MMToon

DI MANA PULA LETAKNYA KEDAI MAKAN ITU?

Oleh Roshihan Annuar Yub

“Mana kedai makan yang abah cakap tu? Tak jumpa pun?” tanya Zira sambil menoleh ke arah bapanya yang sedang khusyuk memandu.

Azman hanya tersengih. Sesekali dia mengerling ke arah isterinya yang berada di sebelah. Sabar, sekejap lagi kita sampailah, jawab Azman perlahan sambil bola matanya melilau memandang ke luar tingkap.

Pelik juga, bisiknya dalam hati. Di mana pula letaknya warung yang selalu dia singgah sebelum ini. Tak mungkin salah lokasi. Seingatnya memang pokok ketapang besar di tepi jalan itulah tempat dia sering meletakkan kenderaan.

Puas Azman melilau pandang sekeliling namun masih tak kelihatan bayang warung yang dimaksudkan. Isteri dan dua anaknya sudah mengomel lapar dalam kereta.

Sudah dua kali abang pusing jalan ini tapi warung yang abang cakap itu langsung tak jumpa. Kita berhentilah makan dekat mana-mana, saya dengan anak-anak pun lapar ni,” kata isterinya Zimah.

Azman akhirnya akur dengan saranan isterinya walau dihatinya masih terdetik rasa tidak puas hati. Dia masih berfikir lokasi warung yang selalu disinggahnya sebelum ini. Jika sudah roboh pasti ada kesan atau saki baki runtuhan, tapi ini langsung tidak nampak bayang, hanya semak samun sepanjang jalan.

Betul Mah, abang ingat lagi memang warung itu ada dekat pokok ketapang tadi. Takkanlah abang tak ingat pula. Kalau sekali dua singgah tu lainlah, ini sudah berkali-kali,” kata Azman lagi. Isterinya hanya mencebik meragui jawapan Azman.

“Abang tu singgah waktu malam, ini waktu siang, kan ada beza tu! Entah jalan mana yang abang lalu agaknya,” ngomel Zimah lagi. Azman tidak menjawab, otaknya masih ligat mencari jawapan.

Akhirnya mereka ambil keputusan berhenti menjamu selera di sebuah warung berhampiran susur masuk ke lebuh raya. Remang senja sudah beransur gelap. Azman toleh jam di tangan, sudah hampir pukul 7.30 malam. Sayup-sayup azan Maghrib berkumandang dari surau berdekatan.

Sementara menunggu hidangan sampai, Azman merokok sebentar berdekatan kenderaannya. Dipandangnya ke arah langit, sudah gelap pekat. Rasa tidak puas hati masih bersarang di benaknya.

Dia lantas mengimbau apa yang berlaku sebelum ini terutamanya ketika ditugaskan di utara sempadan tanah air. Waktu itu syarikat keselamatan tempatnya bekerja meminta dia untuk melatih pekerja baharu di zon tersebut selama lima bulan, jadi terpaksalah dia berulang alik pada setiap hujung minggu dari tempat kerja ke Kuala Lumpur.

Kebiasaannya dia akan bertolak pulang pada petang Jumaat dan bertolak semula ke tempat kerja pada petang Ahad berikutnya. Walaupun letih tetapi itulah sahaja masa yang ada untuk diisi bersama keluarga.

Dan setiap kali pulang dia akan berhenti menjamu selera di warung berdekatan pohon ketapang tersebut. Walaupun lewat malam, namun warung tersebut tetap beroperasi sehinggakan dia sudah mengenali tuan warung di situ.

Sedang dia mengelamun itu tiba-tiba muncul seorang lelaki separuh abad dari arah belakang kedai sedang menjinjit plastik yang dipenuhi sampah. Sempat dia melemparkan senyuman ke arah Azman yang ketika itu sedang memandangnya.

Datang dari mana tuan?” Tanyanya sebaik meng­hampiri Azman. Azman tersentak seraya mem­berikan senyuman.

“Saya dengan keluarga baru balik dari rumah sewa di sempadan. Sebelum ini saya bertugas di situ dekat lima bulan. Jadi, minggu lepas sudah tamat tugas, sengaja saya ajak isteri ambil saki baki barang yang masih ada di situ,” kata Azman panjang lebar. Lelaki tersebut tersengih sambil mengangguk perlahan, seakan faham apa yang disampaikan Azman.

Jadi, bila sering ulang alik tu selalu juga saya singgah berhenti makan di kawasan ini,” kata Azman tersengih. Sekali lagi lelaki tua tersebut mengangguk sambil tersenyum.

“Eh, lupa pula saya hendak tanya pakcik. Sebelum ini pernah juga saya berhenti makan kat warung dekat pokok ketapang tepi jalan besar tu.”

Tup-tup hari ni bila saya bawa bini dan anak-anak lalu tak nampak pulak warungnya. Puas saya pusing tapi tak jumpa. Mereka dah pindah ke?” tanya Azman lagi. Lelaki tua tersebut terdiam. Nampak dahinya berkerut seakan memikirkan sesuatu.

“Maksud tuan warung dekat pokok ketapang tepi jalan besar itu?” tanyanya kembali seakan inginkan kepastian. Azman mengangguk perlahan.

Dah dua kali saya pusing kereta cari, tapi tidak jumpa pula. Tak pasal-pasal isteri saya ingat saya tipu dia. Kalau hendak katakan saya silap tak mungkin pula. Bukannya sekali dua saya singgah, tapi dah berkali-kali,” kata Azman lagi.

“Err.., pak cik hendak cakap terus terang pun rasa serba salah. Tapi macam inilah tuan, sebenarnya warung yang tuan maksudkan itu sudah bertahun tak ada. Warung tu dah kena rempuh dengan lori treller waktu awal pagi. Mungkin pemandunya terlelap barangkali, kalau tak silap pakcik tuan kedai dan pembantunya meninggal dunia serta merta kat situ,” balas lelaki tua tersebut sedikit gugup.

Azman tersentak. Serta merta dia hilang idea untuk menyambung kata-kata.

“Sebenarnya bukan tuan seorang saja yang terkena, ramai juga pemandu lain yang pernah singgah di situ, terutamanya orang luar yang lalu kat kawasan ini pada waktu malam,” sambung lelaki tua tersebut.

Azman terdiam dengan mulut melopong. Hampir nak luluh jantungnya sebaik sahaja mendengar cerita lelaki tersebut. Serta merta tubuhnya berasa panas dan seram sejuk.

Sekali lagi lamunannya terhenti apabila terdengar namanya dipanggil. Nampak isteri dan anak-anaknya melambai tanda makanan yang dipesan sudah sampai di meja.

Tidak tahu bagaimana Azman ingin memulakan cerita untuk memberitahu kisah sebenar kepada isterinya. Baginya itu mungkin perkara yang tidak penting berbanding memikirkan apa yang dimakannya ketika berulang kali menjamu selera selera di situ sebelum ini.

Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 6 Oktober 2024 . Imej janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!