
Oleh Roshihan Annuar Yub
Melalui seorang kenalannya, Datuk Harun akhirnya berjaya menemui seorang dukun dari negara seberang yang tinggal di daerah berdekatan. Terus dia menceritakan tujuan kedatangannya, malah dia juga berharap agar dukun yang dipanggil Wak Jono itu mampu menyelesaikan masalah yang dihadapinya ketika itu.
Hasil tilikannya, Wak Jono memberitahu, yang dia tidak dapat membantu dan memenuhi permintaan Datuk Harun. Katanya, ilmu yang digunakan pesaingnya ketika ini cukup ampuh dan sukar untuk ditandingi. Wak Jono sendiri akui dia tidak mampu menyaingi lawannya.

Ilmu yang digunakan oleh musuh kamu bukannya calang-calang. Aku tidak mampu mahu lawan! Mungkin tuan boleh cari bomoh lain yang lebih hebat, sebab kalau aku lawan juga nanti kesannya akan berbalik kepada aku semula,” kata Wak Jono panjang lebar.
Datuk Harun pulang dengan perasaan hampa. Niatnya untuk membalas dendam terkubur. Kini dia perlu cari jalan lain kerana selagi perkara ini tertangguh selagi itulah perniagaannya akan terkesan.

Di waktu sama, Sani dan Seman pergi ke Songkhla untuk bertemu dengan bomoh yang membuat tangkalnya sebelum ini. Seperti yang dirancangnya, Sani tanpa berlapik memberitahu bomoh tersebut yang mana dia perlukan sesuatu yang hebat dan luar biasa untuk melindungi diri dan perniagaannya ketika ini.
Apa yang diminta boleh sahaja dikotakan, tetapi banyak syarat yang perlu dipatuhinya. Sani tidak kisah semua itu, janji apa yang dihajati boleh menjadi kenyataan.

Sebulan kemudian, Datuk Harun diberitakan pengsan tiba-tiba di pejabatnya sebelum dikejarkan ke hospital. Setelah menjalani pelbagai prosedur rawatan, doktor mengesahkan yang Datuk Harun tidak mengalami sebarang penyakit kronik, apa yang berlaku mungkin berpunca disebabkan keletihan dan tekanan kerja yang dihadapinya.
Datuk Harun kemudiannya dibawa pulang berehat di rumah. Namun ketika di rumah lain pula yang berlaku. Datuk Harun mula dihantui oleh perkara-perkara pelik yang menyeramkan.

Ada ketikanya dia mengadu ternampak makhluk-makhluk menakutkan di bilik tidurnya sehinggakan beberapa kali dia meracau dan menjerit seperti orang hilang ingatan.
Isterinya, Datin Maimun mula rasa ada sesuatu yang tidak kena, lantas dia memanggil seorang ustaz ke rumahnya untuk merawat suaminya.

Suami datin ini kena sihir. Kuat sihirnya, silap hari bulan boleh hilang nyawa,” kata Ustaz Faruk kepada Datin Maimun.
Terkejut Datin Maimun mendengarnya. Dia seakan tidak percaya dengan yang didengarnya ketika itu.
“Kenapa pula ada orang hendak sihir suami saya ustaz? Setahu saya suami saya tak pernah bermusuh dengan sesiapa, malah dia pun tak pernah sakitkan hati orang lain,” kata Datin Maimun keliru.

Ustaz Faruk terdiam sambil tersenyum.
“Saya pun tidak pasti apa yang jadi. Seeloknya apabila datuk sudah pulih nanti, datin tanyalah dia. Mungkin ada sesuatu yang dia sembunyikan daripada pengetahuan datin.”
Ustaz Faruk juga berpesan agar sentiasa mengawasi kediamannya, dan jika ada sebarang perkara yang mencurigakan segeralah hubunginya.

Ini saya ada bekalkan air yang sudah saya bacakan dengan ayat-ayat suci al-Quran, masa datin beri dia minum nanti, sapulah sedikit di ubun-ubunnya, Insya-Allah mudah-mudahan tiada lagi anasir-anasir jahat yang mengganggunya,” kata Ustaz Faruk panjang lebar.
Hampir seminggu berlalu kesihatan Datuk Harun beransur pulih. Ketika itulah Datin Maimun bertanyakan apa yang terjadi sebenarnya.
Pada mulanya, Datuk Harun agak keberatan untuk menceritakan apa yang berlaku, namun setelah didesak barulah dia membuka mulut.
“Jadi, abang pun ada guna tangkal jugalah ye?” tanya isterinya sedikit menyinga.

Datuk Harun menggelengkan kepala.
Katanya, memang dia bercadang untuk cari bomoh sebagai tindak balas atas apa yang berlaku, tetapi dia tidak sempat untuk berbuat demikian.

Abang jangan buat benda-benda syirik dan khurafat ini. Kalau hendak berniaga carilah jalan yang betul dan halal. Jangan buat perkara yang dimurkai Allah.” nasihat Datin Maimun.
Dengan pertolongan Ustaz Faruk, kesihatan Datuk Harun semakin hari bertambah baik, malah Ustaz Faruk juga mula membantu memulihkan kembali perniagaannya yang semakin merosot.

Sani pula mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan perniagaannya ketika ini. Jika dahulu dia sering membolot pelbagai projek dan tender, tetapi kini berbeza. Dia sendiri pelik dengan yang berlaku. Seolah-olah tangkal dan azimat yang dipakainya tidak lagi mujarab seperti dahulu.
“Seman, aku rasa bomoh yang kita jumpa ini kurang powerlah, apa kata kalau kita cari bomoh Siam lain.”

Aku perasan sekarang ini banyak projek baru yang Datuk Harun dapat, mungkin dia pun pakai bomoh agaknya,” kata Sani ketika minum bersama Seman petang itu.
Seman sekadar menghela nafas Panjang.

Beb, aku rasa apa yang kau dapat selama ini pun sudah cukup banyak, malah banyak lagi projek yang kau dapat sebelum ini belum jalan lagi. Sabar beb! Jangan tamak sangat. Risau pula aku tengok kau ini.”
“Kau kena ingat segala janji dan pantang larang yang bomoh Siam itu beritahu kita tempoh hari! Aku takut nanti kau kena tempiasnya,” kata Seman menasihati.
Bersambung…
