MMToon

DIGANGGU LEMBAGA PUTIH DI JALAN SUNYI

BIARPUN sudah lama berlalu, kisah seram yang dialami oleh seorang lelaki ini masih segar dalam ingatannya.

 

Mana mungkin dia melupakan kisah diganggu satu lembaga putih ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja.

Kisah menyeramkan itu berlaku kepada seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Alan ketika dia bekerja separuh masa di lapangan terbang KLIA lebih 15 tahun lalu.

 

Ujar Alan, dia tinggal di Nilai, Negeri Sembilan bersama ahli keluarganya dan akan berulang alik ke lapangan terbang tersebut dengan menaiki motosikal setiap hari.

 

Ketika kejadian, Alan baru selesai syif petang, dan pulang ke rumah sekitar pukul 2 pagi.

 

“Biasanya syif saya selesai sekitar pukul 12 malam namun memandangkan perut terlalu lapar, maka saya singgah makan sebentar di sebuah restoran mamak berdekatan, sebelum pulang ke rumah.

Saya masih ingat lagi bahawa hari itu merupakan hari yang amat memenatkan bagi saya memandangkan banyak tugasan yang perlu saya selesaikan.

 

“Sebaik selesai mengenyangkan perut, saya hanya terbayangkan katil di rumah dan tidak sabar untuk pulang berehat, lebih-lebih lagi kerana keesokan harinya merupakan hari cuti saya,” katanya.

Selesai makan, Alan mencapai kunci motosikalnya dan bersedia untuk pulang.

 

Laluan ke rumah Alan ketika itu cukup gelap dan sunyi namun memandangkan dia sudah terbiasa menggunakan laluan itu, Alan tidak pernah berasa takut dan meneruskan perjalanan seperti biasa.

Namun, entah dari mana, dia tiba-tiba terlihat satu lembaga putih yang ketika itu sedang terbang laju menuju ke arahnya.

 

Alan yang terkejut dan ketakutan gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan dia terjatuh di tepi jalan.

Mujur saya membawa motosikal dalam keadaan perlahan dan santai, menyebabkan saya tidak cedera teruk,” katanya tentang insiden itu.

 

Sangkanya, lembaga itu sudah hilang namun sebaik sahaja Alan bangun untuk meneruskan perjalanan, lembaga itu muncul semula betul-betul di hadapannya, menyebabkan Alan sempat menjerit dengan kuat dan terus memecut motosikalnya dengan laju.

Namun, motosikal Alan hanya statik dan tidak bergerak sedikit pun, menyebabkan Alan semakin ketakutan dan peluh dingin mula membasahi dahinya.

 

“Lembaga putih itu mempunyai wajah kehitaman yang menyeramkan, dan matanya merenung tepat ke arah anak mata saya.

Saya terus membaca semua jenis doa yang terlintas di fikiran, sebelum semuanya menjadi gelap dan saya tidak sedarkan diri,” ujar Alan.

 

Alan pengsan di tepi jalan dan dia ditemui terbaring bersebelahan motosikalnya, oleh seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki ke sebuah masjid berhampiran untuk menunaikan solat Subuh.

Ujar Alan, pakcik itu terkejut kerana menyangka Alan cedera akibat disamun atau sebagainya, namun bersyukur apabila mendapati Alan cuma pengsan.

 

Alan menceritakan apa yang berlaku kepada pakcik tersebut. Ujar pakcik itu, kawasan itu sememangnya cukup sunyi dan adakalanya menakutkan, namun dia tidak pernah melihat lembaga putih yang dimaksudkan Alan.

“Sebaik sahaja saya tersedar, saya melihat terdapat begitu banyak panggilan tidak berjawab yang dibuat oleh ibu dan adik perempuan saya.

 

“Mereka berasa hairan kerana saya tidak pulang-pulang ke rumah sehingga waktu Subuh,” ujar Alan tentang insiden itu.

 

Sehingga kini, Alan masih tidak dapat jawapan tentang gangguan yang dialaminya itu.

“Namun, disebabkan oleh insiden itu juga, saya sehingga kini akan memasang bacaan al-Quran dalam kereta, lebih-lebih lagi apabila memandu seorang diri pada waktu malam, di laluan yang sunyi,” katanya menutup bicara.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI.

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!