Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
Kring… Kring… Kring… Kring…
Bilal Karim tersentak. Dia bergegas bangun menuju ke arah telefon yang terletak di meja kecil anjung rumahnya. Dalam hati dia berteka-teki siapa pula yang menelefonnya di tengah-tengah malam begini. “Assalamualaikum… sapanya sambil menunggu jawapan. “Waalaikumsalam. Ini encik Karim? Sayup kedengaran suara di hujung talian.
“Iya saya. Siapa tu? tanyanya kembali.

Saya dari Hospital Klang. Hendak maklumkan Mohd. Faiz bin Hussin dah meninggal dunia. Minta esok encik Karim datang ambil jenazah ya. Jawab suara tersebut.
“Innalillahiwainnailai-hirojiun. -Terkedu Bilal Karim. Namun sebaik sahaja dia ingin bertanya lebih lanjut, talian telah dimatikan.
Lantas Bilal Karim terus memberitahu isterinya tentang berita yang diterimanya. Nampaknya, esok pagi dia ada tugas yang perlu dilaksanakan. Begitulah tugas Bilal Karim. Bila ada kematian di kampungnya, dialah orang paling sibuk. Selain menguruskan hal-hal berkaitan kematian, dia juga bertindak sebagai pemandu van jenazah di kampungnya. Jadi, jika jenazah berada di hospital atau perlu dibawa ke mana-mana dialah individu yang dicari.
Sebelum masuk tidur, Bilal Karim memanggil pembantunya Zamri pembantunya datang ke rumahnya untuk memberitahu tugas yang akan mereka laksanakan esok pagi. Memang selama ini pemuda itulah yang banyak menolongnya ke sana ke sini untuk mengambil dan menghantar jenazah, di kampung Kelam. Sebab itulah, Bilal Karim cukup selesa ke mana-mana dengannya.
Keesokannya, pagi-pagi lagi Bilal Karim sudah terpacak di depan masjid Kampung Kelam. Sementara menunggu ketibaan pembantunya Zamri, dia lantas memanaskan enjin van dan memeriksa keperluan yang ingin dibawa termasuk keranda, kain penutup dan dokumen yang perlu diserahkan ketika menuntut jenazah nanti.
Selang beberapa minit kemudian barulah Zamri muncul dengan motor kapcainya. Setelah selesai meletakkan motosikalnya di parkir masjid mereka lantas bersalaman dan bertolak pergi.
Sepanjang perjalanan mereka berbual kosong. Maklumlah jarak dari kampung mereka ke bandar Klang memakan masa hampir tiga jam juga, jadi biasanya waktu begini mereka akan bersembang rancak dengan pelbagai topik, dari cerita kampung, politik tanah air hinggalah kisah luar negara. Begitulah rutin mereka selama ini.
Eh, tiada ke wakil keluarga arwah yang ikut kita ke hospital ini? tanya Zamri sambil tangannya erat memaut stereng van yang dipandunya.
“Entahlah, tiada pula sesiapa yang tunggu di masjid tadi. Mungkin masing-masing tengah sibuk nak uruskan ketibaan jenazah nanti agaknya. Tak mengapalah, lagipun abang arwah ada yang tinggal di Klang dan Kuala Lumpur, mungkin mereka dah siap tunggu di sana,” jawab Bilal Karim sambil sesekali melemparkan pandangan ke luar tingkap kenderaan.
“Iyalah betul juga. Kalau dah ada waris yang tunggu di sana buat apa pula nak ikut kita. Lagi baik uruskan apa-apa yang patut sementara tunggu jenazah sampai nanti,” sambung Zamri menyokong kata-kata Bilal Karim.
“Tapi itulah… dah memang ajal arwah agaknya. Tak sangka pula saya dia meninggal mengejut macam ini, kerana setahu saya arwah masuk hospital hari itu sebab kes demam panas saja. Mungkin dah sampai ajalnya, demam sebagai penyebab saja,” sambung Zamri lagi.
Bilal Karim hanya mengangguk perlahan. Dia juga terkejut dan tak sangka dengan pemergian Faiz. Walaupun ketika hayatnya arwah tinggal di Klang, namun dia kenal dan rapat juga sebab boleh dikatakan setiap bulan arwah akan pulang ke kampung menjenguk keluarganya, tambah pula arwah masih bujang dan belum berkeluarga.
Setelah hampir tiga jam memandu, akhirnya kenderaan mereka naiki masuk ke pekarangan hospital Klang. Zamri terus mengambil laluan menghala ke bangunan bilik mayat yang terletak di belakang hospital.
Selepas sahaja selesai meletak kenderaan di parkir, Bilal Karim dan Zamri terus menuju ke arah petugas di kaunter bilik mayat tersebut.
“Assalamualaikum, maaf menganggu tuan. Saya datang ini, hendak tuntut jenazah Mohd. Faiz bin Husin untuk dibawa pulang ke kampungnya,” kata Bilal Karim sambal mengeluarkan kad pengenalan dari dompetnya.
Selesai menjawab salam dan mengambil kad pengenalan Bilal Karim, petugas tersebut menyelak-nyelak helaian kertas yang bersusun di hadapannya. Sesekali nampak dia mengerutkan dahi seolah-olah mencari sesuatu.
Eh, tiada pula jenazah bernama Mohd. Faiz yang kita rekodkan dalam ini. Err… encik pastikah nama arwah Mohd. Faiz,” tanya petugas itu kembali.
Bilal Karim lantas menggamit Zamri yang ketika itu berada di kerusi pelawat. Bergegas Zamri menghampirinya dengan penuh tanda tanya.
“Eh, Zamri nama arwah Faiz itu Mohd Faiz bin Husin kan? tanya Bilal Karim inginkan kepastian.
“Haa, betullah. Memang itulah nama penuh arwah. Kenapa pula? jawab Zamri kehairanan.
“Masalahnya petugas ini kata tiada pula jenazah nama Mohd. Faiz yang mereka rekodkan,” kata Bilal Karim keliru.
Sekali lagi mereka ke kaunter dan meminta agar petugas tersebut memeriksa semula, namun nama arwah memang tiada dalam rekod.
Pelik ni. Saya datang tuntut jenazah ini pun sebab dihubungi pihak hospital malam tadi. Kalau tidak, takkanlah saya nak datang jauh-jauh macam ini,” jawab Bilal Karim sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Ketika buntu mencari jawapan, tiba-tiba kelihatan dua orang pemuda menuju ke arah mereka. Zamri lantas mencuit Bilal Karim.
“Assalamualaikum bang Karim, Zamri…,” sapa salah seorang lelaki tersebut sambil menghulurkan tangan.
“Waalaikumsalam… eh, kamu Rosli, Fawaz. Bila sampainya? tanya Bilal Karim sambil menghulurkan tangan menyambut salam pemuda di hadapannya. Dalam hati dia menarik nafas lega kerana abang arwah sampai juga di waktu mereka memerlukan.
“Baru saja sampai ni. Kebetulan baru dapat panggilan dari pihak hospital tadi. Terus kami bergegas datang ke sini,” jawab Rosli perlahan. Bilal Karim dan Zamri berpandangan. Pelik! Takkanlah abang arwah baru dimaklumkan hari ini, sedangkan arwah sudah meninggal dunia tengah malam tadi.
“Eh, sebenarnya saya keliru. Bila bilal dan Zamri sampai? Siap bawa van jenazah pula ini,” tanya Fawaz abang sulung arwah sedikit kehairanan.
“Awal? Awal macam mana pula? tanya Bilal karim kembali sambil mengerutkan dahi.
“Iyalah, arwah baru saja meninggal dalam setengah jam tadi. Macam mana abang Karim boleh sampai lebih cepat daripada kami,” Fawaz menyambung pertanyaannya.
Bilal Karim dan Zamri saling berpandangan. Masing-masing terkedu.
“Eh, kamu berdua biar betul. Sebenarnya bila arwah meninggal,” tanya Zamri inginkan kepastian.
“Ya Allah! Arwah baru saja meninggal dunia setengah jam tadi. Lepas pihak hospital maklumkan, terus kami bergegas ke mari. Jenazah pun masih ada di wad dan belum dibawa turun lagi,” katanya. Bilal Karim dan Zamri saling berpandangan. Masing-masing terdiam dan hilang idea untuk meneruskan kata-kata.

Err… macam mana nak cakap ini ya… Sebenarnya malam tadi saya dapat panggilan dari hospital suruh datang hari ini untuk bawa jenazah arwah pulang ke kampung, tapi bila cakap macam ini saya pun tak tahu nak terangkan macam mana,” kata Bilal Karim gugup.
Mereka berempat terdiam seketika. Masing-masing berpandangan. Fawaz dan Rosli tahu Bilal Karim dan Zamri bercakap benar dan tidak menipu. Jika tidak tak mungkinlah mereka berdua berada di situ ketika ini.
Jadi, persoalan yang bermain di benak Bilal Karim kini, siapa yang menelefonnya malam tadi untuk mengambil jenazah tersebut?
