Baru-baru ini saya berjumpa dengan seorang rakan lama, seorang penulis cerita-cerita seram di sebuah majalah popular satu ketika dahulu. Di sebabkan sudah lama tidak berjumpa pelbagai kisah kami bualkan terutamanya pengalaman lama ketika sama-sama bertugas di bawah satu bumbung sebelum ini.
Sedang rancak bercerita, tiba-tiba dia bertanya kepada saya, “Eh, kau ingat lagi tak kisah seram masa kita pergi assignment di Kedah dahulu? Saya garu kepala cuba mengingati. Terus dia ingatkan saya kembali satu persatu. Lokasi, watak dan beberapa orang yang kami interview. Akhirnya barulah teringat.
Saya tersengih sambil angguk kepala. Sebenarnya kisah tersebut memang ingin kami siarkan tetapi di saat akhir terpaksa dibatalkan kerana ada antara waris arwah yang tidak mahu cerita itu disensasikan.
Namun kali ini setelah hampir 10 tahun saya ambil keputusan untuk siarkan cerita tersebut dengan mengubah beberapa watak dan nama kampung terlibat, namun jalan cerita dan kronologinya tetap sama tanpa diubah. Begini ceritanya…
Haji Dolah merupakan seorang bomoh yang cukup terkenal di Kampung Berembang. Namun kematiannya secara mengejut minggu lalu menjadi buah mulut orang kampung. Pelbagai cerita kurang enak mula kedengaran sehinggakan ada yang sanggup menokok tambah untuk menyedapkan lagi skrip cerita.
Haji Dolah meninggal dunia sebaik selesai merawat pesakitnya. Dia tiba-tiba menggelupur seperti ayam kena sembelih sebelum rebah tidak bernyawa. Matanya terbeliak serta lidahnya terjelir panjang, mungkin terasa azabnya ketika dijemput sakaratulmaut.
Ketika hayatnya Haji Dolah memang cukup dikenali sebagai bomoh yang mampu merawat pelbagai penyakit Namun cara dia mengubat pesakit amatlah diragui. Dia langsung tidak menggunakan ayat-ayat suci al-Quran tetapi lebih kepada membaca mantera seakan menyeru makhluk ghaib yang tidak diketahui hujung pangkalnya.
Menurut orang kampung dia merawat pesakit menggunakan ilmu sihir dan hantu raya. Entah betul atau tidak, wallahualam, yang pasti pelanggannya cukup ramai sehinggakan rumahnya sentiasa dipenuhi orang yang datang berubat.
Cerita Haji Dolah ada ‘membela’ sudah menjadi buah mulut. Ramai yang menjadi saksi kononnya pernah terserempak dengannya di dua tempat berbeza dalam satu masa. Namun bila ditegur dia tidak menjawab, hanya merenung dengan pandangan tajam.
Haji Dolah memang tidak suka bercampur dengan masyarakat. Kalau ada kenduri kendara atau sebarang majlis di kampung dia memang tidak pernah menghadirkan diri. Nasib baiklah isterinya, Mek Som jenis yang suka bercampur dan bergaul dengan masyarakat, kalau tidak pasti mereka dipulaukan oleh orang kampung.
Selepas seminggu arwah dikebumikan mula timbul pelbagai cerita yang kurang enak. Ramai orang kampung mendakwa terserempak dengan jelmaan Haji Dolah di waktu tengah malam terutamanya yang melintasi kawasan rumahnya.
Walaupun rumahnya sudah kosong tanpa penghuni, namun boleh dikatakan setiap malam pasti nampak cahaya pelita menerangi biliknya. Isterinya awal-awal lagi sudah pindah ke rumah kakaknya di kampung seberang
Bila ditanya, kata Mek Som, dia sudah tidak sanggup lagi tinggal seorang diri kerana sering diganggu dengan pelbagai kejadian aneh dan pelik. Pernah dia beritahu dengan salah seorang saudaranya yang dia tidak mungkin akan balik ke rumah tersebut melainkan jika keadaan sudah pulih dan tiada lagi sebarang gangguan yang menakutkan.
Pagi itu di warung Pak Samad cerita tentang Haji Dolah terus menjadi topik perbualan. “Betul beb, aku tak tipu kau! Malam semalam masa lalu di depan rumah dia aku nampak ada lembaga dekat pangkin rumah tu.
“Bila aku pandang betul-betul sah! Memang hantu Pak Dolah! Kata Hussin sambil menghirup kopi di cawannya. Rakan-rakannya yang mendengar sekadar melopong tanpa sepatah kata. Jika benar apa yang dikatakan oleh Hussin itu maka sahihlah apa yang dikatakan oleh orang kampung selama ini kononnya hantu raya Haji Dolah pulang ke rumah.

Mukanya Ya Allah… seram beb. Macam terbakar hangus,” sambung Hussin sambil menjengilkan matanya.”
Cerita Hussin disokong pula oleh rakannya Talib yang katanya pernah terserempak dengan jelmaan Haji Dollah ketika pulang memancing. Kata Talib waktu dia lalu di simpang rumah arwah dia terdengar ada suara orang sedang terbatuk kecil.
Apa lagi, terus dia perlahankan motosikal, takut kalau-kalau terlanggar pula di dalam gelap.
Namun sebaik sahaja lampu motosikalnya menyuluh ke hadapan tiba-tiba darahnya tersirap, jantungnya berdegup kencang. Sah, sosok yang berada di hadapannya ketika itu ialah jelmaan Haji Dolah. Mukanya hitam seperti hangus terbakar, baunya pula busuk seperti bangkai.
Apa lagi, tanpa buang masa terus Talib pecut motosikalnya sehinggakan segala lopak dan bonggol diredahnya.
Bukan itu sahaja, habis juga pokok-pokok ubi yang ditanam di pinggir jalan dilanggarnya.

Tetapi bukan semua pula yang percaya dengan cerita-cerita sebegitu. Misalnya, Ishak anak Siak Manan, dia langsung tidak percaya dengan cerita mistik begitu, Baginya apa yang diperkatakan mereka hanyalah cerita dongeng yang sengaja direka-reka untuk menakutkan penduduk kampung.”
“Kamu semua ini banyak sangat layan cerita hantu, sebab itulah percaya sangat dengan benda-benda karut marut macam ini, zaman moden mana ada hantu. kamulah yang jadi hantu adalah,”katanya tertawa.
Kawan-kawannya yang mendengar sekadar mencebikkan bibir menyinga. Timbul juga rasa geram kerana apa yang diperkatakan dianggap rekaan. Dalam hati masing-masing mendoakan agar Ishak ‘jumpa’ sendiri jelmaan tersebut. Biar padan dengan mukanya.
Apa yang mereka harapkan akhirnya jadi kenyataan. Malam berikutnya ketika Ishak pulang dari pekan dia tercium bau yang amat busuk seakan bau bangkai ketika melewati simpang di rumah Haji Dolah. Ketika matanya liar melihat sekeliling, ketika itulah dia tergamam apabila terlihat satu lembaga seakan pocong berdiri di bawah pohon ara berdekatan.
Tanpa fikir panjang Ishak memecut motosikalnya, tapi nasibnya tidak baik apabila dia terbabas ke dalam parit. Keesokkannya Ishak demam meracau sehingga terpaksa panggil Imam Kadir memulihkannya.
“Aku dah kata hari tu tapi kau tak percaya… tengok sekarang apa jadi pada kau? Kau percaya cakap aku kan?,” Tanya Talib sambil tertawa mengekek. Rakan-rakan lain yang berada di situ turut ketawa bersama.
Cerita hantu Haji Dolah semakin tersebar sehinggakan sudah ramai yang tidak berani keluar malam. Warung Pak Samad dan kedai runcit Ah Leng yang sebelum ini menjadi tempat anak muda melepak sehingga larut malam sudah ditutup seawal Maghrib. Orang kampung sudah tidak berani keluar malam lagi gara-gara takut terserempak dengan hantu Haji Dollah.
Kata orang, hantu raya belaan Haji Dolah ingin mencari tuan baru. Walaupun susah untuk dipercayai, namun ada sahihnya kerana isteri arwah sendiri pernah bercerita tentang hal tersebut kepada beberapa saudara dekatnya.
Kebetulan arwah pula memang tidak dikurniakan anak untuk mewarisi ilmu yang ditintutnya, Mek Som pula awal-awal lagi sudah tidak berminat apatah lagi hendak mengambil alih belaan arwah, dia pula orang yang kuat sembahyang, berbeza dengan sikap suaminya yang tidak pernah menjejakkan kaki ke surau ataupun masjid.
Pernah juga beberapa bomoh dan ustaz datang untuk memulihkan keadaan di kampung tersebut namun redanya cuma sekejap sahaja, kemudian cerita yang sama berulang kembali.
“Entahlah, nampaknya kena cari bomoh yang betul-betul handal untuk pulihkan kampung ni, sekejap je redanya, lepas itu jadi balik,” kata Pawang Salim kepada beberapa penduduk kampung.
“Aku rasa kamu semua kena tebang pokok ara di depan rumahnya. Dekat situlah tempat hantunya merayau waktu malam,” sambungnya lagi.

Sekarang ini kebun Haji Dolah yang terletak di belakang rumahnya sudah dipenuhi lalang dan semak samun. Penduduk kampung yang kebetulan punya kebun berdekatan dengan tanahnya sudah tidak berani ke sana, bila ditanya mereka hanya menjawab takut terserempak dengan hantu Haji Dolah.”
Ketua Kampung Berembang, Haji Salam sudah pening kepala. Setiap hari ada sahaja yang mengadu kepadanya tentang hantu Haji Dolah. Dia sudah hilang idea, sebelum ini sudah beberapa bomoh dan ustaz dipanggilnya namun masih tiada beza.
“Tak apalah, nanti aku cuba ikhtiar lain. Aku cuba cari mana-mana ustaz yang handal untuk pulihkan kampung ni. Itulah dulu masa arwah hidup bukan main kamu semua sanjung, siap cakap arwahlah bomoh yang paling handal tiada tandingan, bila jadi macam ini semua masalah tuju dekat aku,” katanya memulangkan paku buah keras kepada beberapa penduduk yang sedang bersarapan di warung Pak Samad pagi itu.
Semua yang ada di situ tertawa kecil melihat telatah Haji Salim yang seakan mati idea.
“Iyelah tok, masa dia hidup siapa yang berani sangkal dia. Nanti kalau kita mengata, dia dapat tahu, habislah! Tak pasal-pasal dia hantar hantunya ke rumah kita,” jawab Hussin tersengih. Menyingga Haji Salam mendengar jawapan anak buahnya.
Petang itu Ishak dan rakan-rakannya melepak sambil berbual kosong. di pangkin rumahnya. Ketika itulah Talib memberi cadangan agar mereka mencuri masuk ke rumah arwah Haji Dolah untuk menyiasat apa yang ada di situ.

Aku dengar bininya sendiri pun dia tak benarkan masuk dalam biliknya itu, apa kata kita siasat manalah tahu ada benda pelik ke dalam tu,” katanya bersungguh-sungguh.”
Rakan-rakannya mengerutkan dahi tidak menyangka sejauh itu difikirkan Talib.
“Kau dah gila? Orang kalau boleh langsung tak nak lalu depan rumah arwah, ini kau pula ajak kita curi masuk. Kau dah hilang akal apa? Jawab Shukor memandang Talib atas bawah.
“Eh, kita masuk waktu sianglah, lagipun mana ada hantu keluar waktu siang. Kita bukan nak mencuri, tapi nak siasat saja,” jawab Talib bersahaja.
Rakan-rakannya terdiam. Walaupun idea tersebut seakan tidak masuk akal, tetapi ada juga benarnya. Namun masing-masing tidak berani menyokong, mereka sekadar diam untuk mendengar idea seterusnya daripada Talib.
Lantas Talib memberi idea kepada rakan-rakannya. Masing-masing mengangguk faham walaupun dalam hati tersimpan perasaan takut dan cuak.
Seperti tarikh yang dijanjikan mereka akhirnya mencuri masuk ke rumah Haji Dolah. Tempat pertama yang mereka tuju adalah bilik Haji Dolah merawat pesakitnya.
“Fuhh, seram juga keadaan rumah ini,” kata Ishak sambil matanya liar memandang sekeliling.
Rakan-rakan lain terus memandangnya dengan raut tidak puas hati.“Kau boleh jaga sikit tak mulut tu! Cakap jangan main lepas,” kata Talib menyinga.
Ishak tersengih kelat sambil menganggukkan kepala. Sebaik sampai di hadapan pintu bilik Haji Dolah, Talib lantas membukanya. Nasib mereka baik kerana bilik tersebut tidak berkunci.
Namun sebaik melangkah masuk mereka berempat tergamam seakan tidak percaya dengan apa yang dilihat ketika itu.
Di atas meja kecil hadapan mereka kelihatan beberapa barang lama seperti keris, mangkuk tembaga serta beberapa gulung kain berwarna kuning.

Di dinding pula tergantung beberapa patung kecil yang diukir seperti wajah manusia. Shukor lantas mencabut sebuah patung yang terlekat di dinding. Dia membelek-belek ukiran tersebut dengan wajah berkerut, Dia tertanya-dalam hati apa kaitannya patung tersebut dengan ilmu perubatan yang dimiliki Haji Dolah.”
“Kalau tak silap aku patung-patung macam ini biasanya orang buat benda yang tak baik. Macam kita nak kenakan seseorang,” kata Talib sambil mengurut janggutnya.
Mereka berpandangan. Memang ada benarnya kata Talib itu kerana sebelum ini mereka pernah menonton cerita-cerita seram dari seberang yang menggunakan peralatan sebegitu. “Eh dah, jom kita balik. Lagi lama kita di sini lagi seram aku dibuatnya,” kata Ishak perlahan.
Mereka sepakat meninggalkan rumah Haji Dolah, sepanjang perjalanan masing-masing diam membatu tanpa sepatah kata. Fikiran masih lagi merewang teringatkan apa yang berlaku sebentar tadi.
Keesokkannya kampung Berembang dikejutkan dengan berita yang menggemparkan. Talib dan rakan-rakannya serentak diserang demam panas sambil meracau-racau. Seperti biasa khidmat Pawang Salim diperlukan apabila berlakunya situasi seperti ini.
Yang peliknya kesemua mereka meracau dengan bertutur dalam bahasa yang sukar difahami.
“Aku rasa budak-budak ni ada buat perkara yang salah,” kata Pawang Salim ketika minum di warung petang itu.
Semua yang ada di situ memandang Pawang Salim dengan hati yang berteka teki. Masing-masing ingin tahu apa yang berlaku sebenarnya.
“Tak apa, kita tunggu sehingga budak-budak itu sembuh. Nanti kita tanya apa yang mereka sudah buat sebelum ini, insya-Allah sehari dua ini pulihlah tu,” sambungnya sebelum beredar.

Memang masin mulut Pawang Salim. Dua hari kemudian Talib dan rakan-rakannya kembali sembuh seperti sediakala. Terus Pawang Salim bertanya tentang apa yang berlaku. Dengan rasa terpaksa mereka menceritakan kisah sebenar.”
“Selagi kita tak musnahkan dan buang semua barang-barang Haji Dolah, selagi itulah jelmaannya akan mengganggu penduduk kampung.
Tak apa, nanti aku suruh Tok Ketua hubungi isteri arwah, minta kebenaran untuk buang semua benda-benda itu,” tegas Pawang Salim dengan wajah serius.
Dua hari kemudian beberapa penduduk kampung pergi ke rumah Haji Dolah untuk ‘membersihkan’ apa yang sepatutnya. Alhamdulillah, isteri arwah memberi kerjasama penuh. Segala barang-barang perubatannya dikumpul sebelum dimasukkan ke dalam sebuah guni.
“Barang-barang ini tok hendak buang di mana? Tanya Talib ketika ingin beredar. Pawang Salim sekadar tersenyum.
“Barang-barang ini aku kena buang ke tengah laut, dan pastikan tiada siapa yang jumpa, sebab kalau barang-barang ni mendarat semula di daratan pasti gangguan macam dulu akan berulang lagi di kampung ini,” sambungnya sebelum menghidupkan enjin motosikal.

Memang benar, sejak rumah Haji Dolah ‘dibersihkan’, Kampung Berembang kembali aman. Tiada lagi kedengaran cerita-cerita tentang jelmaan Haji Dolah, namun ketenangan tersebut hanya mampu bertahan beberapa bulan sahaja kerana selepas itu timbul pula cerita lain.”
“Betul beb, aku ingat semua dah okey, dah aman macam biasa, tiba-tiba malam tadi bila aku lalu depan rumah Haji Dolah aku nampak lampu rumahnya terpasang. Aku ingatkan bininya dah balik, bila aku perlahankan motosikal dan tinjau, tiba-tiba aku nampak Haji Dolah tengah berdiri dekat pangkin rumahnya. Terkejut aku beb, terus aku pecut,” kata Seman kepada Talib dan rakan-rakannya.
“Eh, kau biar betul, takkanlah hantu Haji Dolah muncul balik?” Soal Talib inginkan kepastian. Menyinga Seman apabila Talib tidak percaya dengan ceritanya.
“Beb, aku ini bukan baru sehari dua tinggal di kampung ini, sudah berpuluh tahun! Takkanlah aku tidak kenal rupa Haji Dolah itu macam mana,” sambung Seman lagi.
Mereka semua terdiam. Benar juga apa yang dikatakan oleh Seman itu. Tak mungkin dia tidak mengenali arwah Haji Dolah, sedangkan memang dia membesar di kampung tersebut.
“Pelik juga! Kalau ikutkan apa yang dikatakan oleh Pawang Salim tempoh hari kalau barang-barang itu sudah buang ke tengah laut, mesti jelmaan Haji Dolah itu tak kan muncul lagi, tapi macam mana pula tiba-tiba jadi balik ini?” Soal Isham mengerutkan dahi.

Pelbagai persoalan bermain di minda masing-masing, jika betul barang-barang tersebut dihanyutkan ke laut tidak mungkin pula boleh kembali semula di pantai. Lagipun sekarang ini musim air pasang besar ke pulau berdekatan, tidak mungkin boleh sampai ke kampung mereka.”
Ketika itulah tiba-tiba Talib terfikir tentang Pawang Salim. Entah-entah Pawang Salim hanya auta dengan mereka kononnya hendak buang barang-barang tersebut ke laut tapi hakikatnya dia masih lagi simpan, maklumlah barang-barang tu semua ada ‘harganya’.
Seperkara lagi sejak akhir-akhir ini jarang sangat nampak kelibat Pawang Salim berbanding sebelum ini. Jika dahulu boleh dikatakan setiap masa dia ada menempek di warung Pak Samad, tetapi kini tidak lagi. Hendak jumpa bayangnya pun agak susah.
“Aku syak macam ada sesuatu yang tidak kenalah,” kata Talib perlahan. Rakan-rakannya yang berada di situ memandangnya dengan penuh kehairanan.

Tak kena macam mana pula? Tanya Hisham mengerutkan dahi.
Talib menghela nafas perlahan. Dia mengusap -usap janggut sambil memandang sekeliling.”
“Aku rasa Pawang Salim ni ‘game’ kita agaknya. Bila jadi macam ini aku tak rasa dia sudah buang semua barang Haji Dolah itu dulu, mungkin dia simpan atau dia buat yang ‘bukan-bukan,” kata Talib perlahan.
Rakan-rakan lain yang berada di situ menganggukkan kepala, seakan bersetuju dengan apa yang dikatakan Talib.
“Tak apa, malam nanti kalau kita jumpa Pawang Salim kita tanya dia. Biasanya lepas Maghrib dia akan datang minum di warung. Kita dengar apa jawapan dia nanti,” sampuk Seman.
Benar telahan mereka. Malam itu sebaik sahaja habis waktu Isyak, Pawang Salim sudah terpacak di warung Pak Samad. Talib dan rakan-rakannya yang baru sahaja sampai terus menyapa sebelum duduk bersama.

Lama tak nampak Pak Salim sekarang, sibuk sangat ke? Tanya Talib memulakan perbualan.”
Pawang Salim hanya tersengih. Terus dia menceritakan perkara sebenar kononnya dia sekarang sibuk menguruskan kebun sawit kepunyaannya di samping merawat pesakit yang ramai datang ke rumahnya.
Hampir setengah jam juga mereka berbual kosong sebelum Talib membuka topik yang menjadi pertanyaannya selama ini.
“Tok, saya hendak tanya ini, barang-barang perubatan yang kita ambil dari rumah Haji Dolah dulu itu, tok sudah buang ke? Tanya Talib perlahan.
Hampir hendak tersembur air minuman dari mulut Pawang salim sebaik mendengar pertanyaan Talib. Dia memandang keliling sambil menarik nafas perlahan.
“Errr.. aku belum buang lagi, aku fikir baik aku simpan dahulu barang-barang itu sebab banyak gunanya,” jawabnya perlahan.
Terkejut Talib dan rakan-rakannya sebaik sahaja mendengar jawapan Pawang Salim.
“Habis itu macam mana? Kalau tok tak buang confirm hantu Haji Dolah itu akan merayau lagi di kampung ini. Kelmarin pun si Seman sudah ‘terjumpa’ hantu itu waktu dia lalu di jalan depan rumah Haji Dolah,” kata Talib menyinga.
Pawang Salim hanya tersenyum kelat. “Alah, tak payah kecoh-kecoh. Perkara ni biar aku handle. Tahulah aku hendak uruskan macam mana,” katanya sebelum meminta diri untuk beredar.
Talib dan rakan-rakannya terlopong seraya memandang ke arah Pawang Salim yang sedang menghidupkan enjin motosikalnya.
Masing-masing kelu untuk meneruskan kata-kata, namun dalam hati mereka sudah terfikir dan tahu yang jelmaan ini akan terus menghantui penduduk kampung, malah sekali gus Jelmaan Haji Dolah sudah berjaya mendapat tuan barunya.

Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 4 Mei 2025. Imej jannan AI
