Oleh Roshihan Annuar Yub
SUDAH beberapa kali Zaidi menasihati sahabatnya Udin agar tidak terjebak dengan perkara-perkara khurafat namun ibarat seperti mencurah air ke daun keladi, langsung tidak meninggalkan kesan malah ada ketikanya Zaidi pula disindir dan diperlekehkan.
“Alah, aku tahulah apa yang aku buat. Kau jangan risau! Nanti kalau kena first prize aku belanja kau shopping di bandar,” jawab Udin tertawa kecil.
Zaidi menggelengkan kepala. Sudah buntu dan hilang idea bagaimana ingin menasihati rakannya itu. Rasanya sudah berbuih mulut dia bersyarah namun langsung tak masuk ke dalam otaknya.

Ikut kaulah Din, nanti kalau apa-apa jadi jangan salahkan aku pula, jangan kata aku tak pernah nasihatkan kau,” sambung Zaidi lagi.
Geram sungguh Zaidi. Dia bukannya tak senang berkawan dengan Udin, malah mereka membesar bersama sejak zaman kanak-kanak lagi. Tapi yang membuatkan dia geram sangat dengan sahabatnya itu kerana hobinya yang suka ‘menurun’ nombor ekor bersama beberapa rakan sekampungnya.
Pantang dapat tahu ada bomoh handal pasti dia akan pergi walaupun terpaksa memandu beratus kilometer, janji hatinya puas.
Petang itu Zaidi dapat tahu yang Udin bersama rakan-rakannya ingin pergi ke Bukit Tunggal malam itu untuk menurun nombor ekor bersama seorang dukun dari seberang.
“Dulu ada satu kumpulan pergi menurun di situ beb, aku dengar mereka kena first prize, kaya-raya dia orang. Kalau kau nak join malam ini, jomlah ikut,” kata Udin lagi.
Zaidi sekadar mencebik dan menggelengkan kepala. Geram betul apabila segala nasihatinya selama ini tidak diendahkan.
Keesokan petangnya Zaidi dapat berita Udin meracau sebaik pulang ke rumah pada tengah malam semalam. Pelbagai versi yang dia dengar, ada kata dia pengsan, ada kata dia sakit dan sebagainya. Selepas asar Zaidi terus ke rumah Udin untuk melihat keadaan rakannya itu.
Sebaik tiba beberapa penduduk kampung termasuk Tok Penghulu dan Imam Zamil sudah berada di situ. Setelah memberi salam dan bertanya khabar terus dia bertanyakan keadaan Udin kepada mereka.

Alhamdulillah, dia sedar dah. Tak ada apa-apa yang serius pun. Dia lemah semangat saja tu. Kalau kau nak pergi tengok naiklah, dia ada di atas itu,” kata Imam Zamil sebelum meminta diri untuk pulang.”
Setelah menyapa beberapa ahli keluarga Udin, terus dia minta kebenaran untuk melihat rakannya itu di bilik.
“Hah, aku dengar kau pengsan malam tadi, apa yang dah jadi beb?” Tanya Zaidi sambil menarik kerusi rapat ke arah katil rakannya itu.
Udin tersenyum kelat. Sesekali dia mengusap muka seakan malu.
“Aku pun tak tahu hendak mula macam mana beb. Tapi apa yang berlaku malam semalam betul-betul di luar jangkaan.
Selama ini tak pernah lagi jadi benda macam ini,” kata Udin perlahan.
Udin terus menyambung cerita, katanya, malam semalam dia bersama rakan-rakan pergi menurun nombor ekor bersama seorang bomoh dari seberang di Bukit Tunggal.
Namun kali ini syarat bomoh tersebut cukup berbeza berbanding sebelum ini. Bukan setakat bertih jagung, pulut kuning, telur rebus dan seekor ayam hitam, dia juga minta kami sediakan kain atau perca yang membungkus jenazah.
Pada mulanya pening juga untuk kami dapatkan ‘barang’ tersebut, tetapi salah seorang rakannya, Kamil berjaya dapatkan. Kata Kamil, dia dapat ambil tali yang mengikat jenazah ketika menguruskan kematian saudaranya sebelum ini.

“Kami percaya bomoh tersebut hebat kerana melalui cerita yang kami dengar sebelum ini Pak Marjo berjaya beri pulangan lumayan kepada kaki-kaki ekor yang pernah gunakan khidmatnya.
“Waktu kami sampai cuaca elok cerah, tapi bila Pak Marjo nak start baca mantera je tiba-tiba datang angin ribut. Aku dengan kawan-kawan jadi pelik sebab waktu kami datang cuaca elok,” kata Udin sambil memicit-micit jarinya.
Udin terus bercerita katanya waktu itu mereka semua menunggu dengan penuh tekun. Masing-masing tak sabar nak dapatkan nombor ekor dan jadi kaya. Mata mereka hanya tertumpu ke arah Pak Marjo yang sedang bersila membelakangi mereka sambil membaca mantera.
Sesekali Pak Marjo menepuk-nepuk paha dan busut di hadapannya. Dan dengan tidak semena-mena muncul satu lembaga dari arah belukar di hadapan.
Alangkah terkejutnya mereka apabila melihat sosok yang cukup menyeramkan itu. Tubuhnya hitam berkilat, kepalanya botak dan bola matanya merah menyala. Nampak dia merangkak menuju ke arah persembahan yang tersusun rapi di atas tikar.
Pak Marjo masih khusyuk membaca manteranya. Udin dan rakan-rakan lain di belakang sudah menggeletar ketakutan, dan tidak semena-mena tiba-tiba… LARIIIIIIIII…LARIIIIIIIII…
Kamil melompat dari silanya dan terus berlari lintang-pukang meredah semak samun di belakang. Udin, Sani dan Jeman yang terkejut dengan gelagat rakannya itu apa lagi, serta merta terus angkat kaki dan buka langkah seribu.
Hampir 10 minit kemudian meredah gelap malam barulah mereka sampai ke kereta yang diparkir di bahu jalan. Sebaik sahaja Kamil ingin hidupkan enjin, tiba-tiba nampak kelibat seorang lelaki dengan nafas tercungap-cungap menghampiri mereka. “Yang kamu semua lari kenapa?

Kamu tahu tak aku belum habis upacara lagi. Nanti kalau jadi apa-apa kita semua susah,” kata Pak Marjo sedikit menyinga.
Mereka berempat diam membatu. Sepanjang jalan Pak Marjo membebel meluahkan rasa tak puas hatinya.
“Kalau jadi apa-apa dengan kamu semua aku tak campur ye. Sekarang syaitan tu masih ada di sana,” kata Pak Marjo sambil mengelap peluh di dahinya.
Mereka berempat terdiam sambil telan air liur. Masing-masing berpandangan. “Habis tu kenapa Pak Marjo ikut lari sama? Kenapa tak habiskan upacara tadi?” Tanya Jeman ingin tahu. Pak Marjo menjeling Jeman dengan ekor matanya. Nampak dia seakan tidak berpuas hati dengan pertanyaan tersebut.\
“Dah kamu semua lari, tak kan aku nak tinggal seorang diri dalam hutan tu. Aku nak balik macam mana nanti?” Jawab Pak Marjo berang.
Mereka berempat serentak ketawa dalam kereta. Pak Marjo merengus sambil mengalihkan pandangannya ke luar tingkap.
Malam itu Udin langsung tak boleh lelapkan mata. Pelbagai bunyi aneh muncul di sekitar rumahnya. Kadang kala bunyi seperti orang berjalan dan lebih menakutkan muncul bunyi dengusan dan hilaian yang tidak tahu dari mana datangnya.
“Aku pun tak sedar bila masa aku meracau, bila sedar je ada Imam Zamil dengan beberapa orang kampung dekat sebelahku,” kata Udin.
Sebenarnya banyak lagi yang Zaidi ingin tanya, namun melihatkan situasi yang tidak mengizinkan dia batalkan hasrat. Dalam hati dia tekad ingin tahu cerita sebenar tentang makhluk misteri tersebut.
Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 3 Mac 2024. Ilustrasi janaan AI
