MMToon

‘YANG KAU LIHAT TU BUKAN MAK SU PIAH’

Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB

Sebaik sahaja turun dari bas di simpang jalan besar, Amir berjalan kaki menuju ke rumahnya. Jarak dari situ ke rumahnya tidaklah begitu jauh hanya lebih kurang 200 meter. Sebelum sampai dia juga akan melintasi beberapa buah rumah jirannya termasuklah rumah Haji Hussin, Alang Karim dan Mak Su Limah.

Ditolehnya jam di tangan. Sudah nak hampir masuk waktu Maghrib. Burung-burung pun sudah hingar-bingar berkicau berlumba untuk pulang ke sarang masing-masing. Sebaik sahaja dia melintasi rumah Mak Su Limah dilihatnya gumpalan asap hitam berkepul-kepul naik ke udara. Apa pulalah yang dibakar orang tua ini, bisik hati kecilnya.

“Dah lewat ni Mak Su, dok bakar apa lagi tu?” laung Amir sambil membetulkan beg yang digalasnya. Laa… hang ke Mir. Ingatkan siapa tadi. Ni hang baru balik ke?” tanya Mak Su Limah kembali sambil tangannya ligat mengutip ranting-ranting kayu yang bersepah di halamannya.

​Iya, Mak Su…baru saja sampai ni. Kali ini cuti semester lama sikit, jadi bolehlah saya berehat lama sikit di kampung ini,” balas Amir semula.

“Okeylah Mak Su, nanti bila-bila senang saya singgahlah. Ini pun dah gelap nak masuk Maghrib ni, nanti risau pula emak di rumah itu sebab tak saya tak sampai-sampai lagi,” kata Amir sambil meneruskan langkahnya.

Mak Su Limah tidak menoleh mahupun menyahut kata-katanya. Dia masih terbongkok-bongkok mengutip ranting-ranting kayu di halamannya. Memang begitulah sikap Amir yang sentiasa ramah dengan jiran-jiran. Walaupun sudah hampir setahun  meninggalkan kampung untuk menyambung pelajaran di sebuah universiti terkemuka di bandar, namun setiap kali cuti seboleh-bolehnya dia akan pulang ke kampung untuk menghabiskan masa bersama keluarga.

​Malam itu, selepas solat Isyak, Amir keluar untuk berjumpa rakan-rakannya di warung Pak Manap. Memang kalau balik ke kampung di situlah tempatnya melepak hingga ke pagi bersama rakan-rakannya, lagipun di warung Pak Manap ada menjual nasi lemak panas kegemarannya, kebetulan pula memang sudah lama dia mengidam.

Ketika dia mengayuh basikal melintasi rumah Mak Su Limah, dia dapat melihat dengan jelas cahaya lampu pelita minyak tanah di beranda rumah tersebut. Amir memperlahankan basikalnya dan lantas membelok masuk ke halaman rumah jirannya itu.

Kelihatan Mak Su Limah sedang duduk terhinggut-hinggut di kerusi malasnya. Memang begitulah rutinnya sejak dahulu. Di kerusi rotan itulah tempat dia sering berehat sejak kematian suaminya kira-kira lima tahun lalu.

​Mak Su dah makan belum? Saya nak pergi ke warung Pak Manap ni. Kalau Mak Su nak nasi lemak saya hantarkan kejap lagi” tanya Amir sambil memberhentikan basikalnya.

​Mak Su Limah hanya mengangkat tangan dan tersenyum. Dari jauh nampak wajahnya yang berkedut seribu dengan uban yang memutih di kepalanya. Sekali pandang memang agak menyeramkan, maklumlah usia Mak Su Limah pun sudah hampir 80 tahun.

Amir mengayuh basikalnya dan berlalu pergi. Walaupun  Mak Su Limah tidak memberi respons tentang pertanyaannya namun dia tetap berhasrat untuk membungkuskan nasi lemak buat orang tua itu. Fikirnya mungkin Mak Su Limah tidak mendengar apa yang ditanyakannya tadi.

​Sampai sahaja di kedai Pak Manap, Amir lantas menyapa rakan-rakannya yang berada di situ. Awalnya dia terfikir untuk melepak bersama mereka, namun bila teringatkan niatnya untuk membungkuskan nasi lemak buat Mak Su Piah, terus dia tukar rancangan.

​Aku nak bungkus nasi untuk Mak Su Limah ni. Lambat nanti tidur pula orang tua tu, nanti aku datang balik” kata kata Amir kepada rakan-rakannya.

​Semua rakan-rakan memandangnya dengan wajah kehairanan.

​“Apa hang cakap ni Mir?” tanya Fuad dengan muka yang berkerut.

​“Kenapa pula?” tanyanya kembali. ​

Mak Su Piah dah dekat enam bulan meninggal dunia. Rumah itu pun dah lama kosong. Tak ada siapa yang tinggal,” jelas Fuad panjang lebar.

​“Kau biar betul! Baru kejap tadi aku nampak dia duduk dekat beranda rumah,” balas Amir cuba meyakinkan rakannya.

Rakan-rakannya yang berada di warung berpandangan sesama sendiri. Mereka tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Amir ketika itu.

Lantas mereka menceritakan perkara sebenar. Kata mereka Mak Su Piah meninggal dunia waktu maghrib ketika sedang membakar sampah di halaman rumahnya.

​Amir semakin tak keruan. Tiba-tiba tubuhnya berasa seram sejuk apabila teringatkan pengalamannya dua kali bertemu Mak Su Piah hari ini.

Aku rasa yang kau lihat tu bukannya Mak Su Piah Mir, entah-entah…” Sambung Talib tanpa menghabiskan kata-katanya.

​Lantas tanpa rasa malu dia meminta pertolongan rakannya Talib untuk menghantarnya pulang menaiki motosikal, sementara basikalnya ditumpangkan sekejap di warung Pak Manap.

Dalam perjalanan pulang bersama Talib, Amir sempat berpaling melihat ke arah rumah Mak Su Limah. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat keadaan sekeliling di situ. Dalam samar cahaya bulan Amir dapat melihat dengan jelas rumah tersebut berkeadaan amat usang serta sekitarnya dipenuhi semak samun.

​Malam itu Amir tidak dapat melelapkan matanya. Ada ketikanya dia seperti terdengar-dengar seakan bunyi tapak kaki berlegar-legar di tepi biliknya. Berpeluh-peluh Amir berselubung dalam selimutnya, apatah lagi bayangan Mak Su Piah sebentar tadi masih jelas di fikirannya.

​Keesokan paginya sekali lagi dia terpaksa melintasi rumah Mak Su Piah ketika ingin mengambil basikalnya di warung Pak Manap. Kali ini Amir tidak mahu menoleh ke arah rumah tersebut.

Dia takut kalau-kalau terlihat sesuatu yang berada di luar jangkaannya. Dia mengatur langkah selaju mungkin sambil menyanyi perlahan untuk menghilangkan rasa takutnya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 4 Oktober 2020. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!