MMToon

TERSEREMPAK ORANG BUNIAN KETIKA BERKHEMAH

Oleh RIZAM ZAKARIYA

BAGI sesetengah pihak, ada yang berpendapat kisah mistik dan mitos yang didengari mungkin tidak lebih daripada sekadar cerita dongeng.

 

Namun, bagi mereka yang pernah mengalami pengalaman berhadapan dengan kisah mistik, kejadian yang berlaku itu dianggap benar kerana telah disaksikan dengan mata kepala sendiri.

 

Perkara itu diakui sendiri oleh Yanti, 40, (bukan nama sebenar) apabila dia sendiri pernah berhadapan dengan situasi tersebut dalam satu kejadian yang berlaku kira-kira 20 tahun lalu.

Membuka cerita, Yanti berkata, kejadian mistik tersebut berlaku ketika dia menyertai aktiviti mendaki sebuah gunung di Baling, Kedah ketika sedang menuntut di sebuah universiti di Pulau Pinang.

 

“Ketika di universiti, saya merupakan ahli kelab kembara dan kebiasaannya apabila tiba musim cuti semester, saya akan menyertai aktiviti rekreasi yang dianjurkan terutama mendaki dan berkhemah.

“Kebetulan pada waktu kejadian, saya menyertai aktiviti mendaki sebuah gunung di Baling melibatkan tempoh selama empat hari tiga malam,” jelasnya.

 

Kata Yanti lagi, sebagai seorang mahasiswi yang aktif dalam aktiviti rekreasi dan lasak, dia sememangnya tidak mengampil peduli terhadap kisah-kisah mitos dan mistik yang sering didengarinya.

 

Namun jelasnya, kejadian yang berlaku di gunung tersebut telah mengubah persepsinya terhadap kisah-kisah mistik.

 

Membuka cerita, dia memberitahu, perkara tersebut berlaku pada malam kedua ketika dia dan rakan-rakannya berkhemah di kawasan lapang yang terletak tidak jauh dari puncak gunung.

“Sebaik sampai di kawasan tapak perkhemahan tersebut, kami dihidangkan dengan pemandangan kawasan yang sangat cantik dengan persekitaran yang dihiasi tumbuhan renek seakan bonsai dan diseliputi lumut hijau.

 

“Ketika itu, jurupandu arah kami memberitahu bahawa kawasan tapak perkhemahan itu dikenali sebagai taman bunian disebabkan oleh keindahanya yang kerap digambarkan dalam kisah dongeng.

Sebagai seorang yang tidak percaya terhadap perkara tersebut, saya hanya mendengarnya sahaja dan turut menyindir di dalam hati bahawa tidak mungkin orang bunian wujud seperti mana yang diceritakan,” ujarnya.

 

Cerita Yanti lagi, disebabkan kesemua peserta sudah kepenatan, ramai dalam kalangan mereka mengambil keputusan untuk tidur lebih awal pada malam berkenaan.

 

Tambahan pula, mereka juga perlu bangun awal keesokan harinya untuk menyaksikan pemandangan matahari terbit dari kawasan puncak gunung.

Ceritanya lagi, kira-kira pukul 2 pagi, dia terjaga dari tidur kerana berasa terlalu sejuk dan cuba untuk mendapatkan pakaian tambahan yang ada di dalam begnya yang terletak di luar khemah.

 

“Sebaik keluar dari khemah untuk mengambil baju tambahan, saya ternampak satu kawasan yang diterangi cahaya dengan terdapat ramai orang berada di sekitarnya.

“Ketika itu, jantung saya mula berdegup kencang dan dari celahan pokok, saya dapat lihat dengan jelas mereka seolah-olah sedang sibuk bergotong-royong seperti sedang menyiapkan hidangan untuk satu majlis kenduri.

“Apa yang menghairankan, kesemua mereka sama ada lelaki, wanita dan kanak-kanak memakai pakaian berwarna putih yang sangat cantik dan bersih.

Ketika itulah saya mula teringat akan kata-kata jurupandu arah kami bahawa tapak perkhemahan kami itu dikenali sebagai taman bunian, dan kemungkinan kumpulan orang ramai yang saya saksikan itu adalah orang bunian,” katanya.

 

Dalam keadaan ketakutan jelasnya, dia segera masuk semula ke dalam khemah dan mendiamkan diri sehingga tertidur.

 

Keesokannya, sewaktu dalam perjalanan menuruni puncak gunung untuk ke kawasan permulaan pendakian, dia menceritakan kejadian yang disaksikannya tu kepada jurupandu arah tersebut.

 

Kata Yanti, menurut cerita jurupandu arah berkenaan, dia bukanlah orang pertama yang mengalami kejadian tersebut, dan kejadian sama pernah disaksikan beberapa pendaki lain sebelum ini.

 

Atas dasar kejadian itulah kata jurupandu itu, kawasan tapak perkhemahan itu diberi nama taman bunian.

 

“Kata jurupandu arah itu lagi, walaupun ada pendaki yang berhadapan dengan pengalaman seperti itu, namun tidak pernah terjadi kejadian yang tidak diingini berlaku sehingga kini.

“Mungkin makhluk yang digelar orang bunian itu ingin memberitahu kepada kita bahawa mereka sebenarnya wujud di bumi ini dan bukanlah sekadar cerita dongeng seperti yang saya sangka selama ini,” katanya.

 

Sejak daripada itu katanya, dia mula mempercayai bahawa setiap kisah mistik yang diceritakan oleh mana-mana pihak mempunyai asasnya yang tersendiri dan mungkin sebahagiannya adalah kisah benar yang berlaku.

 

Malah ujarnya, sebagai seorang muslim, kejadian yang disaksikannya itu semakin menguatkan akidahnya bahawa di dunia ini tidak hanya didiami oleh manusia dan haiwan, tetapi turut menjadi kediaman untuk pelbagai makhluk halus yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!