MMToon

USIK ‘RAKAN’ CUCI KAIN 3 PAGI

Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA

SEBAGAI seorang pelajar bidang sains tulen yang mementingkan bukti empirikal, Aliya (bukan nama sebenar) tidak pernah percaya pada kisah dunia mistik.

Bagaimanapun semuanya berubah apabila dia mengalami satu pengalaman ngeri yang tidak dapat dia jelaskan menerusi logik akal.

Kini bekerja sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta tempatan, Aliya menganggap kisahnya itu sebagai salah satu ‘teguran’ daripada tuhan tentang beriman dengan perkara ghaib.

Mengimbau kembali kisah yang berlaku ketika dia berusia 16 tahun, wanita berasal dari Kuala Lumpur itu mengakui dia skeptikal dengan kisah tahayul rakan-rakan di asramanya.

Aliya yang pada ketika itu menuntut ilmu di sebuah sekolah berasrama di Utara Malaysia merasakan ketaasuban pelajar-pelajar di situ terhadap hantu 3 pagi sebagai pemikiran kolot.

Oleh kerana dia berfikiran begitu, Aliya tidak pernah takut untuk pergi ke tandas seorang diri pada pukul 3 pagi walaupun tandas itu terletak di hujung asrama.

Pada satu malam, Aliya yang mahu ke tandas seperti biasa ternampak rakan asramanya, Mona (bukan nama sebenar) sedang tekun memberus baju di sinki tandas.

“Saya sempat perli Mona sebelum masuk tandas. Dia yang beria bagitahu kami semua tentang hantu 3 pagi, tapi dia yang pergi cuci baju pukul 3 pagi.

Masa itu, saya rasa mungkin dia sengaja takut-takutkan kami supaya dia boleh guna kemudahan di bilik air tanpa berebut dengan sesiapa,” jelasnya.

Sebaik dia masuk ke tandas, bunyi berus tadi menjadi semakin kuat dan laju seakan-akan rakannya itu sedang marah dengan usikannya itu.

Masih tidak berasa aneh, Aliya keluar dari tandas dengan niat untuk mengusik lagi rakannya itu.

“Waktu saya keluar tandas, muka Mona masih lagi tunduk memberus kain. Jadi tak nampak dekat cermin sinki itu.

“Saya pun pergi cuci tangan sebelah dia sambil bergurau tentang hantu 3 pagi. Saya sempat cakap bahawa rupanya dialah hantu 3 pagi sambil ketawa.

“Tapi tiba-tiba saya perasan tangannya memberus sehingga berdarah. Bila saya angkat kepala, Mona memandang ke arah saya dan wajahnya sangat buruk! ” ujarnya.

Aliya yang tergamam terus berlari masuk ke bilik asramanya dan ketika itu, jarak di antara tandas dan bilik asramanya terasa sangat jauh.


Sesampai di biliknya, Aliya yang sudah bermandi peluh segera panjat ke atas katil dan selubung dirinya dengan selimut.


Menerusi selimutnya yang nipis, Aliya nampak kelibat ‘Mona’ berjalan dari bahagian kaki si katil dua tingkatnya dan perlahan-lahan menghampiri bahagian kepalanya.

Satu badan saya seram sejuk! Saya tidur di bahagian atas katil double decker, saya tak boleh bayangkan yang ‘Mona’ ni sedang berdiri ke atau terbang di sebelah katil saya.

“Saya cuba menjerit tapi tiada suara. Jadi saya tutup mata dan menangis sepuas-puasnya. Lama juga Mona berdiri di sebelah katil saya seakan-akan dia sedang menunggu saya bangun.


“Akhirnya saya kepenatan dan sedar-sedar, sudah pagi. Anehnya tiada seorang pun kawan saya dengar saya meracau sepanjang malam itu. Tiada siapa juga sedar saya berlari masuk bilik termasuk rakan yang tidur di bawah katil saya,” ujarnya.

Mungkin memang satu pengajaran buatnya, rakan-rakan seasrama Aliya bukan sahaja tidak percaya dengan kisahnya, malah menuduhnya sengaja ingin memperli Mona yang sememangnya taasub dengan kewujudan hantu 3 pagi.

Tambah Aliya, peristiwa itu membuatkannya terpaksa memujuk ibu bapanya supaya memindahkannya kembali ke sekolah harian di Kuala Lumpur.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 2 April 2023 . Imej janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!