MMToon

HAMPIR JADI PEWARIS SAKA SELEPAS TERIMA BANTUAN NEK SU

Oleh Admin Kisah Seram

SERING menjadi mangsa buli di sekolah membuatkan pemuda itu suka bersendirian dan kurang bercampur dengan rakan seusianya.

Dibesarkan tanpa ayah dan hidup serba kekurangan , dia sering diejek sebagai “anak kutip” dan “miskin”.

Oleh kerana itu, Arman (bukan nama sebenar) lebih gemar duduk di rumah atau mengikut ibunya bekerja sebagai tukang masak di sebuah pusat penjagaan warga emas.

Di pusat penjagaan tersebut, lelaki asal Kuala Lumpur itu sudah akrab dengan penghuni di sana yang sudah menganggap dirinya seperti cucu sendiri.

“Saya suka mengikut ibu bekerja kerana warga emas yang tinggal di situ sangat baik dan seketika saya melupakan ejekan dan pembulian semasa di sekolah.

“Atuk dan nenek di pusat tersebut sering bercerita tentang kisah silam mereka sebagai modal untuk berborak,” katanya.

Dalam kalangan warga emas yang ada di pusat penjagaan itu terdapat seorang nenek yang suka menyendiri dan duduk hanya di dalam bilik.

Arman pernah cuba menegurnya, namun wanita itu tidak pernah menjawab mahupun melemparkan secebis senyuman.

Wajah nenek itu sering kelihatan sugul dan ada ketikanya menyeramkan, ada pernah satu ketika dia meracau seperti orang gila membuatkan pusat penjagaan sedikit kecoh.

Pada suatu hari, ketika Arman mengikuti ibunya ke tempat kerja, Nek Su mendatangi dirinya.

“Pada hari itu saya terus ke tempat kerja ibu dalam keadaan yang sangat tertekan kerana dibuli dan dimalukan oleh rakan-rakan sekolah.

“Oleh kerana saya sering pendam apa yang berlaku, hari itu saya duduk sendiri di belakang bangunan pusat penjagaan dan menangis,” ujarnya.

Tambahnya ketika itu dia mendengar suara Nek Su yang tiba-tiba ada di sebelah dan menenangkannya.

Walaupun keadaan itu agak asing kerana wanita tersebut tidak pernah menegurnya, Arman merasa tersentuh kerana ada yang peduli.

Bagaimanapun, keadaan bertukar sedikit pelik apabila Nek Su terus menanyakan soalan tentang dirinya di buli di sekolah.

Arman bingung kerana dia tidak pernah menceritakan perkara itu kepada sesiapa, namun tetap mengiayakan pertanyaan Nek Su.

Nek Su dalam senyum memberitahu Arman bahawa dia boleh membantunya untuk memberi pelajaran kepada pembuli di sekolah. Dalam keadaan curiga, Arman tetap mahu mengetahuinya dan mendengar penjelasan Nek Su.

Begini, belikan Nek Su kemenyan dan bawakan apa-apa sahaja barang yang dimiliki oleh pembuli itu.

“Esok nenek akan bantu cucu, kita ajar pembuli itu,” tutur Nek Su. Keesokan harinya Arman memberikan barang yang diminta termasuk pensil milik pembuli di sekolahnya.

Tidak mengetahui apa yang dilakukan wanita itu, Arman kemudian pulang ke rumah.

Namun, keadaan berubah semasa dia ke sekolah esoknya dan mendapati pembuli tersebut tidak hadir kerana sakit misteri.

Pulang dari sekolah, Arman terus pergi menemui Nek Su tetapi alangkah terkejutnya dia mengetahui wanita itu sudah meninggal dunia.

Arman bingung tentang semua yang berlaku dan hanya mendiamkan diri.

Pada waktu malam semasa di rumah, Arman merasakan sesuatu yang pelik, bulu romanya merinding seolah diperhatikan oleh seseorang.

Ketika sedang tidur, dia bermimpi didatangi Nek Su, wanita itu kelihatan sangat menyeramkan seperti nenek kebayan dalam cerita dongeng.

“Cu nenek datang ni nak tuntut cucu jadi pewaris.

“Nenek dah tolong cucu, jadi cucu kena tolong nenek,” kata wanita itu dalam mimpi Arman.

Dalam keadaan takut, Arman menolak permintaan tersebut, dia kemudian dibangunkan ibunya yang mendengar dirinya meracau.

Arman menceritakan segala yang berlaku kepada ibunya yang turut terkejut dengan perkara itu.

“Keesokan harinya, ibu membawa saya bertemu seorang Ustaz dan kami diberitahu bahawa saya diekori oleh saka Nek Su yang mahukan pewaris.

“Kata ustaz, Nek Su memang menyasarkan saya untuk mewarisi sakanya dan memancing dengan membantu menyihir pembuli di sekolah,” kata Arman.

Bagi mengelakkan diganggu saka tersebut, Ustaz melakukan rawatan terhadap Arman dan turut mengajarkan beberapa ayat dari al-Quran sebagai pendinding diri.

Kongsi Arman, setelah itu dia tidak lagi diganggu saka Nek Su meskipun dalam mimpi, malah pembuli tersebut juga sudah sembuh daripada penyakit misteri yang dialaminya.

“Alhamdulillah sudah 15 tahun perkara itu berlalu dan perkara itu saya jadikan pengajaran supaya tidak sewenangnya terlibat dalam aktiviti mistik yang mencurigakan.

“Walaupun pernah hampir menjadi waris paksa, saya tetap mendoakan kesejahteraan Nek Su supaya dia tenang di alam sana,” ujarnya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 9 Julai 2023. Ilustrasi janaan AI

 

 

 

 

 

You may also like

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!