Oleh FARID AHMAD TARMIJI
BAGI mengisi masa terluang, seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Daniel sering menonton cerita-cerita seram.
Selain itu dia juga menonton kandungan-kandungan berkaitan paranormal ataupun ‘pemburu hantu’ di platform media sosial.
“Saya memang menggemari cerita-cerita seram dan juga aktiviti berkaitan paranormal ini.

Saya terpengaruh dengan aktiviti ini, jadi di situ timbul satu keinginan dalam diri untuk saya menjadi pemburu paranormal,” katanya.
Akhirnya Daniel mengambil keputusan untuk berbuat demikian bagi membuktikan bahawa hantu itu memang wujud.
Malah, dia memilih untuk melakukan aktiviti itu secara bersendirian.
Daniel menjelaskan, dia memilih untuk memburu paranormal di sebuah rumah pusaka yang ditinggalkan yang terletak tidak jauh daripada kampungnya.
Ramai yang bercerita rumah pusaka itu ‘berpenunggu’ dan ada yang melihat ada lembaga yang berdiri di atas tangga hadapan rumah tersebut.
“Rumah pusaka ini telah lama ditinggalkan dia terletak jauh dari rumah orang lain dan pintu rumah ini juga sudah tidak berkunci lagi.
“Pada sebelah petang saya pergi ke rumah itu dahulu untuk meninjau kawasan sekitar sebelum memilih untuk melakukan aktiviti paranormal pada lewat malam,” jelas Daniel.
Kemudian pada sebelah malam, dia memilih untuk melakukan aktiviti paranormal tersebut.
Dia memilih untuk melakukan aktiviti itu pada jam 12 malam.
Daniel menjelaskan, ketika menuju ke rumah tersebut dia melihat seperti ada lembaga hitam yang berdiri di hadapan tangga di rumah itu.
“Saya pergi ke rumah itu dengan motosikal dari jauh dengan penglihatan yang samar saya melihat ada seperti lembaga yang berdiri di atas tangga rumah tersebut.

Tetapi apabila saya tiba saya lihat tiada apa-apa di situ dan kemudian mengambil keputusan untuk masuk ke dalam rumah tersebut,” jelasnya.
Daniel menjelaskan, sebelum dia masuk ke dalam rumah tersebut dia dapat merasakan seperti ada mata yang melihatnya dan tiupan angin malam membuatnya berasa sejuk pada waktu itu.
Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam rumah tersebut, Daniel mendengar seperti ada orang yang berlari di dalam rumah itu.
Bunyi itu jelas didengarinya memandangkan lantai rumah itu diperbuat daripada papan.
“Ketika saya meninjau di setiap penjuru rumah dengan hanya ditemani cahaya lampu suluh saya juga mendengar seperti ada orang ketawa.
“Selain itu, saya merasa seperti ada individu lain di belakang saya dan telinga saya seperti dihembus,” jelas Daniel.
Bunyi gangguan di dalam rumah itu semakin jelas dirasai oleh Daniel dan bunyi orang ketawa dan kemudian menangis semakin kuat didengari olehnya.
Daniel kemudian mengambil keputusan untuk masuk di dalam sebuah bilik di dalam rumah tersebut.
Dia kemudian berdiri di hadapan cermin yang ada di dalam bilik tersebut.
“Saya kemudian menyuluh cermin tersebut dengan lampu suluh bagi melihat apa yang ada di belakang saya.
“Saya amat terkejut apabila melihat ada lembaga hitam bermata merah dan wajahnya amat menakutkan berada betul-betul di belakang saya,” katanya.
Daniel berasa lututnya seperti lembut setelah melihat kelibat lembaga itu tetapi dia kuatkan diri untuk lari keluar daripada bilik tersebut.
Mulutnya tidak lepas membaca ayat kursi dan dia kemudian berlari keluar daripada rumah tersebut selepas melihat kelibat lembaga tersebut.
Setelah keluar daripada rumah tersebut Daniel terus menaiki motosikalnya untuk meninggalkan kawasa tersebut.
“Ketika saya ingin memecut motosikal motosikal saya, saya merasa motosikal saya amat berat sekali seperti ada orang lain di belakang saya.
“Saya tidak berani untuk toleh ke belakang lagi, saya gagahkan diri untuk meninggalkan rumah tersebut.
“Di atas motosikal itu saya membaca segala ayat-ayat al-Quran yang saya hafal dan kemudian motosikal saya tiba-tiba kembali ringan,” ujarnya.
Selepas peristiwa itu, Daniel tidak lagi berani untuk melakukan aktiviti paranormal lagi.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad . Imej janaan AI
