MMToon

DIGANGGU LEMBAGA WANITA DI TEPI SUNGAI

Oleh RIZAM ZAKARIYA

LOKASI seperti hutan dan laut sering dikatakan menjadi tempat persembunyian dan ‘kediaman’ makhlus halus atas pelbagai sebab.

Walaupun keberadaannya tidak dapat dibuktikan secara fizikal, namun sudah banyak kisah dan cerita-cerita yang sampai ke teliga kita mengenainya.

Bagi Rahim (bukan nama sebenar), dia mempunyai sebab untuk mempercayai perkara tersebut memandangkan dia pernah mengalami situasi seram berhadapan dengan makhluk halus.

Ceritanya, kejadian tersebut berlaku sekitar 15 tahun lalu ketika dia sedang berkhemah bersama kira-kira 30 rakan universiti di sebuah kawasan perumahan Orang Asli di Perak.

Ketika itu, saya dan rakan-rakan menjalankan aktiviti mendaki dan berkhemah di satu kawasan tasik dan hutan simpan di Perak selama tiga hari dua malam.

“Perjalanan dari jeti utama ke kawasan perkhemahan tersebut yang terletak di muara sungai di tasik berkenaan mengambil masa kira-kira dua jam dengan menaiki bot dan ia merupakan pengalaman yang menarik bagi kami,” katanya.

Menurut Rahim lagi, pada hari pertama, kesemua peserta yang tiba kira-kira pukul 2 petang di kawasan perkhemahan tersebut banyak menghabiskan masa dengan membersihkan kawasan dan memasang khemah.

Pada waktu malamnya pula, mereka mengadakan aktiviti santai termasuk suai kenal antara pelajar senior dan junior sebelum berehat dan tidur di khemah masing-masing.

Seperti dijadualkan, kesemua peserta bangul awal pada hari kedua program untuk menjalankan aktiviti mendaki gunung seawal pukul 8 pagi.

“Pendakian ke puncak gunung mengambil masa kira-kira tiga jam sebelum turun semula untuk singgah di satu kawasan air terjun.

Disebabkan sebahagian peserta adalah pelajar baru yang tidak pernah melakukan aktiviti pendakian, maka pergerakan mereka agak perlahan.

“Kami hanya tiba semula ditapak perkhemahan kira-kira pukul 7 malam, iaitu lewat dua jam daripada yang dijadualkan,” katanya.


Menurut Rahim lagi, pada hari kedua program, kebanyakan peserta tidur awal kerana keletihan, manakala sebahagian lagi masih berbual-bual kosong termasuk dirinya.

Ketika sedang berbual-bual, dia terasa seperti ingin membuang air kecil sebelum mengambil keputusan untuk ke tebing sungai seorang diri bagi melunaskan hajatnya.

Disebabkan sudah biasa dengan aktiviti bermalam di hutan, saya ke tebing sungai berseorangan sahaja dengan berbekalkan lampu suluh di kepala.

“Sebaik tiba di satu kawasan berbatu bersebelahan pokok, saya membuang air kecil sambil memerhatikan keadaan di sekeliling sebagai langkah keselamatan.

Dalam keadaan cahaya bulan yang samar-samar, saya dapat melihat ada seorang wanita sedang duduk di atas batu seolah-olah sedang membasuh pakaian dari kawasan berhampiran penempatan Orang Asli yang terletak di seberang sungai.

“Saya menutup lampu kepala dan hanya memerhatikan perbuatan wanita tersebut beberapa ketika sebelum mula berfikir mengapa wanita berkenaan membasuh pakaian di tengah malam,” katanya.

Jelasnya lagi, belum sempat persoalannya terjawab, tiba-tiba dia melihat kelibat wanita berkenaan seakan-akan terbang dari atas batu menuju ke dahan sebatang pokok besar yang terletak tidak jauh dari situ.

Dia yang ketika dalam keadaan ketakutan mula berlari laju ke arah tapak perkhemahan yang teletak kira-kira 50 meter dari situ.

Sebaik tiba di tapak perkhemahan, saya menceritakan kejadian yang berlaku itu kepada rakan-rakan yang ketika itu sedang rancak berbual.

“Sebaik mendengar perkara tersebut, semua kami mengambil keputusan untuk terus masuk ke khemah masing-masing dan membacakan ayat-ayat al-Quran sebagai pendinding daripada gangguan makhluk halus,” ujarnya,

Kata Rahim lagi, keesokan harinya ketika sudah berada di atas bot menuju ke jeti untuk pulang ke universiti, dia menceritakan kejadian tersebut kepada salah seorang jurupandu arah yang turut bersama-sama mereka dalam program tersebut.

Jelasnya, berdasarkan cerita jurupandu arah tersebut, lembaga seakan wanita mencuci pakaian tersebut dikatakan jelmaan seorang gadis Orang Asli dari kampung berkenaan yang mati membunuh diri.

Kejadian tragis itu dikatakan berlaku kira-kira 30 tahun lalu apabila gadis berkenaan menggantung dirinya pada sebatang pokok akibat cintanya ditolak oleh seorang pemuda yang telah membuntingkannya

“Akibat malu akan perbuatannya, gadis berkenaan mengambil tindakan membunuh diri dan rohnya yang tidak tenteram itu dikatakan akan muncul pada waktu-waktu tertentu.

Menurut cerita orang kampung di perkampungan Orang Asli tersebut, lembaga wanita tersebut juga dikatakan telah ‘berjanji’ dengan tok batin untuk tidak mengganggu orang luar yang berkunjung ke hutan tersebut,” katanya.

Tambah Rahim, walaupun kejadian seram itu sukar untuk dilupakan, namun ia bukanlah kejadian pertama seumpamanya dialami oleh dirinya.

Malah katanya, sebagai seorang yang cintakan aktiviti lasak terutama mendaki dan berkhemah, dia juga pernah berhadapan dengan beberapa situasi seram di beberapa lokasi lain.

Walaupun begitu, dia menganggap semua kejadian tersebut adalah petunjuk daripada Allah untuk dia meningkatkan keimanannya dan ketaqwaannya kepada Sang Pencipta.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad . Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!