MMToon

BUJANG HINGGA KE TUA DEK TERKENA SIHIR PELALAU

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

PERKAHWINAN atau pernikahan menjadi impian kaum lelaki mahu pun wanita bujang untuk membina keluarga dengan hasrat menimang zuriat atau cahaya mata.

Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW dan para Nabi serta fitrah yang sesuai dengan naluri makhluk bernama manusia.

Mereka yang mahu terus hidup membujang jelas bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW serta mensia-siakan nikmat kurniaan Allah SWT dalam kehidupan di alam buana ini.

Sesungguhnya agama Islam melarang umatnya hidup membujang kerana ia sekali gus boleh melemahkan umat Islam.

Menurut seorang bekas jurutera dalam bidang minyak dan gas, Suzana Ismail,50,dia sebenarnya amat memahami bahawa perkahwinan akan memperkembang umat dan pengikut Nabi Muhammad SAW.

“Baginda bangga dan bergembira dengan sebab ramai umat. Namun bagi diri saya berbagai ikhtiar untuk mendapat jodoh yang berakhir di jinjang pelamin telah dilakukan.

“Siapa yang tidak mahu memiliki anak sendiri, rasa dicintai oleh insan bernama suami,” katanya ketika ditemui di Banting baru-baru ini.

Suzana yang tinggi lampai berkata, daripada aspek fizikal sudah pasti orang menganggap dia mempunyai ramai calon suami yang sesuai.

Dia yang mempunyai wajah ayu persis seorang model berkata, dia tidak pasti jodohnya yang ‘liat’ sama ada terkena sihir pelalau atau memang ditakdirkan membujang hingga ke akhir hayat.

“Saya telah bertemu bijak pandai dalam ilmu-ilmu mistik dan bertanya pihak terbabit tentang sihir penghalang perkahwinan.

“Mereka bertanya saya, adakah saya hilang keinginan atau terkunci nafsu untuk berkahwin. Selagi sihir itu ada di dalam badan saya sememangnya jodoh adalah mustahil,” katanya.

Namun jelas Suzana lagi,dia memaklumkan kepada pengamal perubatan tradisional tersebut,dia bukan menolak jodoh tetapi perlu mengambil sikap berhati-hati memilih pasangan sehidup dan semati.

Masalahnya kata Suzana, pengamal perubatan tersebut menuduhnya sombong dan jual mahal dengan lelaki kerana berwajah cantik dan bertubuh menawan.

“Setelah diberi penerangan barulah pengamal perubatan itu faham masalah saya. Sihir pelalau jelas orang itu,boleh membuat pesakit murung, tidak bermaya, pendiam dan menyendiri.

“Keadaan tersebut akan menyebabkan halangan untuk meneruskan pertunangan atau perkahwinan.

“Contohnya mangsa sihir pelalau akan menolak peminangan pihak lelaki tanpa sebab atau rombongan peminangan dihalang datang dengan berlakunya kemalangan, memutuskan tarikh pertunangan atau membatalkan perkahwinan walaupun telah dipersetujui terlebih dahulu,”jelasnya.

Mengimbas sejarah hidupnya, Suzana yang sudah beberapa kali hampir bernikah berkata, pengalaman bercinta pada fasa yang serius untuk kali pertama adalah semasa belajar di sebuah universiti selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ceritanya lagi, dia dan teman lelaki sememangnya seperti belangkas, ke sana sini berdua bak merpati dua sejoli.

“Biasalah dalam alam percintaan, pasti ada berselisih faham dan merajuk.

“Cuma berlaku satu peristiwa yang menyebabkan saya dan teman lelaki berpisah ketika tahun akhir kami di universiti. Dia cemburukan saya yang baik dengan pelajar warga asing yang lebih kacak daripada dirinya,” ujarnya.

Perpisahan tersebut jelas Suzana tidak pula memberi kesan kepada pelajaran mereka, cuma kawan-kawan cuba membantu untuk hubungan mereka dipulihkan tetapi bekas teman lelakinya enggan berbaik semula.

Selepas tamat belajar Suzana berkata, dia berkawan pula dengan seorang jurutera, namun hubungan tersebut turut berakhir selepas tiga tahun atas sebab yang cukup remeh.

“Kami putus kasih kerana saya lupa tarikh hari lahirnya. Jenuh saya memujuknya dengan menghantar kad dan hadiah.

“Ketika itu umur saya sudah mencecah awal 30an. Ibu bapa di kampung pula sering bertanya bila saya hendak berkahwin,”jelasnya.

Ibunya jelas Suzana, saban hari menasihati dirinya untuk tidak memilih jodoh dan berkahwin dengan lelaki yang difikirkan sesuai.

Nasihat ibunya ujar Suzana, menyebabkan dia tertekan dan perlu mendapat rawatan pakar psikologi dan diarahkan makan ubat mengikut jadual.

“Beberapa tahun saya kemurungan dan enggan menjalin sebarang hubungan dengan mana-mana lelaki.

“Saya sentiasa bermimpi melihat makhluk yang menakutkan setiap malam hingga memberi kesan kepada prestasi kerja di pelantar minyak,”jelasnya.

Ujarnya lagi, akibat masalah yang bertali temali dia nekad pulang ke kampung di selatan dan berubat.

Masalah jiwa yang menghantui dirinya jelas Suzana, mengikut seorang tua yang ada hubungan dengan keluarganya adalah disebabkan sihir pelalau akibat sikap iri hati manusia, yang mana ia adalah sihir yang berbentuk ikatan, simpulan ataupun cengkaman dalam diri mangsa.

Atuk tua itu berkata, selagi sihir tersebut tidak dirungkaikan, saya akan sentiasa dibelenggu oleh keadaan itu.

“Sihir jenis ini menggunakan bahan-bahan yang dipuja dan diletakkan di persekitaran rumah atau pun ditanam. Rawatan sihir ini memerlukan makhluk yang menjadi ejen perlaksanaan sihir yang merupakan jin-jin yang jahat dihapuskan,” ujarnya.

Walaupun sudah berubat beberapa tahun lalu Suzana menegaskan, sihir pelalau tersebut seakan masih meninggalkan bekas di dalam dirinya.

Jodoh katanya, seakan berakhir dengan pernikahan tetapi ada sahaja masalah yang mendatang tanpa mengira waktu.

“Beberapa tahun lepas saya telah bertunang dengan seorang lelaki yang juga bujang terlajak. Kami telah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan.

“Tiba-tiba beberapa hari sebelum tarikh pernikahan dia membatalkan pernikahan kami atas sebab yang remeh juga. Hatinya menjadi tawar untuk menjadi suami saya,”katanya.

Sejak itu jelas Suzana, hatinya telah tertutup untuk bernikah dan menjadi isteri orang.

Biarlah dirinya kata Suzana, menumpang kasih dengan anak-anak abang dan adik-adiknya.

Kadang-kadang persepsi orang, wanita cantik dan berkerjaya sudah pasti bertemu jodoh dengah jejaka tampan dan kaya-raya.

“Namun bagi saya memiliki kerjaya, harta dan rupa bukanlah semudah yang disangka untuk menemui jodoh atau “Mr.Right”. Cuma apa yang menyedihkan saya, sikap manusia yang sanggup melakukan perkara syirik demi menghalang jodoh seseorang. Amat menyedihkan,”jelasnya mengakhiri pertemuan.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. – Ilustrasi janaan AI

 

 

 

 

 

 

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!