
Oleh RIZAM ZAKARIYA
KISAH-KISAH mistik mungkin menjadi satu bahan jenaka bagi sesetengah orang kerana mereka beranggapan ia tidak lebih daripada sekadar cerita rekaan.
Namun, bagi mereka yang pernah mengalami situasi menakutkan itu, kisah yang diceritakan itu mungkin akan mengimbas kembali kisah seram yang pernah dilalui sebelum ini.

Bagi Aishah (bukan nama sebenar), dia sendiri pernah berhadapan detik menyeramkan itu ketika sedang menyertai aktiviti perkhemahan anjuran pihak sekolah suatu ketika dulu.
Dia yang kini berusia 40 tahun dan menetap di Kajang, Selangor berkata, kejadian seram itu berlaku kira-kira 25 tahun lalu selepas dia yang ketika itu menduduki tingkatan tiga terpilih menjadi pengawas sekolah dan dikehendaki menyertai satu kem kepimpinan.
“Berdasarkan tentatif program, kem kepimpinan tersebut dijadualkan berlangsung selama tiga hari dua malam di sebuah tapak perkhemahan berhampiran kawasan sungai di hutan lipur yang terletak di dalam daerah yang sama di Pahang.

Sebaik tiba di lokasi tapak perkhemahan, sesemua peserta telah diarahkan untuk membersihkan kawasan selain perlu memasang khemah mengikut kumpulan masing-masing,” katanya.
Selepas selesai memasang khemah, mereka telah menjalankan aktiviti suai kenal selain sukaneka sebelum dibenarkan untuk mandi-manda di sungai.
Pada waktu maghrib pula, kesemua peserta menunaikan solat secara berjemaah selain membaca surah Yasin sebelum menikmati makan malam selepas selesai solat Isyak.

Menurut Aishah, selepas selesai menjamu selera, kesemua peserta dijadualkan menyertai aktiviti ‘burung hantu’ bagi menguji tahap keberanian setiap peserta selepas ditinggalkan secara bersendirian di dalam kawasan gelap.
Namun katanya, sebaik sahaja peserta bersiap sedia untuk berkumpul, tiba-tiba seorang pelajar wanita mula menjerit dan meronta-ronta selepas diserang histeria.

Lebih memburukkan keadaan katanya, selang beberapa minit selepas itu, seorang lagi pelajar wanita turut diserang histeria menyebabkan keadaan menjadi agak kelam kabut.
“Seorang guru yang kami kenali sebagai ustaz cuba menenangkan kedua-dua pelajar berkenaan dengan membacakan beberapa potong ayat suci al-Quran.

“Selepas keadaan kedua-dua pelajar berkenaan semakin tenang, mereka dibawa menaiki kereta oleh dua orang guru untuk bertemu dengan seorang imam masjid di kawasan perkampungan berhampiran bagi memulihkan semangat mereka.
“Pada masa sama, kesemua peserta telah diarahkan untuk berada di dalam khemah masing-masing selepas aktiviti malam yang sepatutnya dijalankan telah dibatalkan,” katanya.

Jelas Aisyah lagi, dalam keadaan takut dan cemas, dia dan tiga lagi rakan di dalam khemahnya tertidur dan dia hanya terjaga kira-kira pukul 2 pagi selepas terasa sangat sejuk.

Ketika cuba untuk keluar dari khemah untuk mengambil baju sejuk, dia terlihat seakan-akan bayangan seorang wanita berambut panjang sedang mencangkung di kawasan plastik sampah yang menempatkan sisa makanan.
Dari kejauhan, dia dapat melihat dengan jelas lembaga tersebut menjilat tulang-tulang ayam yang sudah berselerakan dengan lidahnya yang sangat panjang.

“Dalam ketakutan, lembaga wanita itu memalingkan mukanya ke arah saya dan ketika itulah saya dapat melibat mukanya yang sangat hodoh dengan bola mata yang kekuningan.

“Melihat keadaan itu, saya menjerit dan terus pengsan. Saya hanya sedar kembali kira-kira 15 minit kemudian selepas ustaz menyapu air bacaan Yasin ke muka saya.
“Saya menceritakan apa yang berlaku kepada ustaz dan guru-guru pengiring, dan saya dibertahu oleh ustaz bahawa dua rakan saya yang diserang histeria itu juga melihat lembaga yang sama,” katanya.

Sebaik kejadian menimpa saya itu, kesemua murid dan guru terus berjaga sehingga subuh sebelum pihak sekolah mengambil keputusan untuk membatalkan program berkenaan.
Disebabkan pengalaman menyerikan itulah, sehingga kini dia masih trauma untuk bermalam di kawasan hutan terutama jika berkhemah kerana masih terbayang-bayang kejadian menyeram tersebut.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI.
