
Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA
MELEPAK bersama-sama rakan di kedai mamak sehingga pukul 3 pagi merupakan rutin harian bagi Ismail (bukan nama sebenar).
Biarpun berbuih mulut ibu dan ayahnya menegur, lelaki yang kini menganggur itu merasakan itulah lumrah hidup anak bujang.
Namun pengalaman terserempak dengan sosok wanita anak kecil pada satu hari membuatkannya insaf untuk pulang lewat lagi.
Berkongsi cerita kepada Panorama, anak muda Subang Jaya itu berkata, bulu romanya bangkit setiap kali dia teringat tentang peristiwa itu.

Saya tinggal di kawasan perumahan teres biasa. Jadi, siapa sangka di bandar ni ada juga benda-benda mistik.
“Pukul 3 pagi pun, lampu jalan pun masih terang lagi. Cuma hari tu, saya pun tak pasti kenapa situasi berlainan,” katanya.

Pada malam ‘bertuah’ itu, Ismail pulang ke rumah menaiki motosikal setelah menghabiskan masa bersama rakannya di kedai mamak.
Sewaktu dalam perjalanan, dia ternampak seorang wanita bersama anak kecil sedang berjalan di pinggir jalan.

Prihatin dengan keadaan dua beranak itu, Ismail terdetik hati untuk bertanya tentang keadaan wanita berkenaan tanpa rasa sangsi.
Kataya, tidak mustahil wanita itu mengalami masalah rumah tangga sehingga terpaksa meninggalkan rumah selewat itu.

Sekarang ini banyak kes keganasan rumah tangga, jadi naluri pertama saya adalah untuk membantu ibu dan anak itu.
“Saya memperlahankan motosikal dan tanya tentang keadaan wanita itu. Tapi dia anak dia tidak toleh ke belakang langsung,” jelasnya.

Detik hati Ismail, wanita itu pasti takut untuk bercakap dengan lelaki asing yang tiba-tiba tegurnya pada pukul 3 pagi.
Oleh itu, dia tidak berputus asa untuk menghentikan langkah wanita dan anaknya itu.

Setelah beberapa minit, wanita dan anak kecilnya itu berhenti tanpa bersuara, mahupun menoleh.
Tiba-tiba bau bunga melur kuat menusuk ke rongga hidung Ismail dan dirinya tiba-tiba rasa seram sejuk.
Ujarnya, wanita dan anaknya itu tiba-tiba ketawa mengilai persis suara pontianak dalam filem-filem seram.
“Saya sangat terkejut mendengar mereka mengilai. Saya boleh nampak mereka perlahan-lahan mula toleh ke arah saya sedikit demi sedikit.

Melihat keadaan itu, saya terus pecut motosikal saya dan meninggalkan wanita dan anak itu,” kongsinya lagi.
Malangnya dia terasa motosikalnya menjadi berat seolah-olah ibu dan anak itu memboncengnya.

Enggan melihat cermin pandang belakang motosikalnya, Ismail teruskan sahaja perjalanan sehingga ke rumah.
Sesekali, dia terasa seram sejuk dan seakan-akan ada anak kecil sedang memeluk pinggangnya.

Lebih seram, sewaktu dia hampir tiba rumah, dia ternampak kelibat wanita dan anak kecil itu berada di depan pintu rumahnya.
Jelasnya lagi, dia berasa sangat buntu lalu memilih untuk patah balik ke kedai mamak tersebut.

Sampai je kedai mamak, saya terus telefon rakan dan minta izin untuk tinggal di rumahnya.
“Keesokannya saya demam panas selama seminggu. Sejak itu, paling lewat saya balik pukul 12,” katanya.
