan nama sebenar), dia berasa sangat beruntung apabila angan-angannya untuk memiliki kediaman sendiri sudah tercapai seawal usia 30 tahun.

Apatah lagi apabila kediaman tersebut dibeli pada harga di bawah pasaran, selain lokasi yang sangat strategik dan terletak di hujung jalan.”

“Sewaktu masih bujang, saya memang tinggal bersama ibu dan ayah di sebuah kawasan perumahan di Kuala Lumpur.

“Tetapi selepas berkahwin pada usia 27 tahun, saya mula merasakan perlu untuk memiliki sebuah kediaman sendiri.

“Tambahan pula adik-beradik saya masih ramai dan disebabkan saya anak sulung, saya mengambil tanggungjawab untuk tinggal di rumah sendiri,” katanya.

Cerita Sufian lagi, sebaik meneliti iklan yang terdapat di pelbagai platform online, dia amat tertarik dengan tawaran yang diberikan seorang pemilik kediaman di Kajang, Selangor.

Selepas melihat sendiri keadaan rumah yang ditawarkan, dia kemudiannya membuat permohonan pinjaman daripada pihak bank dengan menggabungkan pendapatan dirinya dan isteri.

“Memandangkan harga rumah ditawarkan itu sekitar RM200,000 oleh pemiliknya, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran sekitar RM300,000, maka saya terus membelinya tanpa berfikir panjang.

Selepas pinjaman diluluskan, saya mula berpindah masuk ke rumah baru tersebut dengan perasaan yang sangat gembira kerana sudah mampu memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Namun jelas Sufian, keseronokannya itu tidak bertahan lama apabila pada minggu pertama dia tinggal dia rumah tersebut, sudah berlaku beberapa kejadian seram yang tidak pernah diduga.

Katanya, kejadian berkenaan bukan sahaja berlaku pada waktu malam, tetapi turut terjadi pada waktu siang hari sehingga membuatkan dia dan isterinya ketakutan.

“Salah satu kejadian yang berlaku adalah pada waktu malam sewaktu kami ingin tidur, kerap kali terdengar seolah-olah ada orang sedang memasak di ruang dapur dengan bunyi pinggan dan mangkuk turut kedengaran.

Lebih menyeramkan apabila kami juga dapat menghidu bau masakan yang datang dari arah dapur yang terletak di tingkat bawah.”

“Pada awal kejadian, saya tidak mengendahkannya kerana menyangkakan bahawa bunyi dan bau-bauan masakan tersebut datang dari arah rumah jiran.

“Tetapi apabila ia berlaku pada setiap malam, saya mula curiga dan sewaktu saya turun dari tangga untuk menuju ke arah dapur, saya dapat melihat kelibat seorang wanita berambut panjang dengan berpakaian putih sedang memasak.

“Pada masa sama, terdapat seorang kanak-kanak perempuan berbaju putih turut berada di sampingnya,” katannya.

Cerita Sufian lagi, terkejut dengan apa yang dilihatnya, dia terus naik dan masuk ke ruang bilik tidur tanpa bercerita apa yang dilihatnya kepada isteri.

Pada hari-hari seterusnya, Sufian masih dapat melihat kelibat wanita dan kanak-kanak tersebut berada di ruang dapur dan melakukan perkara yang sama.

Pada waktu siang pula katanya, kejadian seram berlaku apabila pili air di dalam bilik mandi tiba-tiba terbuka dan terdengar seolah-olah seseorang sedang mandi sedangkan ketika itu dia dan isterinya berada di ruang lain.
Dia terus bergegas ke bilik air dan mendapati paip mandi terbuka dengan sendiri.

Hairan dengan kejadian yang berlaku itu, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk bertemu dengan seorang ustaz yang merupakan imam di sebuah masjid berhampiran dan berceritakan kejadian yang disaksikannya itu.

Alangkah terkejutnya apabila ustaz tersebut memberitahu Sufian bukanlah orang pertama yang menceritakan kejadian seram itu kepadanya.

Menurut ustaz tersebut, beberapa penghuni yang pernah tinggal di rumah tersebut sebelum itu juga pernah menceritakan perkara yang sama kepadanya.

“Berdasarkan cerita ustaz tersebut, rumah berkenaan berkemungkinan didirikan atas tapak sebuah bangunan rumah lama yang telah dirobohkan.

“Wanita dan kanak-kanak tersebut dipercayai merupakan penghuni rumah tersebut tetapi telah dibunuh dan mayat kedua-duanya telah ditanam di bawah tapak rumah lama itu sebelum ia ditemui ketika projek perumahan baru dilaksanakan.

“Ustaz tersebut memberitahu kedua-dua kelibat wanita dan kanak-kanak tersebut tidak pernah mengganggu kesemua penghuni rumah berkenaan, melainkan mereka hanya akan muncul pada waktu malam di ruangan dapur,” katanya.

Bagaimanapun jelas Sufian, bagi mengelak kejadian tersebut disaksikan oleh isterinya sehingga menimbulkan ketakutan, dia akhirnya mengambil keputusan untuk menjual rumah tersebut selepas setahun tinggal di situ.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 16 April 2023. – Ilustrasi janaan AI

 

 

 

 

 

 

 

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!